TALIBAN yang kini menguasai ibu kota Kabul pada 15 Ogos lalu menyebabkan pergerakan Islam itu menguasai Afghanistan yang kaya dengan simpanan sumber-sumber mineral semula jadi di negara berkenaan. Menurut Kementerian Perlombongan dan... Klik di sini untuk terus membaca

TALIBAN yang kini menguasai ibu kota Kabul pada 15 Ogos lalu menyebabkan pergerakan Islam itu menguasai Afghanistan yang kaya dengan simpanan sumber-sumber mineral semula jadi di negara berkenaan.

Menurut Kementerian Perlombongan dan Petroleum Afghanistan pada tahun 2017 simpanan sumber-sumber mineral semula jadi itu kemungkinan boleh mencecah sehingga AS$3 trilion (RM12.50 trilion).

Ia adalah disebabkan oleh negara itu kaya dengan sumber mineral semula jadi seperti tembaga, emas, gas asli, uranium, bauksit, arang batu, nadir bumi, litium, zink, bijih besi, kromium, batu permata, talkum, sulfur, plumbum, gipsum, travertin dan marmar.

Kesemua simpanan mineral semula jadi itu ditemui oleh Amerika Syarikat (AS) berdasarkan kepada satu kajian yang dilakukan pada tahun 2010.

Kajian itu juga menunjukkan Afghanistan mungkin menjadi antara tempat simpanan litium terbesar di dunia.

Ketika ini, dunia telah mengenal pasti bahawa simpanan terbesar litium terdapat di Bolivia dengan anggaran 80 juta tan diikuti oleh Argentina, Chile dan AS.

Litium merupakan bahan terpenting dalam pembuatan kereta elektrik, panel solar dan turbin angin atau kincir angin.

Menurut Tenaga Atom Antarabangsa, permintaan untuk mendapatkan litium akan meningkat sebanyak 40 kali ganda menjelang tahun 2040.

Taliban menguasai ibu kota Kabul buat kali kedua pada 15 Ogos lalu selepas kali pertama berbuat demikian pada 1996. - Foto AFP

Seorang penulis buku berjudul 'The Rare Metals War' atau dalam bahasa Melayunya ialah Perang Logam Nadir Bumi, Guillaume Pitron pernah berkata bahawa Afghanistan terletak di atas simpanan litium yang banyak dan belum diterokai lagi.

Afghanistan juga dilaporkan mempunyai simpanan nadir bumi yang digunakan dalam sektor tenaga seperti neodimium, praseodimium dan disprosium.

Pada tahun 2010, Jabatan Pertahanan AS atau Pentagon dan ahli-ahli geologi Amerika menganggarkan terdapat simpanan mineral semula jadi di Afghanistan bernilai kira-kira AS$1 trilion (RM4.16 trilion).

Kajian itu dilakukan selepas AS dan tentera negara-negara sekutunya berjaya menyingkirkan Taliban dari Kabul pada hujung tahun 2001 dalam 'perang memerangi keganasan' yang dilancarkan oleh Presiden Amerika ketika itu, George W. Bush.

Ketika itu, Taliban menguasai Afghanistan pada tahun 1996 sehingga hujung tahun 2001.

Kerja-kerja bagi mencari batu-batu permata seperti batu zamrud, batu delima, batu turmalin dan batu lapiz lazuli turtu dilakukan di negara itu tetapi bisnes tersebut ditimpa dengan masalah penyeludupan ke Pakistan.

Afghanistan juga ketika melakukan kerja-kerja melombong talkum, marmar, arang batu dan besi.

Talkum ialah serbuk halus yang diperoleh daripada sejenis batu yang lembut untuk membuat bedak.

Bagaimanapun, masalah keselamatan, masalah pengurusan, rasuah dan kekurangan rangka kerja undang-undang yang dialami oleh kerajaan terdahulu telah menyebabkan pembangunan dalam perlombongan sumber-sumber mineral semula jadi itu terjejas.

Infrastruktur seperti kemudahan pengangkutan yang lemah manakala royalti tinggi dan cukai yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini juga menyebabkan para pelabur tidak berminat untuk datang melabur dalam mengeluarkan sumber-sumber mineral semula jadi tersebut.

Perang yang kerap berlaku sejak zaman mujahidin yang menentang tentera Kesatuan Soviet yang kini dikenali sebagai Rusia pada tahun 1980an, peperangan sesama kumpulan-kumpulan Islam dan campur tangan tentera AS serta negara-negara sekutunya telah menghalang sumber-sumber semula jadi itu dikeluarkan dari bumi Afghanistan dengan sepenuhnya.

Namun, buat masa ini Rusia dan China telah menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Taliban dari segi pembangunan ekonomi.

Duta Rusia ke Kabul, Dmitry Zhirnov pernah menyatakan bahawa pergerakan tersebut membenarkan penyertaan Moscow dalam ekonomi negara berkenaan terutamanya untuk mengeluarkan sumber-sumber mineral semula jadi itu dari bumi Afghanistan.

Syarikat-syarikat di China pula dikatakan menunjukkan minat untuk menyambung semula kerjasama dengan Afghanistan dalam beberapa projek besar selepas Taliban berkuasa semula di negara berkenaan.

Pada tahun 2007, syarikat milik kerajaan China, Kumpulan Perbadanan Metallurgica memenangi hak pajakan selama 30 tahun untuk melombong 11.5 juta tan tembaga di kawasan simpanan bahan komoditi itu yang kedua terbesar di dunia iaitu di Mes Aynak.

Namun, kerja-kerja melombong itu sehingga sekarang masih belum dimulakan lagi ekoran isu-isu keselamatan di Mes Aynak, selatan Kabul. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca