APABILA Taliban melancarkan gerakan mengambil alih Afghanistan daripada kerajaan di Kabul pada awal Ogos, tiada siapa menyangka kejayaan akan datang begitu pantas.
Seperti kelazimannya, pihak media, termasuk di negara ini memaparkan penulisan daripada ‘pakar-pakar’ pelbagai institusi dan pertubuhan bertujuan memberi penerangan kepada umum mengenai latar belakang konflik.
Dari era Mujahidin ketika menentang Soviet kepada perang saudara dan penubuhan Taliban, peranan Osama Laden, penaklukan pihak Barat dan Pakatan Utara ke atas kerajaan Taliban, sehinggalah jatuh kerajaan di Kabul.
Sebahagian ‘pakar-pakar’ berpendapat kesemua yang berlaku didalangi oleh pihak Amerika atau lebih tepat CIA.
Malah peranan Osama Laden dan kemusnahan bangunan pencakar langit di New York turut dikaitkan dengan CIA dan Yahudi. Ia dianggap sebagai konspirasi Yahudi atau lebih tepat pihak Zionis. Kebelakangan ini terdapat sebahagian ustaz dan agamawan terkemuka turut menyokong apabila memberi tazkirah di internet.
Persoalannya ialah apakah teori konspirasi yang diuar-uarkan ini adalah fakta atau persepsi yang diolah media Barat yang berkepentingan. Apa yang dilakukan oleh sebahagian ‘pakar’ dan agamawan ini tidak ubah seperti seekor burung kakak tua mengajuk apa yang didengarnya, tanpa mengetahui maksud atau kebenaran perkataan tersebut.
Contoh paling kerap diajuk burung kakak tua ialah peristiwa musnahnya bangunan World Trade Center (WTC) pada 2001. Menurut mereka, tiada seorang Yahudi pun datang bekerja pada hari itu, seakan mereka tahu apa akan berlaku.
Jika dilakukan sedikit penyelidikan, nyata kira-kira 300 ke 400 pekerja keturunan Yahudi terbunuh, selain empat warga Israel ketika serangan di WTC manakala 30 ke 40 pekerja Yahudi turut terkorban dalam serangan di Pentagon.
Jumlah ini dianggap sedikit oleh banyak pihak yang menyokong teori konspirasi. Ini ada kebenarannya namun sebahagian pekerja Yahudi di New York pada pagi kejadian berada di kuil atau Sinagog.
Pada pagi hari serangan, penduduk Yahudi sedang mengadakan bacaan Selichot dan Rosh Hashana (tahun baru Yahudi) yang mengambil masa agak lama untuk diselesaikan. Ia boleh diibaratkan serangan ke atas sebuah pejabat yang pekerjanya ramai beragama Islam pada jam 1 tengah hari Jumaat.
Tidak ramai pakar dan penganalisis mahu mengakui bahawa perang di Afghanistan walau mempunyai sejarah elemen pengaruh kuasa asing sebenarnya mempunyai konflik etniknya tersendiri.
Menurut kajian yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penduduk Afghanistan pada 2021 berjumlah kira-kira 40 juta yang merangkumi pelbagai etnik.
Sebanyak 42 peratus berbangsa Pashtun, 27 peratus Tajik, 9 peratus Hazara, 9 peratus Uzbek, 4 peratus Aimak, 3 peratus Turkmen, 2 peratus Baloch dan 4 peratus bangsa lain.
Setiap bangsa mungkin secara amnya beragama Islam, namun budaya dan bahasa pertuturannya berbeza, begitu juga wilayah-wilayah yang diduduki mereka. Inilah antara masalah paling utama.
Jika di negara kita yang hanya mempunyai tiga kaum utama yang berpendidikan isu-isu perkauman dianggap mampu menyebabkan huru-hara, di Afghanistan, 62 peratus penduduknya buta huruf atau tidak berpendidikan formal dengan lapan bangsa berbeza! Kekayaan bumi Afghanistan tentunya juga antara sebab kenapa kuasa luar begitu ‘mengambil berat’ mengenai keadaan di negara itu.
Dipercayai terdapat 1.4 juta tan unsur nadir bumi Afghanistan, merangkumi 17 elemen yang amat dicari bagi industri telekomunikasi elektronik dan kelengkapan ketenteraan.
Ia juga mempunyai deposit litium yang dianggap terbesar di dunia. Bahan galian ini amat kritikal untuk pembuatan bateri peralatan elektronik serta komunikasi.
Inilah yang menjadi rebutan negara Barat dan bukanlah hak wanita atau pendidikan sebagai agenda utama seperti ditonjolkan mereka saban waktu. Malangnya di negara ini burung kakak tua terus berteriak mengulang apa didengarnya.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca