AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika mengumumkan persaraannya daripada politik beberapa hari lalu menegaskan yang keputusannya itu diambil bagi memberi peluang kepada pemimpin muda untuk naik. Beliau sendiri... Klik di sini untuk terus membaca

AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika mengumumkan persaraannya daripada politik beberapa hari lalu menegaskan yang keputusannya itu diambil bagi memberi peluang kepada pemimpin muda untuk naik.

Beliau sendiri sudah mencecah usia 67 tahun dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat dari April 1995 tanpa putus sehingga sekarang - lebih 26 tahun.

Pemimpin datang dan pergi tetapi kita mendoakan pemimpin yang baik dan berkebolehan datang dan tidak pergi. Namun era ini, sudah menjadi amalan di seluruh dunia, pemimpin tidak dibenarkan berada di tampuk kekuasaan lebih daripada dua penggal.

Ada negara yang mengamalkan satu penggal empat tahun. Ada negara lima dan ada negara enam tahun. Dalam kalangan negara ASEAN misalnya, Filipina dan Indonesia sudah jauh ke hadapan dalam melakukan reformasi politik.

Di Filipina, situasinya lebih ketat. Presiden hanya boleh menyandang jawatan selama sepenggal sahaja iaitu enam tahun dan tidak boleh dipilih semula. Jika beliau hendak bertanding dalam penggal seterusnya, beliau hanya boleh bertanding kerusi naib presiden.

Di Indonesia pula, presiden dibenarkan memegang jawatan sebanyak dua penggal dengan setiap penggal adalah lima tahun. Jadi tempoh maksimum seorang individu itu boleh memerintah Indonesia ialah 10 tahun.

Amerika Syarikat pula hanya membenarkan presidennya menyandang jawatan selama dua penggal dengan setiap penggal adalah empat tahun. Maka tempoh maksimum seseorang presiden itu boleh memegang jawatan di Amerika hanyalah lapan tahun.

Di Amerika sendiri, tempoh empat tahun itu kini dianggap terlalu pendek. Ini kerana selepas tiga tahun memimpin, calon presiden terpaksa kalut berkempen untuk penggal seterusnya.

Oleh sebab negara itu besar, mereka mengambil masa hampir setahun untuk berkempen bermula dengan konvensyen parti masing-masing dan memilih calon di peringkat parti dan kemudian selepas menang di peringkat parti, tumpuan terarah pula di peringkat kebangsaan untuk menjadi presiden.

Rusia yang merupakan bekas negara komunis pun kini turut meletakkan had tempoh kepada seseorang presiden iaitu enam tahun sepenggal dan boleh bertanding semula untuk penggal kedua sahaja. Ini bermakna di Rusia, tempoh maksimum seseorang presiden itu berkuasa ialah 12 tahun.

Di Malaysia, kita masih mengamalkan cara lama iaitu tiada had penggal untuk jawatan Perdana Menteri. Siapa pun boleh memegang jawatan ini selama yang ia mahu selagi dipilih oleh majoriti ahli Dewan Rakyat.

Namun cadangan sudah ada. Yang terbaru datangnya daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada saat akhir sebelum beliau melepaskan jawatan. Ketika itu idea yang dilontarkannya tidak disambut oleh ahli-ahli Parlimen kerana mereka kalut nak jatuhkan Perdana Menteri.

Kini, selepas suasana politik lebih aman apatah lagi, Perdana Menteri dan jemaah menteri baru telah dilantik, apakah sesuai cadangan ini dibawa kembali dan dilontarkan untuk pertimbangan Dewan Rakyat?

Jika Malaysia benar-benar mahu menunjukkan kesungguhan dalam melakukan reformasi institusi dan politik, adalah baik dan wajar syor yang pernah dilontarkan oleh Muhyiddin itu dibawa untuk dibahas dan didebatkan di Dewan Rakyat.

Sebarang pindaan atau rang undang-undang yang akan membawa kepada perubahan ini memerlukan undi dan sokongan dua pertiga daripada anggota Dewan.

Jadi, cadangan ini memerlukan sokongan semua pihak sama ada daripada blok kerajaan mahupun pembangkang atau wakil rakyat Bebas untuk dijadikan undang-undang.

Kewajaran ini adalah sejajar dengan orde baru dunia sekarang iaitu skop demokrasi dan kuasa mestilah ada hadnya. Dua penggal dengan tempoh lima tahun sepenggal adalah satu tempoh yang boleh diterima oleh kita semua.

Sepuluh tahun adalah waktu tempoh yang cukup lama untuk mana-mana Perdana Menteri melaksanakan apa jua pembaharuan, rancangan pembangunan dan kemajuan yang beliau inginkan untuk rakyat dan negara.

Dan tempoh lima tahun untuk setiap penggal juga adalah satu tempoh waktu yang tidak terlalu pendek dan tidak pula terlalu lama untuk rakyat membuat perhitungan dan menilai prestasi kerajaan yang mereka pilih menerusi pilihan raya.

Pada masa yang sama, kita juga tidak mahu lagi dah seorang Perdana Menteri terus memerintah sehingga ke usia 90-an sepertimana yang pernah kita semua saksikan sebelum ini.

Jika seandainya kita hadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada hanya dua penggal, ini akan membuka ruang yang lebih luas kepada generasi pelapis untuk muncul sebagai pemimpin nombor satu negara.

Negara ini dahagakan pemimpin muda yang berwawasan dan dinamik untuk memimpin kita menghadapi dunia yang semakin mencabar dan kompleks.

Malangnya, kepimpinan parti politik kita dipenuhi dengan pemimpin-pemimpin yang sudah berusia tetapi masih enggan melepaskan kerusi mereka kepada generasi pelapis.

Muhyiddin sendiri ketika menyandang jawatan Perdana Menteri berusia 74 tahun dan masih memimpin partinya, Bersatu.

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 10 Mei 2018, berusia 92 tahun - menjadikannya Perdana Menteri tertua dalam sejarah dunia. Dan kini masih mengepalai partinya sendiri, Parti Pejuang.

Ketua Pembangkang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah berusia 74 tahun. Dan barang diingat beliau masih menyimpan hasrat untuk menjadi Perdana Menteri. Jika ditakdirkan beliau menang Pilihan Raya Umum ke-15, beliau juga akan mengangkat sumpah jawatan pada usia yang sudah lanjut dan tua.Tetapi seandainya beliau gagal, sudah tiba masanya beliau memberi peluang kepada generasi baru dan muda untuk naik menggantikannya.

Begitu juga, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (68 tahun); Datuk Seri Najib Tun Razak (68), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (68), Lim Guan Eng (60); Mohamad Sabu (66) dan Datuk Seri Hadi Awang (73).Rasanya, Malaysia inginkan pemimpin-pemimpin muda seperti Nurul Izzah Anwar yang berusia 40 tahun, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (45); Rafizi Ramli (43); Fahmi Fadzil (40), Wan Saiful Wan Jan (46), Nik Nazmi Nik Ahmad (39) - sekadar menyebut beberapa nama, diberi ruang dan peluang untuk menunjukkan kebolehan mereka sebagai pemimpin.

Sebahagian besarnya sudah pun menjadi ahli Parlimen dan ada dalam kalangan mereka yang telah menjadi menteri.

Suatu hari nanti, kita ingin melihat salah seorang daripada mereka muncul sebagai calon Perdana Menteri Malaysia. Cuma satu sahaja permintaan kita - bukan pada usia lewat enam puluhan atau tujuh puluhan.

* Rozaid Abdul Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca