SHAH ALAM - Seramai 1,427 orang wanita dilaporkan membunuh diri dalam tempoh 2019 hingga bulan Mei 2021.
Berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikongsikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan baru-baru ini, bilangan lelaki yang dilaporkan membunuh diri dalam tempoh yang sama adalah seramai 281 orang.
Jumlah kes sebanyak 1,708 itu memperlihatkan purata dua kes bunuh diri setiap hari bagi tempoh 2019 hingga Mei 2021.
Kebanyakan mangsa yang terbabit adalah berumur antara 15 hingga 18 tahun iaitu seramai 872 orang dan bagi mangsa yang berumur antara 19 hingga 40 tahun adalah seramai 668 orang.
Laporan itu menarik pemerhatian Bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tegasnya, kes bunuh diri dan kemurungan dalam kalangan rakyat Malaysia sejak bermulanya pandemik ini, menambah kebimbangan sekiranya tiada langkah proaktif diambil segera kerajaan.
Katanya, mereka yang membuat percubaan membunuh diri tidak wajar dihukum, sebaliknya perlu mendapat rawatan bagi isu kecelaruan mental mereka.
"Sebagai ahli Parlimen dan pembuat dasar, saya juga telah membangkitkan isu pemansuhan Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu yang berkaitan dengan percubaan membunuh diri yang masih menjadi jenayah di Malaysia.
"Hakikatnya, mereka yang membuat percubaan membunuh diri tidak wajar dihukum, sebaliknya perlu mendapat rawatan bagi isu kecelaruan mental mereka. Itu lebih tepat dan bersifat mencegah, memulih dan merawat,” kata Ahli Parlimen Pandan itu kepada Sinar Premium.
Dr Wan Azizah berkata, sangat penting untuk semua mengulas isu kesihatan mental ini daripada sudut polisi kesihatan awam agar ia tidak terpisah daripada polisi-polisi yang terkait dengan kesihatan awam yang lain dalam tempoh pandemik.
Beliau melahirkan kebimbangan jika isu kesihatan mental ini dibincangkan secara terasing, maka ia akan tercicir daripada konteks polisi kesihatan awam yang lebih besar.
"Kebimbangan terhadap isu kesihatan mental ini harus kita lihat dalam konteks keseluruhan ekosistem kesihatan mental.
"Data yang ada sangat merunsingkan tatkala talian-talian psikososial menunjukkan peningkatan panggilan berkaitan isu kesihatan mental yang cukup membimbangkan, sama ada talian psikososial kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO).
"Kita melihat isu anxiety (mudah cemas) dan depresi (kemurungan) meningkat semenjak pandemik. Kematian akibat bunuh diri juga membimbangkan dengan pecahan isu suicide ideation (keinginan membunuh diri), suicide attempt (cubaan bunuh diri) dan suicide (bunuh diri) itu sendiri yang semakin tinggi,” katanya.
Tambahnya, kita juga harus memberi perhatian kepada profiling data kes bunuh diri khususnya data yang menunjukkan peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan remaja dan belia, berusia 15 hingga 18 tahun kerana lingkungan umur ini adalah lingkungan umur yang produktif.
Turut perlu diberikan perhatian menurut Dr Wan Azizah adalah data yang merujuk kepada peningkatan kes non suicide self-injury (mencederakan diri tanpa berniat bunuh diri), yang mana mereka tidak berniat untuk membunuh diri tetapi melakukan self-harm atau mencederakan diri sendiri.
"Sebanyak 27 peratus wanita melaporkan peningkatan masalah dan cabaran yang berkaitan dengan kesihatan mental.
"Kajian Universiti Malaya (UM) menunjukkan 37 peratus wanita mengalami tekanan emosi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan 33 peratus mengalami kemurungan.
"Kita perlu usaha supaya tiada yang tercicir dalam konteks polisi kesihatan awam yang menyeluruh,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata terdapat lima langkah yang boleh diketengahkan untuk memastikan individu-individu ini sedar akan masalah mereka dan mendapat pertolongan sewajarnya Tegasnya, pertama yang juga antara perkara kritikal untuk kerajaan adalah menyediakan dan mengukuhkan fasiliti sokongan kesihatan mental termasuk penyediaan pakar-pakar psikiatri, psikologis dan kaunselor serta pusat-pusat intervensi kesihatan mental dengan lebih efektif.
Kedua katanya, pengukuhan talian psikososial untuk masyarakat dengan program-program intervensi awal yang lebih berkesan manakala ketiga adalah kajian dan representative data yang lebih efisien supaya kita boleh melaksanakan pengurusan krisis dengan lebih baik.
Keempat pula menurutnya, kerjasama dan komitmen inter-sektorial dan inter-kementerian yang utama iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam mengurus dasar, data dan program-program intervensi, outreach dan advokasi kepada masyarakat.
Manakala kelima katanya adalah rundingan dan latihan kepada pemegang taruh utama dalam isu kesihatan mental termasuk kepada media supaya media lebih berhati-hati dalam melaporkan isu bunuh diri dan bagaimana media boleh berperanan langsung dalam advokasi kesihatan mental.
"Selanjutnya bagi NGO dan masyarakat, suka untuk saya kembali mengesyorkan peranan ekosistem komuniti kesihatan mental yang bukan sahaja terdiri daripada latihan lay counsellor dalam masyarakat.
"Bahkan kerajaan boleh membantu memperkasakan kaunselor dalam komuniti dan mengiktiraf pekerja-pekerja sosial serta pegawai sokongan krisis dalam masyarakat yang berperanan besar selaku barisan hadapan dalam advokasi kesihatan mental,” katanya.
INFO: -
Jumlah Kes bunuh diri
2019 - 609 kes
2020 - 631 kes
2021 - 468 kes (dalam tempoh Januari hingga Mei)
JUMLAH: 1,708
Pecahan
Lelaki - 281
Wanita - 1,427
Punca utama bunuh diri
1. Masalah keluarga
2. Tekanan perasaan
3. Kewangan.
Cara bunuh diri
1. Gantung diri - 75.1 peratus
2. Terjun bangunan - 13.6 peratus
3. Minum racun - 5.7 peratus
4. Lain cara - 5.6 peratus
Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)