SHAH ALAM - Lembah Klang sudah bersedia untuk beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam waktu terdekat.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, keputusan tersebut bergantung kepada indikator yang dikaji oleh kerajaan.
"Kalau dulu, kerajaan memaklumkan perpindahan fasa akan dilaksanakan sekiranya bilangan kes menurun sebanyak 2,000. Namun, itu mungkin dulu, sekarang dengan adanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ia berubah.
"Bagi saya, apabila kerajaan sudah melakukan kajian dan membenarkan untuk beralih fasa, keadaan tidak boleh berpatah balik seandainya kes kembali meningkat.
"Paling penting, kita mesti terus berusaha melawan pandemik Covid-19 dan jangan rasa selesa dengan kelonggaran diberikan (beralih fasa kedua),” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ia mengenai pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin, bahawa Lembah Klang sudah boleh beralih ke fasa dua PPN susulan kadar vaksinasi melebihi 80 peratus.
Dalam pada itu, Dr Zainal Ariffin berkata, kerajaan perlu memantau dua indikator yang akan memberikan cabaran besar kepada peralihan fasa tersebut sekali gus program vaksinasi juga dipastikan berada pada tahap stabil bagi membolehkan kawasan tersebut beralih ke fasa seterusnya.
"Kerajaan perlu memantau dua perkara tersebut iaitu dari segi kadar kematian dan pesakit di unit rawatan rapi (ICU).
"Sekarang ini keadaan masih tidak stabil kerana walaupun kes kurang tetapi kematian di rumah masih mencatatkan angka yang tinggi dan merisaukan.
"Seterusnya kes bagi negeri Selangor sentiasa pada paras 5,000 kes. Ini bermakna situasinya masih belum selesa,” kata beliau.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berpendapat peralihan tersebut masih belum sesuai susulan kes harian yang dilaporkan di Lembah Klang masih tinggi.
Kata beliau, kes positif pada tahap tiga, empat dan lima mencatatkan penurunan namun bagi tahap satu dan dua masih merekodkan angka tinggi.
"Jangan terperanjat jika berlaku peningkatan kes ketika perubahan fasa tersebut,” katanya.
Dr Hanafiah berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan kekuatan sektor hospital sedia ada untuk menampung jika berlaku peningkatan kes.
"Banyak hospital di Lembah Klang baru dapat berehat. Peningkatan kes akan meletakkan beban yang tinggi sekali lagi kepada petugas barisan hadapan terutama di bahagian kecemasan dan ICU. Ini satu tekanan yang harus dihadapi oleh staf Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, rakyat masih alpa untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Masih ada lagi rakyat yang dikompaun akibat tidak mematuhi SOP walhal sudah lebih setahun lapan bulan menghadapi Covid-19 ini.
"Kenapa masih ada lagi individu yang tidak mematuhi SOP sedangkan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial adalah sangat mudah, kenapa masih gagal?” soal Dr Hanafiah.
Klik di sini untuk terus membaca