PADA 7 Oktober 2001, Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, George W Bush melancarkan perang ke atas Afghanistan dengan harapan untuk menamatkan keganasan di dunia.
Perang itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan dua buah pesawat komersial yang dirampas oleh sekumpulan 'pengganas' ke atas dua buah bangunan berkembar World Trade Center (WTC) sehingga runtuh di New York pada 11 September 2001.
Bahagian barat daya ibu pejabat bangunan Jabatan Pertahanan AS atau lebih dikenali sebagai Pentagon di Arlington dekat Washington juga dirempuh sebuah lagi pesawat komersial yang dirampas 'pengganas.'
Sebuah lagi kapal terbang penumpang dari Newark, New Jersey terhempas di Shanksville, Pennsylvania setelah terdapat penumpang yang memberitahu kaum keluarga tentang pesawat tersebut telah dirampas oleh sekumpulan 'pengganas' melalui telefon selular.
Kesemua kejadian itu menyebabkan hampir 3,000 orang terbunuh dan akibatnya Bush melancarkan serangan di Afghanistan bagi memerangi kumpulan Al-Qaeda yang didakwanya merancang serangan tersebut selain mendapat perlindungan daripada Taliban.
Namun, setelah 800,000 anggota perkhidmatan AS berkhidmat di Afghanistan sejak Oktober 2001, lebih 6,000 askar Amerika terbunuh manakala lebih 100,000 penduduk Afghanistan terkorban, perang memerangi keganasan itu terbukti gagal untuk menghapuskan Al-Qaeda.
Kos keseluruhan perang di negara itu termasuk operasi di Pakistan ialah AS$2.31 trilion (RM9.69 trilion), menurut anggaran angka yang dikeluarkan oleh Universiti Brown, AS.
Dalam perang yang turut melibatkan negara-negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Australia, AS akhirnya berjaya membunuh ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama Laden pada bulan Mei 2011 di Abbotabbad, Pakistan tetapi ia gagal untuk menghancurkan kumpulan Al-Qaeda dan masih beroperasi sehingga kini.
Hampir 20 tahun perang menentang keganasan itu berlaku yang merupakan peperangan paling panjang pernah dihadapi AS sebelum ia diakhiri dengan pengunduran tentera negara berkenaan dari Afghanistan pada 31 Ogos ini.
Pengunduran itu juga membawa malu besar kepada negara 'Uncle Sam' apabila ia berundur hanya selepas beberapa hari Taliban berjaya menawan ibu kota Kabul daripada tentera kerajaan Afghanistan dalam tempoh 10 hari sahaja.
Peperangan itu juga menyebabkan kumpulan Daesh bertapak di negara tersebut yang telah mengaku melakukan serangan bunuh diri di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, Kabul pada Khamis lalu sehingga mengakibatkan 13 askar AS maut iaitu paling tinggi sejak tahun 2011 dan lebih 78 orang awam terkorban.
Pentagon turut membuat penjelasan pada Jumaat lalu bahawa hanya satu kejadian pengebom bunuh diri berlaku di sebuah pintu masuk ke lapangan terbang itu.
AS juga terpaksa berbaik-baik dengan Taliban bagi membawa balik askar-askar Amerika dari negara itu melalui perjanjian yang dibuat dengan pergerakan tersebut pada tahun lalu di Doha, Qatar ketika seorang hartawan, Donald Trump menjadi Presiden.
Bagaimanapun, AS mendapat malu besar selepas Bush melancarkan kempen bagi memerangi keganasan yang mencetuskan kontroversi pada tahun 2001 sehingga menyebabkan umat Islam di Amerika terpaksa menjalani pemeriksaan ketat keselamatan di lapangan terbang negara tersebut.
Ejen Pentadbiran Keselamatan dan Pengangkutan AS ditugaskan memeriksa umat Islam termasuk golongan wanita yang memakai hijab manakala golongan Muslim ketika itu dianggap menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara Uncle Sam.
Kejayaan Taliban menawan Kabul itu juga menunjukkan dasar AS bagi memerangi keganasan adalah silap terutamanya layanan oleh Washington terhadap penduduk Islam di negaranya sendiri atau ke atas umat Islam yang mahu memasuki negara tersebut.
Peperangan di Afghanistan itu yang dilancarkan selepas serangan ke atas bangunan berkembar WTC dan turut mengorbankan seorang pekerja Muslim juga menyebabkan timbul persepsi serong terhadap umat Islam akibat dasar-dasar yang dilakukan oleh AS.
Dasar dilakukan adalah bagi menangani apa yang didakwa AS sebagai keganasan itu hanya membangkitkan lagi kemarahan sebahagian umat Islam terhadap negara berkenaan.
Washington juga seperti tidak belajar tentang kekalahannya di Vietnam pada tahun 1970-an dan Perang di Iraq pada tahun 2003 yang dilancarkan dengan andaian Presiden negara tersebut ketika itu, Saddam Hussein mempunyai senjata pemusnah besar-besaran.
Dasar 'keras' AS terhadap umat Islam perlu diubah kerana terbukti kos perbelanjaan perang di Afghanistan lebih AS$1 trilion (RM4.19 trilion) untuk memerangi keganasan 'hangus' begitu sahaja malah reputasi Presiden AS ketika ini, Joe Biden turut musnah.