PADA 64 tahun lepas, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj mengisytiharkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Ia adalah tempoh yang singkat berbanding dengan empat ratus empat puluh enam tahun negara dijajah kuasa asing. Tentulah di dalam tempoh yang begitu lama kesan penjajahan itu agak sukar untuk dihapuskan. Namun itu bukanlah alasan bagi tidak meloloskan diri kita dari minda orang asing itu.
Namun dalam kita menikmati kebebasan ini, ada beberapa aspek yang mana kita masih terus ‘dijajah’. Sejak kebelakangan ini aspek pembinaan negara antara masyarakat semakin hari semakin dilihat sebagai diruntuhkan. Mungkin pendekatan penjajah dahulu melalui sistem divide and rule ini diamalkan oleh beberapa golongan tertentu.
Acapkali kita lihat apabila berlaku sesuatu isu melibatkan kaum (walaupun ia sebenarnya bukan isu perkauman) masyarakat begitu marah dan kerap menjadi sasaran cemuhan. Bukan sahaja golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara malah golongan majoriti juga sering berasa dipinggirkan dan tidak mendapat keadilan.
Leluhur kita sudah membina negara dengan semangat toleransi yang tinggi dan inilah yang perlu dipertahankan. Tindakan perlu diambil kepada sesiapa sahaja yang cuba menggugat semangat ini ataupun membelakangkan falsafah pembinaan negara serta sejarahnya.
Malaysia begitu unik tidak sama dengan mana-mana negara yang lain di dunia ini. Namun hari ini keunikan itulah yang diperkotak-katik banyak pihak kerana mereka tidak memahami sejarah. Malah ada juga yang mahu menulis kembali sejarah berdasarkan perspektif mereka sendiri yang tersasar dari fakta sebenar. Ini adalah suatu tindakan yang sangat merbahaya kerana menggarap fakta yang tidak benar.
Sempena bulan kemerdekaan negara ini, marilah bersama-sama kita bulatkan tekad merenung kembali sejarah negara. Kita perlu menoleh ke belakang melihat sejarah silam bagi melihat ke hadapan membina kecemerlangan. Tiada gunanya kita cemerlang jika jati diri anak bangsa kita sendiri sudah tiada.
Tiada manfaatnya kita mengimport nilai-nilai luar yang dikatakan baik itu sedangkan kita meminggir nilai tempatan yang sudah sebati dengan jiwa dan raga kita. Tiada eloknya juga kita berkiblat ke luar negara sedangkan panduannya ada pada diri kita sendiri.
Malah tiada kebaikan jika kita mahu membina kekuatan bersumberkan telahan luar dalam masa yang sama kita menghancurkan swadaya watan. Kita mesti membina negara atas aspirasi kita sendiri bukan melalui kacukan luaran yang mungkin tidak serasi dengan selera kita. Sesungguhnya mengisi erti kemerdekaan itu lebih sukar dari mendapatkannya. Tanggungjawab dan peranan kita sebagai warganegara untuk membawa negara ke mercu kecemerlangan di samping tidak meminggirkan nilai, sejarah dan jati diri yang sudah sebati itu.
Memang benar dalam sebuah negara pelbagai kaum dan agama, kita tidak dapat lari dari perselisihan faham, tetapi menguruskan perselisihan itu sangat penting dan perlu diberikan perhatian. Tiada kompromi perlu diberikan kepada mereka yang sengaja mahu mencetuskan pergaduhan kaum atas apa jua alasannya. Golongan majoriti hendaklah menghormati hak yang sah diberikan kepada golongan minoriti manakala golongan minoriti juga perlu menghormati golongan majoriti yang merupakan golongan utama di dalam negara.
Perbezaan keistimewaan diberikan kepada golongan tertentu adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan. Ia sudah diterima sepanjang kita membina negara ini. Jangan dipertikai keabsahannya kerana sekali ia dipertikai, beribu kali perkara lain akan diungkitkan juga. Marilah kita sama-sama membawa negara ke mercu kegemilangan. Setiap diri kita punya peranan masing-masing.
Tindakan perlu diambil kepada sesiapa sahaja yang cuba menggugat semangat ini ataupun membelakangkan falsafah pembinaan negara serta sejarahnya.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca