[MUKADIMAH] Tanggungjawab besar apabila menyarung uniform Sang Saka Biru perlu dijunjung setaraf dengan ikrar mahu berkhidmat demi negara, bangsa dan agama. Prinsip yang dipegang oleh insan bernama Ayob Khan ini jelas iaitu tidak ada... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Tanggungjawab besar apabila menyarung uniform Sang Saka Biru perlu dijunjung setaraf dengan ikrar mahu berkhidmat demi negara, bangsa dan agama.

Prinsip yang dipegang oleh insan bernama Ayob Khan ini jelas iaitu tidak ada gunanya menjadi polis kalau tidak amanah. Namun, di sebalik ketegasan itu, wujud segelintir pihak yang kurang senang.

Apa pun kritikan yang dilemparkan, Ketua Polis Johor itu tetap dianggap istimewa kerana setiap tindakannya dianggap luar biasa.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Ahad, Muhammad Aminnuraliff Mohd Zoki dan Ahmad Ismadi Ismail serta jurugambar Halim Wahid bersama Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini.

SINAR AHAD: Apakah ulasan Datuk berhubung soal integriti dalam pasukan PDRM Johor?

AYOB KHAN: Saya menekankan isu integriti dalam menangani apa juga isu jenayah atau cara kerja. Kalau kita tiada integriti bagi saya tiada nilainya.

Tanpa integriti kita akan terdedah kepada elemen-elemen bersekongkol dengan sindiket. Ia secara langsung menyebabkan kita sukar mengambil tindakan.

Jika pegawai dan anggota polis bersekongkol dengan sindiket, sebelum kita buat serbuan, mereka telah bocorkan rahsia dan maklumat kepada sindiket. Apabila kita buat serbuan di tempat hiburan atau stor pengedaran dadah, hasilnya ‘kosong’.

Integriti, komitmen dan keikhlasan paling penting dalam menjalankan tugas.

Saya akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan bertolak ansur terhadap anggota dan pegawai yang melanggar undang-undang dan bersekongkol dengan sindiket.

Saya juga akan menyalurkan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung isu tertentu berkaitan rasuah dan kes besar melibatkan anggota dan pegawai polis.

Ayob sentiasa menekankan agar tugas perlu dilaksanakan dengan ikhlas. - Foto Facebook Polis Johor

- Berapakah jumlah anggota dan pegawai polis di Johor yang telah dikenakan tindakan tatatertib? Apakah kesalahan mereka?

Tindakan tatatertib memang banyak kita ambil di Johor. Yang diambil tindakan tahan kerja tahun lalu ialah seramai 33 pegawai dan anggota. Pada tahun ini, ada dua pegawai kanan ditahan kerja.

Seramai 18 anggota polis dan seorang pegawai kanan digantung kerja pada tahun lepas. Pada tahun ini, seramai 19 anggota dan dua pegawai digantung kerja.

Seramai 46 anggota pula dibuang kerja pada 2020. Polis Kontinjen Johor mencatatkan bilangan paling banyak anggota dibuang kerja. Pada tahun ini, seramai 18 anggota telah dibuang kerja.

Antara kesalahan paling banyak adalah ingkar perintah. Ada yang tak datang bertugas, ada yang terlibat dalam dadah, rasuah dan pelbagai kesalahan.

Saya tak boleh tolak ansur langsung berhubung isu rasuah dan dadah. Keutamaan pertama saya memang akan buang kerja. Yang lain mungkin kita boleh bertolak ansur, kes tak datang kerja kena tengok juga kalau dekat 200 hari tak datang kerja takkan kita nak biar lagi.

Ada juga anggota yang kononnya ‘pandai’, dia tak datang kerja mungkin dua tiga hari, dia datang balik esok, kalau kita campur-campur memang banyak dia tak datang kerja.

- Apakah perkara yang Datuk selalu ingatkan kepada anggota dan pegawai polis di Johor?

Paling penting yang saya selalu tekankan terhadap anggota dan pegawai polis adalah isu integriti. Bagi saya kalau tiada integriti, tiada guna kerana kita tidak akan mencapai apa-apa jika tiada integriti.

Tanpa integriti, kita akan ‘dibeli’. Kes jenayah, dadah, pelacuran, judi dalam talian dan isu penyeludupan akan berterusan dan bertambah.

Selain itu, saya tekankan kepada anggota dan pegawai adalah kerja kena ikhlas. Selagi kita kerja dengan penuh keikhlasan yang lain kita jangan bimbang, kita akan selamat dunia dan akhirat.

Kita akan mendapat pelbagai tentangan, kritikan atau mungkin orang tidak suka cara kita bekerja, tetapi itu bukan satu isu kerana kita bekerja secara ikhlas, kita berserah kepada ALLAH SWT.

Ayob tidak bertolak ansur berkaitan rasuah dan dadah.

- Berapa jumlah kompaun yang dikenakan sepanjang fasa satu Pelan Pemulihan Negara di Johor? Apakah kesalahan tertinggi yang dicatatkan?

Jumlah kompaun yang dikeluarkan sepanjang fasa satu Pelan Pemulihan Negara adalah sebanyak 2,315 kompaun.

Kebanyakan kesalahan adalah gagal mematuhi penjarakan sosial, gagal mengimbas MySejahtera dan kapasiti penumpang dalam kenderaan lebih had, itu antara tiga kesalahan utama dikompaun.

- Bagaimana pula situasi kes ah long di Johor?

Kes ah long ini selalu saya katakan, kalau tidak ada yang meminjam tidak akan ada ah long. Ada juga yang kata susah nak buat pinjaman bank dan sebagainya, tapi adakah pinjaman ah long adalah jalan yang paling mudah? Apabila timbul masalah dengan ah long, mereka akan cari polis.

Ah long ini bukan mudah kita nak ambil tindakan. Di Johor tahun ini sahaja sehingga hari ini ada 168 kertas siasatan dibuka melibatkan kes ah long termasuk 123 kes khianat atau bakar, 45 kes baling bom molotov koktail. Tahun ini risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor berjaya menangkap 41 individu melibatkan 11 kumpulan sindiket.

Setakat ini belum ada anggota dan pegawai polis yang meminjam dengan ah long. Isu ah long tak akan habis, kalau di Johor setiap hari ada kes.

- Mengenai statistik rampasan dadah yang besar di Johor, apakah usaha yang dilakukan bagi memeranginya?

Johor merupakan antara negeri tertinggi rampasan dadah. Tangkapan sepanjang Januari sehingga kini adalah seramai 4,319 suspek yang terlibat sama ada memiliki bekalan atau positif dadah.

Johor berada di tangga ketiga dalam kes tertinggi berkaitan penyalahgunaan dadah. Yang pertama ialah Selangor, kedua Kelantan dan ketiga Johor.

Jumlah tangkapan di bawah Seksyen 39(c) adalah seramai 595 individu. Seksyen ini unik sikit. Saya bila sampai di Johor saya tekankan 39(c), seksyen ini kita fokuskan kepada mana-mana suspek yang ditangkap dua kali sebelum ini, penjara lima hingga tujuh tahun, dan sebatan.

Jadi saya tetapkan setiap daerah mesti ada 10 tangkapan di bawah seksyen ini. Jadi ada 13 daerah di Johor, mesti ada 130 tangkapan.

Rampasan dadah setakat ini dianggarkan bernilai RM352 juta, sitaan RM27 juta. Sebanyak 15 sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan.

- Apakah usaha-usaha Datuk untuk memastikan Johor sentiasa aman dan selamat?

Saya selalu tekankan kepada tindakan proaktif. Saya tidak suka menunggu perkara itu terjadi baru kita hendak ambil tindakan. Penekanan yang saya berikan adalah isu jenayah terancang, pendatang tanpa izin dan pengedaran dadah.

Sebagai contoh, operasi berterusan dalam menangani kes pengedaran dadah, jika kita tangkap seorang penagih dadah, kita akan dapat mengembangkan lagi siasatan, dari mana dadah tersebut diperoleh, hasilnya kita berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di Johor.

AYOB KHAN

- Apakah cabaran terbesar yang dilalui Datuk sejak menjadi Ketua Polis Johor?

Banyak cabaran saya lalui di Johor kerana negeri ini 'unik', ada semua elemen antaranya isu dadah, komersial, politik dan sebagainya. Pelbagai cabaran, namun dengan komitmen anggota dan pegawai serta kerjasama kerajaan negeri dan sokongan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, ia memudahkan kerja dan tindakan saya dalam menangani isu jenayah di Johor.

Cabarannya banyak tetapi saya mendapat sokongan yang padu daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), parti politik, Ahli Dewan Undangan (ADUN) dan Exco, senang saya hendak bekerja dengan kerjasama yang mantap kerana apa sahaja tindakan saya itu turut mendapat sokongan daripada mereka.

ANEKDOT

- Perasaan tidak dinaikkan pangkat tertinggi PDRM

Kita sebagai orang beragama Islam, rezeki kita bukan manusia yang tentukan, ALLAH SWT memberi kita rezeki, kita pegang itu sahaja. Paling penting kita kerja secara ikhlas.

Jika ada rezeki adalah. Mungkin orang cakap macam-macam seperti saya nak ke sana, ke sini (kenaikan pangkat), tetapi tidak ke mana-mana, saya masih di Johor. Tetapi alhamdulillah saya akan teruskan apa yang saya buat di negeri ini. Jika ada rezeki saya adalah. Bagi saya di mana-mana pun kita boleh bekerja dan melaksanakan tanggungjawab.

Kita juga perlu lihat apa hikmahnya. Mungkin manusia hendak semua termasuk pangkat, duit, rumah dan aset, tetapi kadang-kadang kita berasa bersalah dan menyesal serta menyalahkan orang lain. Kita tidak tahu apa hikmah di sebaliknya.

Kita harus terima kenyataan dan jangan berkecil hati. Saya masih tidak berubah dan tetap berkeras dalam menangani isu integriti, jenayah dan rasuah. Jika kita hendak berlembut dengan isu-isu tersebut, nanti organisasi kita akan rosak.

- Nasihat sempena Hari Kebangsaan

Kita hendak mencapai kemerdekaan bukan mudah. Orang dulu sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan tanah air bagi mencapai kemerdekaan, berbanding sekarang kita hanya kibarkan Jalur Gemilang, itu yang mampu kita buat.

Kita perlu mempertahankan kemerdekaan ini dengan pelbagai cara memperbaiki kelemahan diri, tidak kira di mana kita berada, sama ada kita orang awam atau penjawat awam. Jangan kita beranggapan sesuatu itu mustahil untuk kita ubah, tidak ada perkara yang mustahil untuk kita laksanakan. Ia bergantung kepada kita sama ada kita mahu berubah atau tidak.

Kita jangan terikut-ikut orang lain, kita harus ada komitmen untuk berubah. Paling penting kita berubah untuk kebaikan, tiada orang 'prefect' dalam dunia ini. Paling penting kita harus berpegang pada konsep integriti dan agama sebagai umat Islam supaya kita tidak akan 'tersasar'. Buat apa pun kita akan terfikir sama ada perkara yang kita lakukan itu mendapat dosa atau pahala, kita akan dapat balasan, tidak di dunia, mungkin di akhirat. Kita akan fikir banyak kali jika kita hendak buat perkara yang tidak elok.

Klik di sini untuk terus membaca