SHAH ALAM - Seorang anak penoreh getah yang berasal dari Kepala Batas berasa bangga apabila nama, umur serta tarikh lahir beliau seiring dengan peristiwa keramat negara iaitu hari kemerdekaan.
Mohd Merdeka Ismail, 64, berkata, nama Merdeka yang dimilikinya diberi oleh bidan kampung kerana lahir pada tarikh 31 Ogos tahun 1957 ketika Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman hendak menyambut kemerdekaan negara buat pertama kalinya.
"Antara salah satu keistimewaan nama yang saya miliki adalah orang yang mengenali saya mudah untuk mengingati umur serta tarikh lahir saya kerana ia sama seperti umur negara kita yang sudah merdeka.
"Apabila tibanya hari merdeka, saya juga berpeluang untuk menyambut hari jadi secara besar-besaran oleh rakan-rakan sekali gus menyambut hari kemerdekaan negara. Saya sentiasa rasa bersemangat untuk menyambut hari itu dan bangga apabila umur kemerdekaan negara seiring dengan umur saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, nama itu turut membawa tuah apabila beliau memperoleh banyak kelebihan terutamanya ketika hari merdeka.
"Pada Hari Kebangsaan, Petronas pernah memberi minyak enjin percuma kepada saya. Selain itu, saya juga sering mendapat jemputan makan di kedai kopi dan mendapat roti canai percuma.
"Semasa berumur 50 tahun, saya juga pernah dijemput ke Istana Negara, Kuala Lumpur oleh Yang di-Pertuan Agong ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin, pada tahun 2007 melalui Himpunan Anak-Anak Merdeka di seluruh negara,” katanya.
Mohd Merdeka yang juga bekas nelayan dan buruh perkapalan itu mengakui pada mulanya beliau agak malu dengan nama sendiri kerana nama tersebut amat unik dan jarang digunakan, namun perasaan itu sudah lama terkubur dan kini perasaan bangga yang tersemat di hati beliau.
"Pada mulanya saya berasa malu dengan nama sendiri terutamanya ketika remaja kerana saya sendiri berasa pelik dengan nama tersebut. Namun, lama-kelamaan, hanya perasaan bangga yang saya rasakan apabila rakan-rakan memanggil nama Merdeka.
"50 tahun kemudian, ketika saya dijemput ke Kuala Lumpur untuk sambutan Hari Kebangsaan, saya baru menyedari ada rakyat Malaysia yang mempunyai nama patriotik seperti saya dari pelbagai bangsa dan jantina. Mengetahui perkara itu, saya bertambah bangga dan gembira,” katanya.
Dalam pada itu, anak beliau, Izzatunnabila Mohd Merdeka, 28, pembantu penyelia di Hospital Seberang Jaya berkata, terdahulu dia turut terkesan dengan nama ayahnya kerana sering diejek oleh rakan sebaya namun menerimanya dengan hati terbuka apabila semakin ramai mengenali ayahnya kerana mempunyai nama yang unik.
"Waktu zaman sekolah, saya berasa segan apabila ada segelintir murid yang mengejek nama ayah saya kerana bagi mereka nama itu sangat pelik. Namun selepas ayah menerima jemputan pada usia 50 tahun itu, segalanya berubah apabila ramai sudah mengenali dan menerima nama Merdeka ini.
"Ia juga memberi kesan kepada keluarga kami di mana apabila tiba sahaja bulan kemerdekaan, ramai media yang mencari ayah untuk di temuramah. Makin ramai yang mengenalinya dan kami sentiasa menerima dengan hati yang terbuka dan perasaan gembira,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca