SEMINGGU lalu netizen di media sosial heboh mempersoalkan keberadaan beberapa ahli politik dalam pesawat rasmi kerajaan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membuat perjalanan rasmi melawat mangsa tragedi banjir di... Klik di sini untuk terus membaca

SEMINGGU lalu netizen di media sosial heboh mempersoalkan keberadaan beberapa ahli politik dalam pesawat rasmi kerajaan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membuat perjalanan rasmi melawat mangsa tragedi banjir di Yan, Kedah.

Antara yang disuarakan, bagaimana kumpulan ahli politik berkenaan boleh turut sama menaiki pesawat rasmi atau disebut juga pesawat eksekutif yang dikhaskan untuk kegunaan pemimpin tertinggi negara.

Untuk merungkai jawapannya, mari kita mengetahui serba sedikit tentang pesawat eksekutif Airbus Corporate Jetliner (ACJ320) atau dikenali juga sebagai Perdana 1 dan fungsinya.

Menurut Pensyarah Kajian Strategik & Anti-Keganasan Universiti Malaysia Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Mizan Aslam, pesawat eksekutif milik negara dikhaskan untuk kegunaan kenamaan bermula dengan Yang di-Pertuan Agong diikuti Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

"Fungsi utama pesawat eksekutif (Perdana 1) adalah membawa kenamaan (Yang di-Pertuan Agong diikuti Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri) bagi tujuan urusan rasmi yang telah mendapat kelulusan Jabatan Perdana Menteri (JPM),” ujarnya kepada Sinar Premium baru-baru ini.

Namun katanya, dengan kelulusan JPM, kenamaan lain juga boleh menggunakan pesawat eksekutif ini termasuk Sultan, Yang di-Pertua Negeri, menteri, timbalan menteri, tetamu kerajaan Persekutuan dari luar negara, pegawai kanan kerajaan dan orang kenamaan.

"Bagaimanapun perkara tersebut adalah tertakluk kepada permohonan, keperluan dan kelulusan.

"Sebarang permohonan berkaitan pesawat eksekutif Perdana 1 adalah tertakluk di bawah JPM yang berkuasa memberi kelulusan atau sebaliknya, namun keutamaan diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong jika terdapat keperluan untuk Seri Paduka Baginda menggunakan pesawat eksekutif tersebut,” katanya lagi.

Tambah Mohd Mizan, harus difahami bahawa Perdana Menteri berhak menamakan sesiapa yang dirasakan perlu untuk bersama beliau ketika membuat perjalanan bagi tujuan rasmi.

"Perjalanan rasmi Yang di-Pertuan Agong atau Perdana Menteri kebiasaannya akan melibatkan entourage (pengiring) seperti pengawal keselamatan peribadi, setiausaha sulit dan lain-lain berkaitan.

"Dan mereka ini boleh menamakan individu-individu yang perlu untuk bersama-sama dalam penerbangan tersebut,” katanya lagi.

Salah seorang pegawai bekas Perdana Menteri yang enggan namanya didedahkan turut mengakui bahawa JPM mempunyai bidang kuasa terhadap pesawat eksekutif milik kerajaan.

"Menurut pengetahuan saya begitulah, segalanya tertakluk kepada kelulusan JPM. Namun pemimpin negara (perdana menteri) boleh memilih sesiapa yang dirasakan perlu untuk bersama rombongannya menaiki pesawat eksekutif.

"Terpulang kepada seseorang perdana menteri itu. Selalunya yang akan mengikuti rombongan menaiki pesawat eksekutif adalah seperti pegawai-pegawai khas, pengiring keselamatan atau jemputan beliau," katanya.

Menyentuh soal pengurusan pesawat rasmi kerajaan antaranya juruterbang yang ditugaskan menerbangkan pesawat Perdana 1, Mohd Mizan berkata, ia berada di bawah kendalian Tentera Udara Diraja Malaysia di Pangkalan TUDM, Subang manakala urusan penyelenggaraan adalah di bawah kendalian AIROD.

"AIROD merupakan sebuah syarikat berkaitan penerbangan yang bertanggungjawab untuk kerja-kerja penjagaan dan teknikal kejuruteraan penerbangan di Malaysia termasuklah pesawat Perdana 1 yang digunakan oleh Perdana Menteri dan kos pembiayaannya akan dihantar kepada JPM.

"Dalam satu laporan pada tahun 2015, dinyatakan tidak kurang dari RM160 juta setahun dibelanjakan untuk pengurusan penyelenggaraan pesawat-pesawat rasmi kerajaan,” katanya lagi.

Pesawat Eksekutif Airbus Corporate Jetliner (ACJ 320). - Foto Bernama

Untuk rekod, selain pesawat Perdana 1 (ACJ 320), antara fleet pesawat eksekutif kerajaan termasuk pesawat Airbus ACJ319 yang diperoleh pada tahun 2007 dan dua lagi pesawat bersaiz lebih kecil iaitu Dassault Falcon 900 pada tahun 1989 dan Bombardier BD-700-1A10 Global Express pada tahun 2001.

Selain itu, helikopter Sikorsky S-70A-30 Blackhawk dan Sikorsky S-70A-34 Blackhawk serta helikopter Agusta Westland AW139 kendalian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia turut digunakan oleh Perdana Menteri.

Secara umumnya, dengan fungsi sebagai pengangkutan udara rasmi untuk pemimpin tertinggi negara, pastinya pesawat eksekutif itu mempunyai beberapa ciri tertentu antaranya kemudahan sajian, kemudahan perubatan termasuk perubatan asas dan kecemasan, telefon, radio, sambungan komputer, televisyen dan banyak lagi.

Namun jika dibandingkan dengan pesawat canggih seperti Air Force pastinya pesawat milik Amerika Syarikat itu banyak kelebihan lain.

Air Force One atau merujuk kepada pesawat Boeing VC-25A dilengkapi pelbagai kemudahan canggih bagi kegunaan rasmi pemimpin nombor satu negara Uncle Sam itu ketika membuat perjalanan ke seluruh dunia.

Selain mampu mengisi minyak di udara, Air Force One turut mempunyai peralatan telekomunikasi terkini yang membolehkan pesawat itu berfungsi sebagai ‘command center’ sekiranya berlaku serangan terhadap AS.


TRIVIA PESAWAT ACJ320


* Pesawat jenis Airbus Corporate Jetliner (ACJ 320) dari syarikat Airbus berpusat di Perancis ini termasuk dalam kategori jet peribadi

* Mempunyai ruang cabin luas dan mewah hampir 100 meter persegi dan kapasiti tempat duduk biasa antara 8-18 penumpang namun dengan pemasangan sesuai boleh membawa hingga 44 penumpang

* Dengan jarak penerbangan mencecah 4,300 batu nautika, pesawat ini mempamer prestasi kemuncak dalam kategorinya tersendiri

* Malaysia memperoleh pesawat eksekutif (ACJ 320) sebagai pesawat rasmi pada 6 Mei 2015

* Ia diperoleh kerajaan Malaysia menerusi kontrak pembelian sewa beli untuk tempoh 15 tahun

* Pesawat eksekutif (ACJ 320) menggantikan pesawat VVIP jenis BBJ737-700NG sebagai pesawat rasmi kerajaan berikutan BBJ dilupuskan kerana telah uzur dan memerlukan penyelenggaraan tinggi serta mendatangkan risiko keselamatan

* Pesawat BBJ telah digunakan oleh Malaysian Airlines (MAS) sejak tahun 1999 sebelum kerajaan memperolehnya pada tahun 2003 untuk kegunaan Yang di-Pertuan Agong

* Penerbangan rasmi pertama ACJ320 membawa Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 17 Mei 2015

Klik di sini untuk terus membaca