DUA nama besar dalam sukan bola sepak dunia Christiano Ronaldo dari Portugal dan Lionel Messi dari Argentina adalah contoh manusia yang patut kita semua contohi dan pelajari sesuatu daripada mereka.
Kedua-duanya memiliki tiga perkara dalam hidup - berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan.
Belalang selalu menekankan peri pentingnya tiga perkara ini dalam kehidupan. Tanpa tiga perkara ini kehidupan manusia sekadar mendatar tanpa kemajuan atau progres.
Bayangkan ya, Ronaldo berusia 36 tahun manakala Messi sudah berusia 34 tahun. Dalam dunia sukan apatah lagi dalam bola sepak yang perlu menggunakan kudrat fizikal, sepatutnya usia tersebut adalah usia pencen untuk ahli sukan tetapi tidak bagi kedua-dua jaguh bolasepak ini.
Kedua-duanya masih menjadi buruan kelab-kelab terkemuka dunia. Hanya kelab yang berduit sahaja yang mampu membayar gaji mereka yang mencecah hampir Pound Sterling 500,000 seminggu (bukan sebulan).
Fizikal yang mereka miliki seumpama seorang yang berusia 25 tahun. Rakan sekelab Ronaldo dari Manchester United, Patrice Evra pernah menceritakan bagaimana Ronaldo menjemputnya ke rumah untuk makan tengah hari dan mereka hanya dihidangkan ayam panggang dan air suam. Jus pun kata Evra tidak disentuh oleh Ronaldo.
Selepas makan, mereka berlatih menendang bola selama sejam di laman rumah Ronaldo. Regim latihannya sangat dahsyat. Daya tahan dan daya saingnya sungguh luar biasa dan dia masih berdaya maju pada usia lewat 30an yang sepatutnya menyaksikan dia bersara.
Messi pun Belalang kagum. Pada usia 34 tahun, Messi buat pertama kalinya berpindah kelab bukan bersara. Ini kerana kelab asalnya Barcelona sedang berhadapan dengan krisis kewangan dan tidak dapat menampung gajinya yang tinggi.
Yang mampu membayar gajinya hanyalah kelab Perancis Paris St Germain (PSG). Kelab ini yang dimiliki oleh taikun Qatar, Nasser Al-Khelaifi sanggup membayar AS$41 juta bersih setahun.
Tidak ada kelab yang sanggup menghabiskan wang sebanyak itu untuk seorang pemain bola sepak yang berusia 34 tahun tetapi ini Lionel Messi seorang genius yang bergerak melepasi pemain lawan seolah-olah bola itu melekat di kakinya.
Dan sekali lagi pada usia yang kebanyakan pemain lain sudah bersara dia masih berupaya memperolehi gaji seumpama dia berusia di awal 20an.
Dia membawa bersama-samanya aura positif. Pada hari dia menandatangani kontrak bersama PSG dan diberi jersi bernombor 30, replika baju kelab tersebut terjual sehingga AS$1 juta di seluruh dunia sedangkan dia belum lagi menyarung jersi itu secara rasmi di atas padang.
Messi dan Ronaldo memiliki sifat daya saing yang tinggi. Itulah yang membolehkan mereka memenangi anugerah bola sepak paling berprestij dunia - Ballon d’Or. Messi memenanginya sebanyak enam kali manakala Ronaldo lima kali.
Sejak tahun 2008, tidak ada pemain (melainkan Luka Modric pada 2018) yang pernah memenangi anugerah ini melainkan Ronaldo dan Messi sahaja. Mereka mendominasinya sehingga ke saat ini.
Apabila Messi berpindah kelab, Ronaldo turut mengemukakan permohonan yang sama kepada kelabnya Juventus.
Sebaik sahaja satu dunia mengetahui akan hasratnya untuk berpindah, seluruh mata tertumpu kepada Manchester City yang sebelum ini diketahui ingin mendapatkan Messi kerana kelab itu diurus oleh bekas pengurus Messi, Pep Guardiola. Malangnya ia tidak menjadi kenyataan.
Tetapi ini peluang untuk mendapatkan seorang lagi pemain terbaik dunia iaitu Ronaldo.
Namun pesaing City, Manchester United, majikan lama Ronaldo (dia bermain selama tujuh musim dengan United), memintas di tengah jalan. Mereka menggunakan magis Sir Alex Ferguson untuk menelefon Ronaldo dan meminta dia kembali ke United.
Maka sejarah pun tercipta. Pada tengah malam Jumaat (waktu Malaysia), United memperolehi persetujuan daripada Juventus untuk membeli Ronaldo.
Dunia bola sepak tidak pernah menerima kejutan besar seperti ini daripada ‘kuda tua’ yang tidak pernah pudar auranya walaupun sesaat.
Ada baiknya juga ahli sukan kita seperti jaguh lumba basikal, Datuk Azizulhasni Awang mempelajari tiga perkara yang dimiliki oleh Ronaldo dan Messi - berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing.
Belalang - Selalu berdaya-daya....
Klik di sini untuk terus membaca