[MUKADIMAH] Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos lalu bukan jaminan negara berjaya keluar daripada kemelut tri-krisis terburuk dalam sejarah Malaysia, meliputi krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19, ekonomi dan politik.
Menarik perhatian Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga adalah kes bunuh diri dan cubaan bunuh diri melibatkan rakyat yang tertekan dalam tempoh dua tahun ini.
Sejak negara berdepan pandemik Covid-19, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan 1,111 kes bunuh diri sepanjang 2020 hingga Mei 2021. Sebanyak 631 kes bagi 2020 manakala 468 kes dalam tempoh Januari hingga Mei 2021.
Berita meningkatnya kes bunuh diri dan kemurungan dalam kalangan rakyat Malaysia sejak bermulanya pandemik ini, menambah kebimbangan sekiranya tiada langkah proaktif diambil segera kerajaan.
Ikuti wawancara eksklusif Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bersama wartawan Sinar Premium, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN bagi menyelami luahan serta pandangan beliau.
SINAR HARIAN: Pandemik Covid-19 memberi impak sangat dahsyat terhadap pertumbuhan ekonomi, sistem kesihatan dan kestabilan politik tanah air. Bagaimana Datuk Seri melihat kemampuan negara mendepani krisis yang terburuk dalam sejarah ketika ini?
DR WAN AZIZAH: Ya setuju, kita sedang melalui fasa ujian kritikal living in the pandemic yang sebahagian besarnya telah memberikan tekanan cukup besar kepada kehidupan, perubahan rutin, ekosistem sosial, ibadat, ekonomi dan kesihatan kita.
Namun demikian, pendekatan lebih baik dalam menangani Covid-19, mungkin membolehkan ia bertukar fasa dengan menerima Covid-19 ini sebagai endemik.
Ini akan membantu kita segera melakar pelan pemulihan negara untuk menyelamatkan ekonomi dan mengurus impak sosial dalam masyarakat dengan lebih berkesan.
Adakah Datuk Seri berkeyakinan negara mampu bangkit daripada krisis terburuk melibatkan politik, kesihatan dan ekonomi negara ketika ini? Apa formula penting ke arah itu?
Ya. Insya-ALLAH. Kita sama- sama mengharungi dugaan ini bersama. Tiada siapa terkecuali daripada ujian pandemik ini.
Kita harus mengenepikan kepentingan peribadi dan segala usaha mesti berlaku dengan segera merentas sektor, parti politik dan dasar-dasar khusus menangani implikasi Covid-19.
Program-program intervensi ekonomi, sosial dan kesihatan untuk rakyat mesti disegerakan.
Saya berpandangan, formulanya adalah recovery for all (pemulihan yang padu untuk semua) dan Rejuvenasi Pelan Kesejahteraan demi kelangsungan hidup rakyat.
Kita juga perlu sistem sokongan yang berkait rapat supaya tiada yang ketinggalan.
Dewasa ini, kita sering mendengar laporan isu peningkatan masalah kesihatan mental melibatkan rakyat Malaysia daripada segenap lapisan sehingga berleluasanya kes bunuh diri dan penderaan sejak negara terpalit krisis Covid- 19. Sejauh mana keseriusan masalah kesihatan mental yang dihadapi rakyat ketika ini dan adakah kerajaan peka dengan perkembangan membimbangkan itu?
Pada pandangan saya, sangat penting untuk kita mengulas isu kesihatan mental ini daripada sudut polisi kesihatan awam agar ia tidak terpisah daripada polisi-polisi yang terkait dengan kesihatan awam yang lain dalam tempoh pandemik.
Saya bimbang jika isu kesihatan mental ini dibincangkan secara terasing, maka ia akan tercicir daripada konteks polisi kesihatan awam yang lebih besar.
Kedua, kebimbangan terhadap isu kesihatan mental ini harus kita lihat dalam konteks keseluruhan ekosistem kesihatan mental.
Data yang ada sangat merunsingkan tatkala talian-talian psikososial menunjukkan peningkatan panggilan berkaitan isu kesihatan mental yang cukup membimbangkan, sama ada talian psikososial kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO).
Kita melihat isu anxiety (mudah cemas) dan depresi (kemurungan) meningkat semenjak pandemik.
Kematian akibat bunuh diri juga membimbangkan dengan pecahan isu suicide ideation (keinginan membunuh diri), suicide attempt (cubaan bunuh diri) dan suicide (bunuh diri) itu sendiri yang semakin tinggi.
Kita juga harus memberi perhatian kepada profiling data kes bunuh diri ini khususnya data yang menunjukkan peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan remaja dan belia (usia 15-18 tahun) kerana lingkungan umur ini adalah adalah lingkungan umur yang produktif.
Juga data yang merujuk kepada peningkatan kes non suicide self-injury (mencederakan diri tanpa berniat bunuh diri), yang mana mereka tidak berniat untuk membunuh diri tetapi mereka melakukan self-harm atau mencederakan diri sendiri.
Saya juga ingin menegur etika pihak media dalam melaporkan kes bunuh diri kerana kita bimbang dengan fenomena copycat suicide yang boleh memberikan kesan kepada masyarakat jika tidak dibendung dan dilaporkan dengan bertanggungjawab oleh media.
Terkait rapat dengan isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak akibat pandemik termasuk The Cabin Fever iaitu suatu fenomena kemurungan dalam kalangan kanak-kanak akibat terlalu lama terperuk atau terperangkap di dalam rumah.
Sebanyak 27 peratus wanita melaporkan peningkatan masalah dan cabaran yang berkaitan dengan kesihatan mental.
Kajian Universiti Malaya (UM) menunjukkan 37 peratus wanita mengalami tekanan emosi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan 33 peratus mengalami kemurungan.
Kita perlu usaha supaya tiada yang tercicir dalam konteks polisi kesihatan awam yang menyeluruh.
Sebagai ahli Parlimen dan pembuat dasar, saya juga telah membangkitkan isu pemansuhan Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu yang berkaitan dengan percubaan membunuh diri yang masih menjadi jenayah di Malaysia.
Hakikatnya, mereka yang membuat percubaan membunuh diri tidak wajar dihukum, sebaliknya perlu mendapat rawatan bagi isu kecelaruan mental mereka. Itu lebih tepat dan bersifat mencegah, memulih dan merawat.
Agak sukar bagi seseorang individu mengakui mereka berdepan masalah stres, kemurungan sehingga mahu mencederakan atau membunuh diri. Apa langkah terbaik yang boleh dilakukan kerajaan mahu pun komuniti setempat bagi memastikan individu-individu ini sedar akan masalah mereka dan mendapat pertolongan sewajarnya?
Saya berpendapat antara perkara kritikal untuk kerajaan adalah menyediakan dan mengukuhkan fasiliti sokongan kesihatan mental termasuk penyediaan pakar-pakar psikiatri, psikologis dan kaunselor serta pusat-pusat intervensi kesihatan mental dengan lebih efektif.
Kedua, pengukuhan talian psikososial untuk masyarakat dengan program-program intervensi awal yang lebih berkesan.
Ketiga adalah kajian dan representative data yang lebih efisien supaya kita boleh melaksanakan pengurusan krisis dengan lebih baik.
Keempat, kerjasama dan komitmen inter-sektorial dan inter-kementerian yang utama iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam mengurus dasar, data dan program-program intervensi, outreach dan advokasi kepada masyarakat.
Kelima, rundingan dan latihan kepada pemegang taruh utama dalam isu kesihatan mental termasuk kepada media supaya media lebih berhati-hati dalam melaporkan isu bunuh diri dan bagaimana media boleh berperanan langsung dalam advokasi kesihatan mental.
Selanjutnya bagi NGO dan masyarakat, suka untuk saya kembali mengesyorkan peranan ekosistem komuniti kesihatan mental yang bukan sahaja terdiri daripada latihan lay counsellor dalam masyarakat.
Bahkan kerajaan boleh membantu memperkasakan kaunselor dalam komuniti dan mengiktiraf pekerja-pekerja sosial serta pegawai sokongan krisis dalam masyarakat yang berperanan besar selaku barisan hadapan dalam advokasi kesihatan mental.
Perlu ditekankan intervensi kesihatan mental lebih berkesan. Stigma kesihatan mental dengan konsep ataupun ‘label᾿ gila perlu diatasi dan dihentikan.
Menyentuh isu kesihatan mental kanak- kanak secara spesifik, bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini dari sudut lebih kritikal?
Kebimbangan saya sangat kritikal apabila bercakap mengenai kesihatan mental kanak-kanak.
Saya sudah sebut di atas kebimbangan saya khusus berkaitan kesihatan mental mereka.
Malah kita sepatutnya sudah mula membuat road map pengendalian isu kesihatan mental kanak-kanak ini memandangkan akan ada kanak-kanak yang tercicir daripada diagnosis dan intervensi isu kesihatan mental ini khususnya kanak- kanak golongan keluarga berpendapatan rendah (B40).
Saya juga bimbang dengan isu kesihatan mental kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa mereka akibat Covid-19 sama ada disebabkan kematian atau terpisah akibat kuarantin.
Bilangan kematian yang tinggi dan melibatkan kemandirian kanak-kanak ini memerlukan perhatian khusus daripada kerajaan khususnya yang melibatkan kebajikan keseluruhan mereka termasuk kesan psikologi akibat kehilangan ibu bapa.
Kanak-kanak ini terutamanya anak-anak yatim perlu diberikan bantuan meliputi segala aspek.
Masyarakat juga perlu peka kepada tanda-tanda awal simptom mental, seperti hantaran Facebook, yang bercakap mengenai kematian, kesunyian dan kemurungan. Kita tidak boleh berdiam diri. Kanak-kanak ini mesti diberi perhatian dan mendapat pertolongan secepat mungkin.
Pada saat krisis Covid-19 semakin memuncak dengan berlaku pertukaran kerajaan di sebalik pandemik membarah, adakah Datuk Seri cukup berpuas hati dengan inisiatif kerajaan dalam membantu golongan terkesan krisis sehingga kini?
Pastinya tidak cukup dan bantuan-bantuan pemulihan dalam tempoh pandemik, termasuk bantuan bakul makanan oleh kerajaan terdahulu hanya bersifat jangka pendek dan tidak menyeluruh.
Sebab itu saya tegaskan dari awal, harus ada polisi holistik iaitu pemulihan yang padu untuk kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat.
Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)
Klik di sini untuk terus membaca