PANDEMIK Covid-19 bukan sahaja meragut jutaan nyawa manusia bahkan ia turut meninggalkan kesan mendalam ke atas ekonomi negara. Impaknya turut dirasai oleh pelbagai pihak, tidak kira sektor awam mahupun swasta.
Lantaran itu, peruntukan kewangan organisasi perlu diurus secara rapi dan berhemah berikutan peruntukan bajet yang kian menyusut. Kesannya, pelbagai langkah penjimatan terpaksa dilakukan bagi menjamin kelangsungan organisasi.Dalam hal ini, pengurusan sumber manusia amat berasa tempiasnya. Penamatan khidmat pekerja merupakan antara alternatif yang sering dipraktikkan untuk mengurangkan kos operasi dalam era kegawatan ekonomi.
Namun, ia ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak. Penamatan khidmat pekerja bukanlah satu keputusan mudah, memandangkan pekerja merupakan tulang belakang yang banyak menabur bakti kepada organisasi. Tambahan pula, ia melibatkan mata pencarian pekerja untuk menampung kehidupan diri dan keluarga. Realitinya, tanpa pekerja, mana mungkin organisasi mampu berdiri dengan sendirinya. Namun, situasi yang meruncing mengakibatkan organisasi hilang upaya untuk mempertahankan aset berharga ini.
Tidak dinafikan terdapat majikan yang amat prihatin dengan situasi ini. Pelbagai ikhtiar dilakukan untuk kelangsungan organisasi dan pekerja.
Contohnya, pengusaha produk pelanggan mengubah strategi pemasaran dan jualan konvensional kepada mekanisme dalam talian untuk memastikan pendapatan mereka tidak terjejas. Tidak kurang juga yang memperkenalkan produk atau perkhidmatan baharu.
Malahan, ada yang menawarkan penghantaran produk terus ke rumah pelanggan. Namun begitu, masih terdapat majikan yang hilang arah dan gagal bertahan disebabkan oleh cabaran dan kekangan yang tidak dapat diatasi.
Antaranya kurang permintaan terhadap produk atau perkhidmatan, kurang kemahiran dalam mengendalikan teknologi terkini dan ketidakupayaan menanggung beban kos operasi yang tinggi. Persoalannya, apakah solusi yang membolehkan organisasi terus bertahan dalam era yang serba mencabar ini?
Keengganan untuk berubah, merupakan antara faktor utama kegagalan organisasi pada masa lalu. Hakikatnya, perubahan bukanlah satu perkara mudah untuk ditangani. Namun, suka atau tidak, perubahan akan terus berlaku.
Jika dahulu, globalisasi, kepesatan teknologi, dimensi kemeruapan, ketidakpastian, kerumitan dan kesamaran (VUCA) sering digembar-gemburkan serta menjadi pencetus transformasi organisasi.
Kini, gelombang pandemik yang tidak pernah dijangka telah merombak norma kehidupan manusia dan tiada lagi pilihan untuk tidak berubah. Natijahnya, perubahan bukan lagi kemahuan tetapi telah menjadi satu kemestian.
Justeru, untuk kekal relevan, organisasi pada masa kini perlu tangkas atau dengan kata lain bersifat dinamik, fleksibel dan responsif terhadap perubahan. Perubahan perlu diurus secara bijaksana mengikut peredaran zaman.
Pelaksanaan aktiviti dan operasi organisasi harus diselarikan dengan keperluan norma baharu. Seterusnya, inisiatif yang bersesuaian perlu dikenal pasti dan dilaksanakan secara strategik dan sistematik.
Sebagai contoh, penawaran produk atau perkhidmatan mesti mengambil kira keperluan dan permintaan pelanggan. Penggunaan teknologi terkini hendaklah diperkasakan untuk meluaskan capaian serta menambah nilai dalam strategi pemasaran.
Selain itu, konsep organisasi maya boleh dipraktikkan untuk meminimumkan kos. Kepelbagaian produk atau perkhidmatan juga boleh dipertimbangkan sebagai strategi daya tindak bagi meningkatkan keupayaan dan daya tahan organisasi. Contohnya, penyedia perkhidmatan pengangkutan boleh berevolusi dengan menawarkan khidmat penghantaran kepada pelanggan.
Seperkara lagi, penambahbaikan berterusan serta inovasi produk dan perkhidmatan turut memainkan peranan penting bagi memastikan organisasi kekal relevan dan berdaya saing.
Daripada penjelasan sebelumnya, menunjukkan sumber manusia merupakan peneraju atau agen utama transformasi organisasi yang perlu berubah.
Oleh itu, prestasi pekerja hendaklah diurus secara cekap dan berkesan bagi mencapai matlamat yang diharapkan. Kekangan pandemik tidak boleh terus menerus dijadikan alasan untuk tidak berprestasi dan maju ke hadapan.
Dalam hubungan ini, hala tuju dan matlamat organisasi perlu dikongsikan kepada setiap pekerja agar mereka cakna dalam menentukan sasaran prestasi masing-masing mengikut acuan baharu.
Kejelasan dan keseragaman hala tuju perlu dipastikan agar seluruh warga dapat belayar dalam bahtera yang sama.
Kesimpulannya, perubahan akan terus berlaku dan tiada siapa yang dapat menghalang dan mengelaknya.
Menyedari hakikat tersebut, setiap organisasi perlu bersiap siaga dengan strategi daya tindak yang bersesuaian untuk kekal bertahan.
*Penulis ialah Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul Dekan, UKM-Graduate School of Business Universiti Kebangsaan Malaysia,
Profesor Dr Hajah Anitawati Mohd Lokman, Fakulti Sains Komputer dan Matematik Universiti Teknologi Mara (Presiden MAKE) dan
Nor Hafizah Ibrahim, Timbalan Pendaftar, Universiti Teknologi Mara (Setiausaha MAKE)
Klik di sini untuk terus membaca