PADA 15 Ogos lalu, Taliban telah mengambil alih Kabul, ibu kota Afghanistan dan ini menandakan berakhirnya konflik antara Taliban dengan Amerika Syarikat (AS) yang telah berlangsung selama 20 tahun (2001-2021). Kumpulan Taliban telah... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 15 Ogos lalu, Taliban telah mengambil alih Kabul, ibu kota Afghanistan dan ini menandakan berakhirnya konflik antara Taliban dengan Amerika Syarikat (AS) yang telah berlangsung selama 20 tahun (2001-2021).

Kumpulan Taliban telah memerintah Afghanistan dari 1996 sehingga mereka digulingkan oleh pencerobohan tentera AS pada 2001.

Pencerobohan AS ke atas Afghanistan berikutan serangan 11 September dan maklumat bahawa Osama bin Laden mendapat pelindungan daripada pihak Taliban di negara berkenaan.

Sepanjang tempoh konflik dan pendudukan, AS telah membelanjakan sebanyak AS$1 trilion (RM4.19 trilion)untuk tujuan ketenteraan dan pembinaan semula Afghanistan. Selain itu dianggarkan ribuan telah terkorban termasuk tentera Afghanistan, pejuang Taliban dan orang awam. Malah seramai 2,400 tentera AS turut terkorban.

Walaupun pendudukan dan konflik dengan AS telah tamat, namun ini tidak bererti situasi di Afghanistan telah tenteram sepenuhnya. Masa depan khasnya kestabilan serta kedamaian di Afghanistan masih belum menentu lagi. Maka timbul persoalan sejauhmana Afghanistan dibawah pemerintahan Taliban buat kali kedua akan menjalankan hubungan dengan dunia luar terutama dengan kuasa-kuasa besar seperti AS, Rusia, China dan India. Selain itu bagaimana hubungan Afghanistan dengan negara-negara jiran seperti Pakistan, Iran dan negara-negara Asia Tengah? Pemimpin Taliban telah memperolehi kemenangan namun mereka sedar bahawa mereka tidak mahu dipinggirkan oleh masyarakat antarabangsa sepertimana yang telah berlaku semasa mereka memerintah Afghanistan kali pertama pada penghujung 1990-an.

Perbincangan

Justeru, pemimpin Taliban telah memulakan perbincangan dengan China untuk memperolehi pengiktirafan dan sokongan kewangan. Bagi China pula Afghanistan merupakan sebuah negara yang strategik dalam program Inisiatif Jalur dan Laluan atau Belt and Road Initiative (BRI) kerana ia mampu menghubungkan wilayah Xinjiang, China dengan Iran, Turkmenistan dan Uzbekistan melalui pembinaan laluan kereta api dan lebuh raya. China juga berminat untuk mengusahakan industri perlombongan di Afghanistan. Pada masa sama, China juga memerlukan kerjasama daripada pihak Taliban supaya mereka tidak menyokong kumpulan East Turkestan Islamic Movement (ETIM) yang memperjuangkan gerakan pemisah di wilayah Xinjiang. Oleh yang demikian pada 28 Julai lalu,Menteri Luar China, Wang Yi telah menerima lawatan delegasi Taliban diketuai oleh Pesuruhanjaya Politik Taliban Afghanistan, Mullah Abdul Ghani Baradar di Tianjin. Pihak Taliban juga mahu mencari pengganti bagi industri-industri yang ditinggalkan oleh AS. Ini jelas menunjukan sikap pragmatik Taliban.

Perlu ditegaskan bahawa ini tidak bererti Taliban akan berkompromi dalam isu keagamaan. Mereka telah mengeluarkan kenyataan membenarkan golongan wanita untuk bersekolah dan bekerja berasaskan lunas perundangan Islam. Pihak Taliban sedar bahawa kestabilan di Afghanistan sangat sukar dicapai tanpa bantuan masyarakat antarabangsa. Mereka memerlukan modal dan kewangan untuk mentabir dan membina semula negara itu.

Menurut bank pusat negara itu, Da Afghanistan Bank (DAB), Afghanistan mempunyai aset bernilai AS$9 bilion (RM37.7 bilion) dalam bentuk emas, mata wang asing dan harta. Bagaimanapun aset-aset ini berada di luar Afghanistan dan telah dibekukan akibat pertukaran pemerintahan. Oleh yang demikian, pemerintahan Taliban perlu mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk AS supaya aset-aset berkenaan boleh diaktifkan semula.

Selain itu, Taliban telah mengisytiharkan pengampunan kepada kakitangan kerajaan yang pernah berkhidmat di bawah pentabiran Presiden Ashraf Ghani supaya mereka boleh terus berbakti kepada negara. Taliban sedar betapa pentingnya sumber tenaga manusia untuk meneruskan pentadbiran yang berkesan. Pada masa sama juga, Taliban cuba menjalinkan kerjasama dan mendapat sokongan negara-negara di Asia Tengah, misalnya dengan mengadakan perbincangan harian dengan pemimpin Uzbekistan, Presiden Shavkat Mirziyoyev.

Amat jelas sikap Taliban pada 2021 berbeza dengan Taliban pada penghujung 1990-an yang kini lebih bersifat pragmatik dan inklusif. Mereka tidak mahu dipinggirkan oleh masyarakat antarabangsa dan sudi untuk berdialog termasuk dengan bekas musuh politik mereka seperti mantan Presiden Hamid Karzai dan Abdullah Abdullah iaitu bekas ketua delegasi kerajaan Afghanistan ketika rundingan di Doha.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca