KRITIKAN sesetengah pihak terhadap pengumuman kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mudah difahami. Dalam impian, kita mahukan semuanya yang terbaik, sempurna dan cantik. Namun realiti kehidupan tidak sebegitu. Ia penuh... Klik di sini untuk terus membaca

KRITIKAN sesetengah pihak terhadap pengumuman kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mudah difahami. Dalam impian, kita mahukan semuanya yang terbaik, sempurna dan cantik. Namun realiti kehidupan tidak sebegitu. Ia penuh kompleksiti, tolak ansur dan pertimbangan yang berbeza.

Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan dalam keadaan kempen kerajaan gagal sedang bersemarak dalam kalangan penyokong pembangkang dan UMNO, sudah tentu kumpulan yang sama berharap akan ada perubahan besar dalam kabinet Ismail Sabri bagi menjustifikasikan kebenaran kempen mereka.

Namun, seperti saya tulis dalam kolum ini minggu lalu, Ismail Sabri tiada banyak pilihan kecuali mengekalkan sebahagian besar anggota kabinetnya.

Beliau mewarisi sebuah kerajaan yang tidak stabil; dianggotai oleh pelbagai parti politik dan ada pula beberapa fraksi berbeza dalam UMNO dan Bersatu.

Selain itu, kempen kerajaan gagal ini tidak ada kebenaran sama sekali. Kerajaan seluruh dunia berhadapan pandemik yang sukar ditangani, jumlah korban yang tinggi dan kemelesetan ekonomi.

Dalam keadaan negara diancam pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan politik, Ismail membuat keputusan tepat mengekalkan sebahagian besar kabinet sedia ada.

Antara yang sangat menarik dalam pengumuman kabinet ini, Ismail Sabri meninggalkan tradisi politik UMNO yang memusatkan terlalu banyak kuasa kepada Perdana Menteri. Perdana Menteri dari UMNO mempunyai tradisi memegang salah satu kementerian penting sama ada Kewangan atau Dalam Negeri.

Justeru pengekalan Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan menunjukkan Perdana Menteri mahu memastikan tadbir urus kewangan negara kekal tanpa terlalu banyak pengaruh politik.

Pelantikan

Pengekalan Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainudin serta kemasukan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ke dalam kabinet adalah keputusan untuk mengharmonikan kerajaan campuran ini.

Ketiga-tiga mereka ini mewakili fraksi yang berbeza dalam Bersatu dan setiap seorangnya mempunyai sekumpulan ahli Parlimen yang signifikan dalam pembentukan kerajaan.

Dalam kem UMNO sendiri, Ismail Sabri perlu mengimbangi pelbagai fraksi lain. Sudah tentu pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Pertahanan disambut baik oleh sebahagian besar rakyat dan ahli Parlimen UMNO.

Pelantikan semula Datuk Noraini Ahmad di Kementerian Pengajian Tinggi menimbulkan kontroversi. Noraini antara dua menteri UMNO yang meletak jawatan atas keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO menarik sokongan kepada Muhyiddin.

Namun untuk berlaku adil, Noraini meletak jawatan hanya kerana ia keputusan parti, bukan kerana perbezaan pendapat dengan kerajaan.

Oleh kerana Noraini adalah Ketua Wanita UMNO, Ismail Sabri perlu mengambil kira kedudukan beliau dan memastikan kerajaan pimpinannya turut mendapat dokongan UMNO, salah satu parti utama.

Mungkin kumpulan yang paling mudah dikendalikan oleh Ismail Sabri ialah Pas dan GPS. GPS tidak mempunyai banyak fraksi dan memudahkan perbincangan dengan Perdana Menteri.

Manakala Pas mungkin yang paling memahami persepsi rakyat. Mereka bersetuju menggugurkan Mohd. Khairuddin Aman Razali (sebelum ini Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) dan Che Abdullah Mat Nawi (sebelum ini Timbalan Menteri) yang pernah mencetuskan kontroversi dan kemarahan dalam kalangan rakyat.

Ismail Sabri membawa masuk dua tokoh baharu iaitu Naib Presiden Pas, Idris Ahmad sebagai Menteri dan Ketua Dewan Ulama Pas, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh sebagai timbalan menteri.

Mengambil kira keadaan politik negara yang sudah hampir bersifat anarki, Ismail Sabri boleh dianggap telah melepasi cabaran pertama dengan cemerlang iaitu memastikan kerajaan ini stabil dan mampu berfungsi dengan baik.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca