SHAH ALAM - Nama melambangkan simbolik penting dalam membina identiti seseorang kerana ia mempunyai maksud yang tersendiri dan akan diguna pakai sehingga akhir hayat.
Nama seseorang juga boleh diilhamkan dari pelbagai perkara, kejadian mahupun individu tertentu yang menjadi inspirasi kepada ibu bapa untuk memilih nama yang cukup bermakna bagi anak-anak mereka.
Di samping itu, ramai ibu bapa juga tidak mahu terlepas peluang untuk menamakan anak-anak mereka dengan panggilan atau nama unik serta lain daripada yang lain.
Malaysia dan Merdeka adalah antara nama istimewa yang mempunyai pengertian melambangkan kecintaan kepada negara. Dan siapa sangka terdapat 238 orang yang memiliki dan mendaftar nama bertuah itu di Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN).
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Operasi), Saiful Yazan Alwi, berdasarkan semakan rekod Pendaftaran, sebanyak 238 nama Merdeka dan Malaysia telah didaftarkan bermula dari 31 Ogos 1957 sehingga 31 Julai 2021.
"Terdapat 72 lelaki dan 40 wanita yang memiliki nama Merdeka manakala 42 lelaki dan 84 wanita yang memiliki nama Malaysia.
"Berdasarkan daripada data yang diambil bagi pendaftaran kelahiran yang berlaku bermula dari 31 Ogos 1957 sehingga 31 Julai 2021 mendapati perempuan lebih ramai menggunakan nama Malaysia, manakala lelaki ramai menggunakan nama Merdeka,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, JPN telah merekodkan lebih 70 pemilik nama patriotik yang didaftarkan dan mereka bukan hanya dalam kalangan yang sudah berusia malahan kanak-kanak seawal dua tahun.
"Semakan rekod jabatan mendapati bahawa sebanyak 79 penggunaan nama bersifat patriotik didaftarkan di JPN seperti Merdeka dan Malaysia dari tahun 1990 sehingga kini.
"Pemilik nama berunsurkan patriotik paling tua yang direkodkan oleh jabatan ini berusia 64 tahun manakala rekod termuda yang dicatatkan berusia dua tahun,” katanya.
Selain daripada nama Malaysia dan Merdeka, JPN juga pernah merekodkan nama-nama lain yang berunsurkan kemerdekaan seperti Putra, Pertiwi, Satria dan lain lain.
"Pemberian nama bagi kanak-kanak adalah pilihan dan keputusan oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut. Jabatan tiada halangan khusus terhadap faktor pemberian nama.
"Bagi pendaftaran kelahiran yang menggunakan nama-nama yang membawa maksud tidak baik dan kurang sesuai pula, nasihat akan diberikan kepada ibu bapa,” katanya.
Walaubagaimanapun, terdapat garis panduan khas oleh JPN kerana ada nama-nama yang tidak boleh didaftarkan walaupun mempunyai unsur patriotik kerana dipengaruhi oleh beberapa faktor.
"Bagi memastikan nama-nama yang didaftarkan adalah bersesuaian, JPN mempunyai garis panduan khas bagi nama-nama yang termasuk dalam nama yang ditegah, ia tidak boleh didaftarkan.
"Antara yang ditegah adalah nama gelaran yang dianugerahkan oleh kerajaan seperti Datuk dan Tan Sri,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca