SHAH ALAM - Mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 yang dipinda ke tarikh 13 September hingga 12 Oktober depan selama 17 hari memperlihatkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri tiada dalam aturan persidangan. Pada 18 Ogos,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 yang dipinda ke tarikh 13 September hingga 12 Oktober depan selama 17 hari memperlihatkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri tiada dalam aturan persidangan.

Pada 18 Ogos, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar Perdana Menteri yang baharu perlu melalui undi percaya di Dewan Rakyat bagi menunjukkan beliau mendapat sokongan majoriti.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan Perdana Menteri baharu selepas menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.

Ismail Sabri yang merupakan Ahli Parlimen Bera dari UMNO menjawat jawatan itu selepas meraih 114 sokongan ahli Parlimen.

Ahli Parlimen DAP antara yang lantang mempersoalkan mengapa usul undi percaya terhadap Perdana Menteri tiada dalam jadual persidangan.

GUAN ENG

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan, tidak ada sebarang alasan bagi penundaan sidang Parlimen dari 6 kepada 13 September jika usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak ada dalam agenda atau kertas aturan Dewan Rakyat.

"DAP menerima bahawa Perdana Menteri baharu perlu berada di Parlimen, ketika undi percaya sedang dipertimbangkan dan diputuskan oleh Parlimen.

"Namun, jika tidak ada usul undi percaya, apa gunanya atau alasan penangguhan Parlimen selama satu minggu? Tidak ada alternatif atau kompromi untuk mengadakan usul undi percaya di Parlimen, ia perlu dilaksanakan,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu menambah, pelantikan Perdana Menteri baharu ketika pertengahan penggal parlimen akibat daripada kekosongan, memerlukan undi percaya bagi menunjukkan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Jelas Guan Eng, sebarang kegagalan Ismail Sabri untuk melakukannya akan menjadi penentangan terbuka yang boleh ditafsirkan sebagai penderhakaan yang disengajakan dan bersikap keras kepala terhadap Titah Diraja.

"DAP tidak faham mengapa Ismail Sabri enggan mengemukakan usul undi percaya ketika Yang di-Pertuan Agong telah mengumumkan bahawa Ismail Sabri memenangi sokongan 114 Ahli Parlimen dan di tengah perbincangan bersama pembangkang untuk fokus memerangi wabak COVID-19, krisis ekonomi yang telah memusnahkan nyawa dan mata pencarian serta melakukan reformasi institusi bagi melindungi demokrasi berparlimen negara.

"Kecuali sekiranya, Ismail Sabri tidak yakin dengan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi daripada Ahli Parlimen Kerajaan," katanya.

Tangkap layar Twitter Bee Yin yang mempersoalkan mengapa ususl undi percaya terhadap Perdana Menteri tiada dalam agenda mesyuarat.

Ahli Parlimen Bakri, Yoe Bee Yin juga mempersoalkan mengapa usul berkenaan tiada dalam agenda mesyuarat.

"Usul undi percaya tiada dalam agenda mesyuarat. Lupa atau takut?” katanya.

Biarpun begitu, berdasarkan Perlembagaan, tidak menyatakan bahawa perkenan Yang di-Pertuan Agong perlu diuji di Dewan Rakyat, kata Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Shamrahayu Ab Aziz Oleh sebab itu kata Shamrahayu yang merupakan pakar perlembagaan, undi percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat tidak perlu dilakukan kerana keabsahannya sudah diperakui ketika Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara pada 21 Ogos.

Beliau menegaskan, sekiranya undi percaya dilakukan, ia hanyalah proses mengukuhkan sokongan terhadap Perdana Menteri.

"Secara fahamannya, sekiranya seorang Perdana Menteri itu telah mengangkat sumpah, maka jawatan itu telah sah.

"Lagipun dalam Perlembagaan kita ia tidak menyatakan syarat bahawa perkenan Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) itu perlu diuji di Parlimen.

"Kita tidak perlu lagi mengesahkan perkenan Tuanku itu, sebenarnya perkenan Tuanku secara legal suatu pelantikan yang sah," katanya baru-baru ini.

Dalam notis yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin kepada semua Ahli Dewan Rakyat pada Selasa, turut dilampirkan adalah takwim baharu mesyuarat yang akan berlangsung selama 17 hari bermula 13 September hingga 12 Oktober.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat pada hari pertama, serta menyampaikan Titah Diraja.

Salinan agenda mesyuarat yang dikongsikan oleh Ahli Parlimen Bakri.


Salinan agenda mesyuarat yang dikongsikan oleh Ahli Parlimen Bakri.


Salinan agenda mesyuarat yang dikongsikan oleh Ahli Parlimen Bakri.

Berdasarkan urusan majlis sidang, sesi perbahasan usul Menjunjung Kasih dan Pembahasan Titah Diraja akan bermula pada hari kedua hingga 21 September.

Kemudian akan diteruskan dengan jawapan menteri-menteri pada 22 dan 23 September.

Sidang kali ini juga akan menyaksikan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada 27 September, disusuli sesi pembahasan yang bermula 28 September hingga 4 Oktober.

Mesyuarat pertama bagi tahun ini di jadual berakhir pada minggu kelima dengan urusan majlis berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) dan urusan lain kerajaan pada 11 dan 12 Oktober depan.

Klik di sini untuk terus membaca