KESIHATAN yang baik adalah satu nikmat besar dikurniakan ALLAH SWT kepada setiap manusia. Ia adalah sesuatu yang sangat berharga dan membahagiakan hidup seorang manusia. Kehilangan nikmat ini akan terasa apabila seseorang itu jatuh sakit dan ada yang sampai terlantar di katil hospital. Ia satu kesusahan yang perlu ditanggung sendiri di samping memberi kesan kepada orang lain yang perlu menjaganya.
Menjaga kesihatan diri adalah satu tanggungjawab dan amanah yang dituntut bagi seseorang insan sebagai makhluk ALLAH SWT. Justeru, kesihatan diri kita hendaklah dijaga sepanjang hidup dari saat mula dilahirkan hingga ke saat kematian.
Baru-baru ini, satu konsep telah diperkenalkan di peringkat global iaitu konsep self-care atau penjagaan kendiri dalam kesihatan. Penjagaan kendiri dalam kesihatan ini adalah satu konsep sangat sesuai untuk menghadapi masa depan yang cukup mencabar di seluruh dunia.Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengutarakan konsep self-care ini pada tahun 2019. Self-care didefinisikan sebagai keupayaan individu, keluarga dan komuniti untuk mempromosi kesihatan, mencegah penyakit, mengekalkan kesihatan dan mengatasi penyakit dan kecacatan sama ada dengan sokongan pemberi penjagaan kesihatan atau pun tidak. Ini bermaksud setiap individu mesti mengambil tanggungjawab sendiri dalam penjagaan kesihatan masing-masing. Dalam konsep self-care ini terdapat tujuh perkara utama yang ditekankan seperti berikut:-
1. Ilmu dan kecelikan kesihatan
Untuk melakukan self-care, seorang individu perlu mempunyai ilmu dan kecelikan diri dalam bidang kesihatan. Konsep sihat dan sakit perlu diketahui. Seseorang perlu tahu apa itu sihat dan apa itu penyakit dan mengapa ianya berlaku. Jenis-jenis penyakit perlu juga diketahui. Pengetahuan terhadap penyakit yang berjangkit seperti jangkitan Covid-19 dan penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung perlulah ada. Ada beza antara penyakit yang datang secara tiba-tiba (akut) dan penyakit datang sedikit demi sedikit serta berterusan (kronik). Diagnosis penyakit-penyakit ini hendaklah ditentukan terlebih dahulu dari pihak yang berwajib dalam bidang kesihatan.
Kita juga perlu mengetahui tentang jenis penjagaan kesihatan iaitu penjagaan secara promotif, pencegahan (preventif), penyembuhan (kuratif), pemulihan (rehabililatif) dan paliatif. Tentunya penjagaan secara promotif dan preventif adalah lebih baik untuk dilakukan oleh seseorang dalam aspek penjagaan kesihatan kendiri. Secara promotif, kita perlu mengetahui tentang usaha-usaha yang boleh dibuat untuk memastikan tubuh badan kita sihat. Secara preventif pula, kita perlu berusaha mengambil vaksin contohnya untuk mengelak diri terkena jangkitan Covid-19 contohnya. Usaha ini sebagai usaha pencegahan.
Sekiranya seseorang itu sakit, beliau perlu mengetahui tentang penyakitnya itu, serta jenis rawatan yang ada untuk merawat penyakit tersebut. Konsep ini adalah penjagaan kesihatan pada tahap kuratif. Bagi peringkat rehabilitatif pula, usaha-usaha untuk menambah baik keadaan pesakit setelah mengalami sesuatu penyakit kronik dan mengalami keadaan yang tidak seperti biasa dan perlu dilakukan tindakan intervensi.
2. Kesejahteraan mental
Seorang individu mesti mempunyai kesihatan mental yang baik. Kesihatan mental adalah sesuatu yang perlu difahami. Ia perlu dipupuk dan dibina untuk menjadi kuat dan kukuh untuk mendepani tekanan hidup yang senantiasa mencabar. Wabak Covid-19 telah menzahirkan suasana yang sangat sukar kepada manusia. Diberitakan banyak kes bunuh diri telah berlaku di era wabak Covid-19 dan ini satu senario yang sangat mendukacitakan. Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan terdapat banyak kes bunuh diri dilaporkan, namun perkara itu tidak dihebohkan. Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes bunuh diri pada tahun 2019 adalah sebanyak 609 manakala pada tahun 2020 sebanyak 631 kes. Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun 2021, sebanyak 468 kes telah dilaporkan. Ini adalah sesuatu yang sangat membimbangkan kerana kadar peningkatan setiap bulan diperhatikan terus menaik.
Penyakit-penyakit mental seperti kemurungan dan kerunsingan yang melampau perlulah dirawat melalui kaedah psikososial dan ubat-ubatan.
3. Aktiviti fizikal
Aktiviti fizikal adalah satu komponen utama dalam konsep gaya hidup sihat. Begitu banyak faedah yang boleh didapati sekiranya ia dilakukan secara konsisten. Tubuh badan yang cergas mampu menzahirkan kehidupan yang ceria dan membahagiakan.
Sebagai contoh, aktiviti berjalan kaki setiap hari sebanyak 10,000 langkah termasuk mendaki anak tangga sebanyak 10 tingkat bangunan boleh memberikan manfaat besar kepada tubuh badan.
Aktiviti berjalan kaki selama setengah jam setiap hari boleh mengurangkan berat badan, meningkatkan kesihatan jantung, menggalakkan perasaan positif, mengurangkan risiko penyakit diabetes, menguatkan tulang dan otot.
4. Pemakanan sihat
Pemakanan adalah satu aspek yang perlu diberikan perhatian untuk kesihatan tubuh badan. Pemakanan yang berlebihan dan tidak seimbang adalah punca kepada penyakit tidak berjangkit yang dikatakan sebagai penyakit tiga serangkai seperti darah tinggi (hipertensi), kencing manis (diabetes) dan penyakit jantung. Kandungan lemak berlebihan di bahagian perut adalah satu tanda penyakit yang nyata. Oleh itu, ia perlu di kawal dan dijaga. BMI yang mengukur kandungan lemak dalam badan haruslah kurang daripada 25 dan ukuran BMI lebih daripada 30 menunjukkan seseorang itu adalah obes atau berada pada tahap kegemukan.
Buat masa ini, Malaysia adalah negara yang mempunyai penduduk obes yang paling tinggi di Asia. Ini bukan satu rekod yang perlu dibanggakan. Obes dan penyakit-penyakit tiga serangkai ini juga merupakan faktor co-morbiditi dalam wabak Covid-19. Ini bermakna mereka berisiko tinggi dan terdedah kepada tahap 3, 4 atau 5 bagi wabak Covid-19.
Rakyat sepatutnya mengamalkan cara pemakanan mengikut konsep pinggan makanan Malaysia secara suku-suku-setengah yakni suku pinggan untuk karbohidrat, suku pinggan untuk protein dan setengah pinggan untuk sayur-sayuran dan buah-buahan. Ini adalah konsep pemakanan yang berimbang.
5. Hindari risiko
Risiko-risiko kepada kesihatan perlulah dikenal pasti. Perkara ini adalah sangat penting kerana dengan mengetahui risiko-risiko ini, ianya bolehlah dielak atau diuruskan sebaik mungkin.
Ketagihan rokok, vape, dadah dan arak adalah satu risiko yang tinggi terhadap kesihatan seseorang individu. Ketagihan-ketagihan ini akan menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, jantung, paru-paru, buah pinggang, hati, mati pucuk, kanser dan mental.
6. Kebersihan diri
Wabak Covid-19 telah membudayakan kita untuk menjaga kebersihan diri. Tangan-tangan dibasuh sekerap mungkin sama ada dengan menggunakan air dan sabun atau sanitiser tangan. Islam sangat menganjurkan pencucian anggota badan iaitu konsep toharah untuk bersuci diri. Ianya sangat teliti sama ada semasa bermandi mahupun berwuduk. Ini termasuk amalan intinsyaq dan intintsar untuk membersihkan kawasan hidung yang merupakan permulaan saluran pernafasan atau respiratori. Ini sangat relevan dalam wabak Covid-19 yang menyerang saluran pernafasan.
7. Penggunaan rasional untuk ubat-ubatan dan perkhidmatan
Penggunaan ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan secara rasional perlulah dilakukan untuk memanfaat kesihatan tubuh badan.
Produk-produk kesihatan yang berbentuk promotif dan preventif adalah penting untuk kesihatan dan perlu diutamakan. Ini kerana pencegahan adalah lebih baik daripada merawat.
Produk-produk kesihatan ini hendaklah didaftarkan dengan NPRA. Berhati-hatilah dengan pelbagai jenis produk sampah yang berada di pasaran khususnya yang dijual secara dalam talian.
Bolehlah disimpulkan bahawa penjagaan kesihatan kendiri perlulah menjadi tanggungjawab diri sendiri dan masing-masing perlu berusaha mencari ilmu untuk mengetahui status kesihatan masing-masing.
*AMRAHI BUANG adalah Presiden Persatuan Farmasi Malaysia. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang farmasi khususnya farmasi hospital.
Klik di sini untuk terus membaca