SHAH ALAM – Undang-undang lompat parti tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Pakar Undang-Undang, Profesor Datuk Salleh Buang berkata, di bawah Perkara 10 itu, ia memberikan hak seseorang untuk berpersatuan.
Bagaimanapun, undang-undang itu boleh dibuat sekiranya seseorang itu sudah menjadi ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
"Bila dia lompat parti maka keahlian ADUN atau ahli Parlimen itu gugur, itu boleh. Ini yang dilakukan di Singapura serta negara lain dan itu yang saya sarankan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Salleh berkata, sekiranya keahliannya seseorang itu gugur, satu pilihan raya akan diadakan.
Dalam pada itu, Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar pula berpendapat dua perkara utama yang dicadangkan oleh Azalina iaitu pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau recall election dan pilihan raya bermandat untuk parti perlu diperhalusi walaupun matlamatnya baik.
Menurutnya, ia bagi memastikan cadangan atau mekanisme yang diambil itu selari dengan undang-undang dan perlembagaan.
"Salah satu aspek yang menyebabkan ada (sesetengah) orang tidak bersetuju dengan undang-undang seperti ini ialah ia dianggap sebagai menghalang kebebasan berpersatuan.
"Kita tidak mahu undang-undang lompat parti ini bertentangan dengan hak asasi. Di sini kita ada nampak dua isu iaitu satu demokrasi dan satu lagi hak asasi,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya mahu membuat recall election mengikut sistem pilihan raya yang ada, ia memerlukan pindaan perlembagaan.
"Untuk peringkat Dewan Rakyat, perlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan untuk negeri, perlukan pindaan pada undang-undang tubuh negeri.
"Ia juga memerlukan undang-undang lompat parti itu diluluskan di Parlimen bagi memberi kuasa membenarkan negeri membuat pindaan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca