[DIKEMAS KINI] PLASEBO adalah sesuatu yang tidak mempunyai bahan aktif atau kaitan dengan sesuatu penyakit ataupun keadaan yang ingin dipulihkan. Kesan plasebo (tindak balas badan setelah terdedah kepada plasebo) bersifat psikologikal hasil interaksi antara minda dan fizikal seseorang.
Dalam kajian saintifik, jika ubat yang diuji berbentuk cecair, plasebo yang digunakan mungkin air kosong atau larutan salinus (saline). Sebagai contoh, satu ubat yang baru dihasilkan dipercayai mampu merawat penyakit A. Untuk menguji keberkesanan ubat baharu ini dengan tepat, pesakit akan dibahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diberi ubat yang sebenar manakala satu kumpulan lagi (kumpulan kawalan) diberi air kosong.
Kesemuanya beranggapan mereka diberi ubat sebenar. Kumpulan yang diberi plasebo juga mungkin menjadi lega dan kurang sakit kerana percaya plasebo itu ubat sebenar.
Kesan plasebo mengubah persepsi seseorang terhadap gejala yang dialami tetapi tidak mengubah patofisiologi penyakit. Persepsi terhadap sakit kadangkala dapat dikurangkan hanya dengan mengubah perasaan (mood) pesakit tanpa menghilangkan punca sakit.
Pesakit yang berasa yakin, tenang dan kurang stres mempunyai hormon endorfin yang lebih tinggi dan hormon ini dapat mengurangkan tekanan dan persepsi sakit. Senaman juga boleh meningkatkan rembesan hormon endorfin dan boleh mengurangkan persepsi sakit. Kesan plasebo ini digunakan oleh pengamal perubatan alternatif seperti bomoh dan tukang urut.
Dalam kata lain, plasebo ialah ‘ubat tipu’ yang dapat memberi kesan ke atas pengurangan gejala melalui psikologi dengan memanipulasi minda seseorang. Walaupun pesakit mungkin berasa lega selepas mengambil plasebo, kelegaan itu hanya persepsi semata-mata kerana apabila doktor menilai keadaan penyakit, mereka dapati penyakit yang dialami oleh pesakit terbabit sebenarnya masih pada tahap yang sama.
Kini, walaupun vaksin Covid-19 diberikan secara percuma kepada semua penduduk dewasa di Malaysia, masih ada segelintir yang menolak vaksin dan percaya bahawa petua tradisional dan amalan secara alami dapat mencegah dan merawat Covid-19. Antaranya, seperti yang dikongsikan di media sosial, wap air rebusan bunga cengkih dikatakan boleh merawat pesakit Covid-19.
Sememangnya wap air rebusan bunga cengkih dapat melegakan simptom batuk, bronkitis, selesema, dan asma. Namun, sehingga hari ini, tiada kajian pada tabung uji, model haiwan atau kajian klinikal pada manusia membuktikan wap air rebusan cengkih mampu merawat jangkitan Covid-19.
Kemungkinan pesakit telah sembuh sendiri, sebagaimana pesakit Covid-19 kategori satu dan dua di pusat kuarantin yang tidak diberi apa-apa rawatan. Oleh kerana wap air rebusan bunga cengkih melegakan simptom dan pesakit percaya boleh sembuh dengan rawatan tersebut, maka kesan plasebo terjadi walaupun pesakit itu sebenarnya sembuh secara semula jadi.
ALLAH SWT menyuruh kita berikhtiar dengan sebaik mungkin. Mengamalkan ubat yang terbukti berkesan adalah contoh ikhtiar yang betul. Nabi Muhammad SAW bersabda: "Setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah ia dengan izin ALLAH SWT." (Riwayat Muslim).
Tidak salah untuk mencuba apa-apa kaedah tradisional atau amalan pemakanan tertentu, namun kita tidak boleh menolak kaedah moden yang terbukti secara klinikal. Jika mahu amalkan sedutan wap cengkih, makan kurma dan habbatus sauda setiap hari, dipersilakan, tetapi jangan pula kita menolak vaksin yang ternyata memang menjadi senjata ampuh menentang virus.
*Dr. Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca