KEPUTUSAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengundang tiga pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) untuk mengadakan perbincangan di Putrajaya minggu lalu dianggap satu langkah yang mengejutkan. Pertemuan secara rasmi antara... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengundang tiga pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) untuk mengadakan perbincangan di Putrajaya minggu lalu dianggap satu langkah yang mengejutkan.

Pertemuan secara rasmi antara Perdana Menteri dengan pemimpin-pemimpin pembangkang dianggap amat bersejarah kerana ia hanya pernah berlaku sekali, iaitu ketika di bawah pimpinan bekas perdana menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Ketika mengulas isu berkenaan, Sin Chew Daily berkata, kerjasama antara kerajaan dengan pihak pembangkang itu juga bertepatan dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu mewujudkan kestabilan politik melalui kerjasama rentas parti politik di samping berganding bahu membendung penularan pandemik Covid-19.

Seperti yang dijelaskan dalam perjanjian antara Perdana Menteri dan PH itu, mereka telah mencapai persetujuan bersama untuk memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

Selain itu, pihak kerajaan dan pembangkang turut mencapai persefahaman untuk bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi bagi memastikan keadaan lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

"Bagi rakyat jelata, tentunya amat setuju dengan pendekatan yang diambil. Ini kerana kebajikan dan kesejahteraan rakyat telah diutamakan berbanding dengan kepentingan politik masing-masing.

"Setelah sekian lamanya rakyat jelata bosan dengan tingkah-laku ahli-ahli politik, kini sudah tiba masanya peluang untuk kerajaan dan pembangkang sama-sama menjernihkan keadaan.

"Negara telah melalui detik-detik yang getir dan pahit akibat pandemik Covid-19. Akibatnya, ramai kehilangan kerja, pendapatan terjejas, banyak premis terpaksa menamatkan perniagaan malahan lebih 10,000 orang kehilangan nyawa.

"Lebih memburukkan lagi keadaan apabila berlaku suasana politik yang tidak tenteram. Ini melibatkan pergeseran politik sesama parti-parti komponen dalam kerajaan selain persengketaan antara kerajaan dengan pembangkang yang berlaku secara berterusan,” tulis akhbar itu.

Akibatnya, jelas akhbar Cina itu lagi, ketidakstabilan politik sudah semestinya menyaksikan usaha memerangi Covid-19 terjejas dan gagal dicapai seperti diharapkan. Persefahaman yang tercapai sedikit sebanyak memberi sinar harapan kepada kita.

"Seluruh rakyat jelata menaruh harapan bahawa kerjasama antara kerajaan dengan pembangkang ini bukan semata-mata untuk kepentingan politik, tetapi mesti mendahulukan kepentingan rakyat. Bagi kerajaan, janganlah terus menganggap pihak pembangkang sebagai musuh politik mereka,” ulas Sin Chew Daily lagi.

Konsep Keluarga Malaysia yang ditekankan oleh Ismail Sabri telah meningkatkan imej beliau sendiri. Seperti yang dijelaskan beliau, keluarga Malaysia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

"Inilah gagasan yang dipercayai boleh bawa kemakmuran dan diterima seluruh lapisan masyarakat sekali gus membawa kerajaan pimpinan beliau menuju ke jalan yang lebih kukuh dan stabil,” tulis akhbar itu.

Sesungguhnya konsep keluarga Malaysia turut menyelitkan perpaduan dalam politik. Sebelum itu, PH telahpun dijemput Ismail Sabri untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Usaha memulihkan ekonomi negara dan keberkesanan membendung Covid-19 bukan sahaja terletak di bahu kerajaan tetapi juga penglibatan seluruh ahli Parlimen dan lapisan masyarakat. Ketepikan politik dan mengembalikan kesihatan dan keselamatan rakyat perlu menjadi keutamaan.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca