SEMALAM kita menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-64. Seandainya Malaysia ini adalah manusia, dia sudah menjadi warga tua.
Daya tahan tubuhnya sudah mula merosot, matanya kabur, telinganya sedikit tuli, pinggangnya sakit-sakit, ototnya sudah lemah dan kulitnya mula berkedut.
Dia perlu banyak rehat dengan tidur yang cukup. Untuk menyihatkan tubuhnya, dia perlu kurangkan gula dan garam.
Sebaliknya dia perlu banyak menyuap makanan tambahan seperti vitamin, madu, habbatussauda, glucosamine, segala macam herba, melebihkan sayur dan meneguk air mineral.
Namun, Malaysia adalah sebuah negara, bukannya manusia. Oleh itu, dari sudut tempoh kemerdekaan, usianya masih muda.
Amerika misalnya telah merdeka sejak 1776 (sudah 244 tahun) dan Perancis sejak 1789 (sudah 211 tahun).
Jika dibanding dengan negara-negara dahulu, usia Malaysia seperti bayi! Mesir dari segi kewujudannya telah ada sejak 8,000 tahun lalu. Begitu juga China dan Rom yang telah wujud 6,000 tahun lalu.
Malangnya, meskipun Malaysia berusia 64 tahun, potensi kebijaksanaan dan kematangan yang pernah ditayangkannya kepada dunia sudah pudar.
Dahulu Malaysia terkenal sebagai sebuah negara Asia Tenggara yang dihormati.
Kita terkenal sebagai negara yang dipercayai untuk menjaga keamanan negara-negara berkonflik.
Kita pernah menghantar tentera pengaman di Congo, Mindanao, Somalia, Bosnia dan Palestin.
Dari sudut sosioekonomi, kita mencetuskan idea ASEAN dengan zon aman, bebas dan berkecuali.
Kita menganjurkan mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM), mesyuarat Kerjasama Asia-Pasifik (APEC) dan sidang Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM). Dari segi sukan, kita diberi kepercayaan menganjurkan Sukan Komanwel pada 1998.
Sebagai sebuah negara yang baru merdeka pada 1957, kita mula menyusun program pembangunan lima tahun negara melalui Rancangan Malaysia.
RMK pertama dilancarkan dari tahun 1966-1970. Setelah melebihi 60 tahun usianya, kita masih lagi melaksanakan RMK - kini RMK ke-12 untuk jangka masa 2020-2025.
Susulan tragedi 13 Mei 1969 yang puncanya berkait dengan keseimbangan ekonomi, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan untuk mentadbir negara ketika itu telah menyarankan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Program 20 tahun dari 1971-1990 itu mempunyai dua matlamat iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun masyarakat.
Kemudian, kita ada program gergasi kedua iaitu Wawasan 2020 - program 30 tahun yang dilancarkan pada 1991-2020.
Kini kita sedang mengharungi Program Transformasi Nasional, sebuah program 30 tahun juga dari 2020-2050.
Persoalannya, berapa ramai rakyat Malaysia tahu kita sedang menjalani program RMK12 dan Program Transformasi Nasional? Ramai ingat-ingat lupa, malah ramai yang sudah pun terlupa.
Puncanya kerana pemimpin kita sendiri sudah tidak berpandangan jauh. Pandangan mereka tidak lagi sejauh 20 hingga 30 tahun mendatang, sebaliknya hanya setahun dua mendatang apabila PRU15 akan berlangsung.
Ditambah pula dengan pandemik, kita sudah terbiasa untuk tidak melihat jauh ke hadapan, sebaliknya dari hari ke hari bila mana kebimbangan masa depan kita hanya berdasarkan angka jangkitan Covid-19 hari ini. Seolah-olah masa depan kita adalah keesokan hari.
Paling jauh kita berfikir tentang masa depan adalah dua minggu akan datang bila kita tertanya-tanya adakah kita akan memasuki fasa baharu dalam Pelan Pemulihan Negara?
Sempena Hari Kemerdekaan ini marilah kita sama-sama berfikiran lebih jauh, sekurang-kurangnya setahun mendatang.
Berpandangan jauh memberikan kita mood untuk berfikiran positif bagi mencarta pelan masa hadapan.
Apabila kita merancang, kita dapat merangka pelan untuk mengalih atau mengurangkan halangan.
Apabila kita ada rancangan, kita akan fokus kepada sasaran yang dirangka. Apabila kita fokus, dengan sendirinya kita akan ketepikan apa juga yang tiada kena mengena dengan matlamat.
Jika setiap rakyat ambil peduli tentang masa depan masing-masing, kita akhirnya akan memerdekakan diri daripada apa juga belenggu yang merantai mental dan spiritual yang orang lain paksa ke atas kita.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca