PERUBAHAN iklim merujuk kepada perubahan jangka panjang dalam iklim yang berlaku beberapa dekad, berabad-abad atau lebih lama.Kajian saintis mendapati perubahan iklim berpunca daripada peningkatan gas rumah hijau di atmosfera kesan daripada... Klik di sini untuk terus membaca

PERUBAHAN iklim merujuk kepada perubahan jangka panjang dalam iklim yang berlaku beberapa dekad, berabad-abad atau lebih lama.

Kajian saintis mendapati perubahan iklim berpunca daripada peningkatan gas rumah hijau di atmosfera kesan daripada aktiviti manusia terutama pembakaran bahan api fosil seperti arang batu dan petroleum.

Hakikatnya, perubahan iklim bukan sahaja memberi tekanan kepada persekitaran, malah menjejaskan ekonomi, sosial dan politik. Justeru, dalam Matlamat Pembangunan Lestari 2030, ‘Tindakan Iklim’ iaitu matlamat pembangunan lestari ke-13 menyarankan tindakan segera untuk memerangi perubahan iklim dan kesan buruknya.

Saintis memberi amaran kesan perubahan iklim kini semakin buruk dengan pelbagai bencana alam lebih kerap berlaku membawa malapetaka jauh lebih serius berbanding sebelumnya.

Abad ke-21 sudah menyaksikan banyak bencana alam berlaku dan kesan perubahan iklim global turut menyumbang kepada taufan lebih hebat, hujan lebat luar biasa serta kepanasan melampau.

Bencana berpunca daripada perubahan iklim dan degradasi alam sekitar sudah menyimpang daripada kebiasaannya dan kini semakin meningkat dari segi intensiti, kekerapan serta kekompleksannya dan dalam tempoh masa tidak menentu.

Laporan Bencana Asia-Pasifik 2019 mendedahkan bahawa bencana kini lebih sukar untuk ditentukan jenis, lokasi atau kawasan untuk persiapan diadakan sebelum menghadapinya.

Malaysia juga tidak terlepas daripada risiko fizikal dan peralihan akibat perubahan iklim. Kesannya telah dan sedang dialami negara ini. Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan kesan perubahan iklim sudah berlaku di Malaysia dengan purata suhu di Semenanjung Malaysia telah meningkat 2.4 darjah Celsius, Sabah 1.8 darjah Celsius dan Sarawak 1.3 darjah Celsius dalam tempoh 100 tahun.

Peningkatan intensiti dan kekerapan peristiwa berkaitan iklim mengakibatkan risiko fizikal dan liabiliti kepada ekonomi negara. Dalam dua dekad lalu, Malaysia mengalami lebih 50 bencana alam yang menjejaskan kehidupan lebih tiga juta penduduk yang meliputi perpindahan secara terpaksa selain mengalami kecederaan dan kematian.

Kekerapan dan keseriusan banjir besar dan kemarau misalnya telah menjejaskan punca pendapatan dengan teruk terutama terhadap penduduk terlibat dalam sektor pertanian. Direkodkan antara 1998 sehingga 2018, ekonomi Malaysia telah menanggung kerosakan berjumlah RM8 bilion akibat bencana ini.

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, fenomena El Nino dilihat makin kerap berlaku di Malaysia. Mulai 1980 sehingga 1988, fenomena El-Nino dicatatkan berlaku empat tahun sekali.

Dalam tempoh 1998 hingga 2015 pula, fenomena itu berlaku lebih kerap iaitu tiga tahun sekali tanpa mengira ia berlaku dalam keadaan lemah, sederhana, mahupun kuat menyebabkan Malaysia mengalami cuaca panas melampau.

Mengikut rekod, Malaysia berhadapan dengan fenomena ini 12 kali bermula pada 1951 hingga 1998. Tahun 1982, 1988 dan 1997 adalah rekod terburuk yang pernah dialami oleh Malaysia sehingga menyebabkan catuan air, jerebu, kemusnahan tanaman dan pencemaran.

Bencana alam juga direkodkan meningkat selari dengan perubahan iklim dan kesan rumah hijau yang dialami negara. Pada November 2014, puting beliung telah melanda buat kali pertama di Kampung Alur Besar, Pendang, Kedah.

Pada 2014 juga banjir besar kali ketiga dalam tempoh dua tahun telah berlaku di Kajang, Selangor menyebabkan kerugian berjuta ringgit.

Pada Disember 2013 di Kuantan, Pahang, banjir yang berlaku menenggelamkan ibu negeri Pahang. Banjir juga melanda Penampang, Sabah manakala di Beaufort, ia berlaku hampir setiap tahun.

Pada awal 2018 pula, banjir buruk melanda Sarawak khususnya di Kuching, Kota Samarahan, Serian, Mukah dan Bintulu. Terbaru kejadian kepala air di Gunung Jerai, Yan, Kedah turut dikaitkan dengan fenomena perubahan iklim.

Menangani kesan fenomena perubahan iklim adalah sangat rumit dan mengambil masa lama jika tidak ditangani.

Dasar Perubahan Iklim Negara akan terus dijadikan panduan dalam mengintegrasikan isu perubahan iklim dalam perancangan dan pelaksanaan program pembangunan dan proses membuat keputusan; menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara lestari dan pembangunan insan; serta pemuliharaan alam sekitar. Perubahan gaya hidup sangat penting bagi setiap rakyat Malaysia. Mereka mesti mempunyai kesedaran dan pemahaman jelas terhadap perubahan iklim.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca