SAYA memang patriotik. Sekurang-kurangnya itulah yang saya rasa. Sejak masih kanak-kanak saya selalu beli bendera Malaysia – waktu itu belum ada istilah Jalur Gemilang. Pemegangnya berupa plastik macam straw panjang dan di dalamnya berisi... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA memang patriotik. Sekurang-kurangnya itulah yang saya rasa. Sejak masih kanak-kanak saya selalu beli bendera Malaysia – waktu itu belum ada istilah Jalur Gemilang.

Pemegangnya berupa plastik macam straw panjang dan di dalamnya berisi gula-gula bulat berwarna-warni.

Kalau waktu ada duit lebih, saya mungkin membelinya dua atau tiga kali sehari. Saya hanya berhenti membeli jika duit habis atau jika jelingan emak kelihatan agak lain macam.

Bagi saya, idea menjual bendera bersama gula-gula atau menjual gula-gula bersama bendera itu memang wajar dipuji.

Ia banyak membantu menyemai benih patriotism dalam kalangan kanak-kanak.

Walaupun mungkin ada yang membeli kerana gula-gula, namun mereka jarang membuang bendera yang datang bersamanya.

Bendera itu akan dipasang pada handle basikal, tepi pagar atau setidak-tidaknya dibawa ke sana ke mari sambil dikibarkan.

Secara tidak langsung ia memupuk rasa sayang mereka pada bendera.

Satu lagi, bendera bergula-gula atau gula-gula berbendera itu turut membina semangat patriotisme tanpa musim sebab ia dijual sepanjang masa.

Jadi kita tidak perlulah menanti sehingga bulan Ogos baru hendak sibuk dengan bendera seolah-olah pada bulan selain Ogos, kita tidak perlu sangat dengan semangat kebangsaan atau kenegaraan.

Bendera Malaysia mula dikenali sebagai Jalur Gemilang pada 1997. Ada sejarahnya tentang Jalur Gemilang ini.

Sempena Bulan Kemerdekaan, eloklah kita kongsi supaya tidaklah nanti kita hanya pandai mengibar bendera tetapi tidak tahu asal-usulnya.

Lagipun kata orang tua-tua, tak kenal maka tak cinta. Hendak bercinta kena berkenal-kenalan dahulu. Bercinta dahulu tapi tak kenal selalunya kes angau atau gila bayang.

Bendera Persekutuan yang asal dicipta reka bentuknya oleh Mohamed Hamzah, seorang arkitek kerajaan dari Johor pada tahun 1949. Ia hasil pertandingan yang disertai oleh 373 penyertaan dari seluruh pelosok Tanah Melayu dan Singapura.

Pada tahun 1995, satu cadangan dikemukakan kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun) supaya bendera Malaysia diberi nama. Cadangan diterima. Satu urus setia ditubuhkan dan 75 nama dicadangkan, lengkap dengan huraian.

Hasilnya tiga nama disenarai pendek iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara.

Bagaimanapun, nama-nama itu ditolak oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 September 1996. Cadangan dibuka semula.

Sebanyak 28 cadangan baharu diterima, antaranya Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan lain-lain termasuklah Jalur Gemilang.

Pilihan

Pada 2 Jun 1997, tiga nama pilihan dibawa ke hadapan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

Akhirnya Jalur Gemilang, nama yang dicadangkan oleh pegawai daripada Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin menjadi pilihan.

Tidak lama selepas itu, pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan ke-40, pengisytiharan nama Jalur Gemilang dibuat secara rasmi oleh Dr Mahathir.

Ketika nama Jalur Gemilang mula digunakan, saya sudah berusia suku abad dan sudah lama berhenti membeli bendera bergula-gula atau gula-gula berbendera. Namun, patriotisme saya tetap ada, malah lebih membuak berbanding zaman kanak-kanak dahulu.

Dahulu, semasa berumur enam tujuh tahun, kemerdekaan bagi saya hanyalah bendera, gambar laungan ‘merdeka’ Tunku Abdul Rahman, lagu ‘Malaysia Berjaya’ dan ‘Inilah Barisan Kita’, perarakan di Kuala Lumpur yang ada gambarnya di televisyen. Itu sahaja.

Tetapi proses pembenihan patriotisme berterusan daripada peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya universiti mengajar saya – dan tentunya ramai yang lain – tentang peri besarnya nilai sesebuah kemerdekaan.

Ia rupa-rupanya bukan sekadar pertandingan melukis atau bercerita bertemakan ‘Hari Kemerdekaan’ atau ‘Hari Kebangsaan’ di tadika, pertandingan syarahan di sekolah menengah, peraduan menulis esei di kolej atau konvoi merdeka di universiti.

Ia juga bukan sekadar lagu ‘Tanggal 31 Ogos’ nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dan ‘Saya Anak Malaysia’ nyanyian dR Sam Rasputin.

Semua itu memang pelengkap. Namun, hakikatnya ia lebih daripada itu. Ia adalah tentang air mata dan darah, keazaman dan pengorbanan, maruah dan harga diri.

Seorang sahabat pena saya di Lithuania menceritakan bagaimana dia dan keluarganya menangis apabila melihat bendera negaranya dikibarkan buat pertama kali sebagai bendera sebuah negara merdeka selepas runtuhnya Soviet Union pada 1991.

Dan saya difahamkan ramai juga anak watan bumi bertuah ini yang mengalirkan air mata gembira apabila Union Jack diturunkan di Padang Merdeka pada malam 31 Ogos 1957 dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu,

Generasi saya, apatah lagi generasi sekarang, tidak sempat melihat dengan mata kepala sendiri detik-detik bersejarah itu.

Kita juga tidak berpeluang melihat bagaimana pejuang-pejuang terdahulu bertungkus-lumus membebaskan negara ini daripada penjajahan.

Kita tidak sempat melihat bagaimana golongan ibu menanggalkan barang kemas di badan bagi mendanai rombongan menuntut kemerdekaan yang diketuai Tunku Abdul Rahman ke London.

Kita tidak berasa perit pedihnya bertuankan penjajah dan melihat dengan sakit hati hasil mahsul bumi bertuah ini dikaut pergi.

Hargai

Kita tidak berpeluang lagi untuk melalui semua itu. Namun, kita tetap berpeluang untuk menghargainya.

Meraikan hari ulang tahun kemerdekaan dengan penuh bersemangat adalah sebahagian daripadanya.

Memeriahkan sambutan dengan mempamer dan mengibarkan bendera adalah salah satu daripada kaedahnya.

Kita tidak bersendirian sebenarnya. Di mana-mana pun di dunia ini, Hari Kebangsaan atau ulang tahun Hari Kemerdekaan disambut meriah.

Di India, pada setiap 11 Ogos, ulang tahun kemerdekaannya disambut bukan sahaja dengan perbarisan, kibaran bendera, hon-hon yang bingit dan perkelahan keluarga tetapi juga permainan layang-layang beraneka saiz dan warna, yang kebanyakannya diterbangkan dari bumbung rumah.

Bagi rakyat India, layang-layang itu adalah simbol kebebasan selepas 200 tahun berada di bawah penjajahan British.

Di Ghana, yang ulang tahun kemerdekaannya jatuh pada 6 Mac, setiap bandar dan pantai akan sesak dengan manusia yang meraikannya.

Muzik dan tarian moden yang berbaur dengan tradisi Afrika Barat boleh dilihat di mana-mana.

Lain padang lain belalang. Di Norway, memakan ais krim dan sosej menjadi satu cara menyambut Hari Kebangsaannya yang jatuh pada 17 Mei.

Di Filipina, setiap 12 Jun menjadi hari untuk mengukuhkan lagi ikatan keluarga dengan majlis makan minum sambil mengenangkan kembali detik presiden pertamanya, Emilio Aguinaldo mengisytiharkan kemerdekaan negara itu selepas sekian lama berada di bawah cengkaman Sepanyol.

Di Peru, Hari Kebangsaannya disambut dua hari berturut-turut iaitu pada 28 dan 29 Julai.

Ia adalah hari di mana semua orang akan berpakaian berwarna-warni, berseronok suka dengan iringan dram yang membangkitkan semangat.

Jadi, apa juga yang kita lakukan untuk memeriahkan sambutan adalah wajar. Dan kita harus melakukannya dengan penuh semangat.

Tetapi janganlah sewa rumah inap atau kondominium untuk mabuk-mabuk sambil ‘pekena’ dadah.

Itu bukan perangai orang merdeka, itu perangai orang yang sengaja mencari jalan untuk ke neraka.#dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia

Klik di sini untuk terus membaca