SHAH ALAM - Malaysia dan Merdeka merupakan sebuah nama serta peristiwa yang bersejarah buat negara ini, namun siapa sangka nama-nama tersebut cukup istimewa sehingga dijadikan sebagai sumber ilham untuk diberikan nama untuk anak-anak sehingga generasi kini.
Seorang pengurus teknologi maklumat, Tun Kamalul Zaman Abdul Jamal, 59, berkata, darah perwira di dalam dirinya adalah satu satu faktor dan inspirasi nama Malaysia dan Mardeka diberi pada anak-anaknya.
Beliau yang bekerja di sebuah syarikat di Petaling Jaya mengakui merupakan waris keturunan Bendahara Perak pertama, Megat Terawis menurut Salasiah Keturunan Orang Kaya Bendahara Megat Terawis berdasarkan manuskrip 40333(2) School of Oriental and African Studies, University of London.
"Saya adalah keturunan ke-17 Megat Terawis atau dikenali sebagai Orang Kaya Bendahara Paduka Raja iaitu Bendahara pertama Sultan Perak. Dia dikenali sebagai panglima yang gagah, berani serta taat kepada pemerintah.
"Ini terbukti apabila Megat Terawis sendiri telah membunuh Tun Saban yang merupakan pemberontak Melayu yang tidak mengiktirafkan Sultan Perak pada ketika itu,” katanya kepada Sinar harian.
Askar Melaka
Selain itu, nenek moyang kepada Tun Kamalul juga merupakan bekas askar Melaka yang melawan Portugis, jadi tidak hairanlah sifat patriotisme sentiasa ada dalam dirinya sehingga menjadi inspirasi untuk menamakan anak-anak mereka dengan nama patriotik.
"Selain Megat Terawis, nenek moyang saya juga merupakan bekas askar Melaka yang melawan Portugis. Oleh kerana kami merupakan waris keturunan atau kerabat ini, gelaran Tun akan dianugerahkan dan diturunkan kepada anak-anak.
"Oleh itu, saya sentiasa bersemangat menceritakan salasiah keluarga kepada anak-anak dan bangga dengan darah keturunan panglima atau perwira yang gagah itu sehingga dijadikan inspirasi untuk memberikan nama yang unik kepada anak-anak saya sebagai lambang identiti mereka,” katanya yang berasal dari Kuala Kangsar.
Malah lebih menarik, Tun Kamalul mendedahkan keturunan mempunyai susur galur Puteri Gunung Ledang berdasarkan manuskrip diiktiraf School of Oriental and African Studies, University of London itu.
"Walaupun kewujudan Puteri Gunung Ledang digelar sebagai legenda oleh masyarakat tempatan, namun namanya wujud dan direkodkan dalam manuskrip Salasiah Keturunan Megat Terawis berabad lamanya.
"Namun begitu, seperti yang dilakarkan oleh sejarah, tiada waris sambungan daripada Puteri Gunung Ledang oleh kerana kehilangan misterinya. Walaubagaimanapun, namanya tetap terpahat secara sah pada keturunan keluarga kami,” katanya.
Jelas beliau, manuskrip Salasiah Keluarga keturunan Megat Terawis yang dimilikinya itu sangat istimewa di mana ia berasal daripada manuskrip lama yang ditulis pada kulit kambing dengan tulisan rumi sekitar tahun 1803. Ia amat penting dan berharga pada dirinya dan keluarga kerana manuskrip tersebut mencatatkan sejarah keturunan Megat Terawis.
Tun Kamalul yang mempunyai anak bernama Tun Malaysia Venecia Zaman Riera, 24, berkata, nama unik anaknya itu juga adalah inspirasi daripada sebuah gambaran poster Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan hasil gabungan nama negara asalnya dan isteri.
"Malaysia diinspirasikan ketika isteri saya mengandung dan tertarik dengan poster ‘masjid biru’ Shah Alam yang tertulis ‘Fascinating Malaysia'. Dia amat menyukainya dan meminta izin saya untuk menamakan anak kami ‘Malaysia’ lalu saya bersetuju,” katanya.
Tambahnya, bagi anak bongsu mereka, Tun Mardeka Victoria Zaman Riera, 20, nama itu diilhamkan ketika melawati pameran merdeka di Muzium Negara pada tahun 2000.
Tun Kamalul berkata, beliau selalu berpesan kepada anak-anaknya untuk berbangga mempunyai nama patriotik yang melambangkan identiti negara dan sentiasa berpegang kepada empat prinsip keluarga iaitu ‘duty, honor, family dan country’.
Tun Kamalul turut berpesan kepada ibu bapa yang ingin menamakan anak mereka dengan nama patriotik seperti Malaysia, mereka mesti berbangga dengan anak mereka sendiri dan asal usul keturunan mereka.
"Pertama, kita mesti mencari identiti sendiri jika kita berasa bangga, berani dan sayang akan negara kita. Kedua, kita mesti berasa bangga dengan asal usul kita dan dari mana kita datang.
"Sekiranya kita adalah orang Melayu maka berbanggalah kita dengan bangsa dan keturunan ini. Namun, jika kita adalah keturunan campur dengan darah negara lain atau berkahwin dengan warganegara lain, kita hendaklah membawa mereka ke dalam agama serta keluarga kita,” katanya yang pernah bekerja di Nicaragua, Trinidad, Venezuela, Paraguay, Uruguay, Brazil dan Amerika Syarikat dari tahun 1979 sehingga 2001.
Klik di sini untuk terus membaca