PENANTIAN 32 juta rakyat Malaysia untuk mengetahui senarai barisan kabinet kerajaan baharu dipimpin Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berakhir pada Jumaat.
Di sebalik pelbagai spekulasi tercetus mengenai kemungkinan kabinet ‘Keluarga Malaysia’ dipimpin Ahli Parlimen Bera itu bakal berwajah baharu, ramalan itu nampaknya meleset.
Ramai pemerhati politik bahkan rakyat berpandangan kabinet baharu yang ditampilkan seolah-olah terdiri daripda bekas menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ‘dikitar semula’.
Berdasarkan senarai nama 69 menteri dan timbalan menteri baharu yang dilantik, Ismail Sabri dilihat sekadar membawa masuk lima muka baharu untuk jawatan menteri dan empat muka baharu untuk jawatan timbalan menteri.
Lebih mengecewakan, pada saat kerajaan PN didakwa gagal kerana tidak dapat menyelesaikan krisis Covid-19, meskipun memiliki kabinet bersaiz besar, saiz kabinet Ismail Sabri sama seperti kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tangan terikat
Secara terperinci, pendekatan ‘selamat’ Ismail Sabri untuk tidak melakukan perubahan besar dalam kabinet baharu menunjukkan beliau tidak melakukan perkara di luar kotak lantaran tangannya juga masih ‘terikat’ dengan tuntutan parti-parti komponen dalam kerajaan itu sendiri.
Dengan 90 peratus daripada bilangan menteri dan timbalan menteri kerajaan PN dilantik semula, seorang penganalisis politik berpendapat bayangan Muhyiddin dalam pembentukan kabinet baharu masih ketara.
"Rakyat sebenarnya mengharapkan kabinet baharu Ismail Sabri mampu membawa elemen kejutan dan berwajah segar bagi membolehkan fokus kerajaan menyelesaikan kemelut krisis Covid-19 dan ekonomi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Namun beliau dilihat tidak berani melakukan sesuatu di luar kotak dengan bayangan Muhyiddin dalam pembentukan kabinet baharu masih jelas kelihatan.
"Bagi saya, satu-satunya perkara positif daripada pembentukan kabinet baharu kerajaan adalah menteri-menteri yang cemerlang sewaktu kerajaan PN diberi portfolio kementerian lebih strategik seperti Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa,” kata penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussein.
Selain isu ketiadaan lebih ramai muka baharu, keputusan Ismail Sabri mengembalikan pemimpin ‘warlord’ UMNO seperti Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dalam kabinet beliau turut menimbulkan tanda-tanya.
Hal ini kerana Ahmad Atory berpandangan pelantikan dua pemimpin senior UMNO itu lebih sekadar memenuhi ganjaran kepada mereka kerana memainkan peranan politik besar dalam membantu Ismail Sabri diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Tiada kluster mahkamah
Bagi bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo pula, beliau sememangnya sudah menjangkakan pembentukan kabinet baharu Ismail Sabri akan lebih mirip kabinet kerajaan PN sebelum ini.
Jangkaan itu berdasarkan pandangan Perdana Menteri baharu pasti berdepan kesukaran untuk merombak barisan kabinet baharu secara besar-besaran kerana kesuntukan waktu.
Selain itu, pada saat kerajaan bertungkus-lumus mendepani krisis Covid-19 dan ekonomi, Ismail Sabri juga memerlukan barisan pemimpin yang sudah berpengalaman dan memahami polisi kerajaan sedia ada dalam menangani pandemik berkenaan.
Hal ini kerana beliau percaya, Ismail Sabri berdepan kebimbangan pelantikan pemimpin baharu untuk meneruskan projek rintis diusahakan kerajaan PN bagi menangani krisis, akan merencatkan kelancarannya.
"Sebagai contoh, keputusan pertukaran portfolio Khairy dan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba adalah perkara terbaik yang boleh dilakukan Ismail Sabri pada waktu genting ketika ini,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad Khir memuji keberanian Ismail Sabri mengembalikan jawatan-jawatan menteri yang strategik seperti Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada UMNO.
"Saya juga tidak menolak kemungkinan kabinet baharu yang bebas ‘kluster mahkamah’ ini akan meneruskan usaha rundingan dengan parti pembangkang di luar blok PH seperti Pejuang dan Warisan.
"Langkah ini boleh menjadi ‘exit’ strategi kepada Ismail Sabri untuk mengekalkan kerajaan beliau sekiranya sentimen perpecahan dalam UMNO masih berterusan,” katanya.
Kabinet Muhyiddin 2.0
Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berpandangan barisan kabinet baharu dipilih Ismail Sabri adalah merupakan kabinet Muhyiddin 2.0 yang ketandusan ‘bakat-bakat politik’ yang lebih progresif serta berdaya saing.
Jelas beliau, Ismail Sabri seolah-olah ketiadaan opsyen yang lebih luas bagi mewujudkan sebuah kabinet berwajah lebih segar, berketrampilan dan efektif bagi menangani krisis terburuk dihadapi negara ketika ini.
"Saya tidak pasti rakyat puas hati atau tidak, tetapi secara peribadi saya tidak yakin formula pembentukan kabinet baharu ini akan menjadikan kerajaan baharu berbeza dengan PN.
"Bagaimanapun, sekiranya blok pembangkang bersatu dan memainkan peranan semak dan imbang di Parlimen dengan lebih berkesan, tekanan itu mampu memaksa kerajaan baharu untuk mengemukakan polisi lebih baik demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Selain tiada elemen kejutan dalam pembentukan kabinet baharu, Tian Chua turut mempersoalkan kegagalan pemimpin menyokong pucuk kepimpinan UMNO diterajui Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberikan peranan penting dalam pembentukan kabinet baharu.
Pada saat Ahmad Zahid bersama 14 ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin menuntut kerajaan baharu bebas daripada beban kegagalan kerajaan PN, pelantikan hanya dua menteri kem Ahmad Zahid dalam kabinet baharu menunjukkan seolah-olah peranan mereka dipinggirkan.
"Keadaan itu juga tidak baik dan menunjukkan Perdana Menteri baharu seolah-olah masih bermain politik untuk mengukuhkan kedudukan beliau ketika ini,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca