SELEPAS 18 tahun ditahan oleh Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan terlibat dalam kejadian pengeboman yang berlaku pada tahun 2002 dan 2003 di Indonesia, kes dua rakyat Malaysia akhirnya bermula pada Isnin lalu. Kedua-dua mereka... Klik di sini untuk terus membaca

SELEPAS 18 tahun ditahan oleh Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan terlibat dalam kejadian pengeboman yang berlaku pada tahun 2002 dan 2003 di Indonesia, kes dua rakyat Malaysia akhirnya bermula pada Isnin lalu.

Kedua-dua mereka dibicarakan bersama seorang warga Indonesia iaitu Hambali atau nama penuhnya ialah Encep Nurjaman, 57, di hadapan Suruhanjaya Tentera AS di Teluk Guantanamo, Cuba.

Dalam kes itu, pihak pendakwaan menuduh tiga lelaki tersebut dengan tuduhan terlibat dengan pembunuhan, keganasan dan berkonspirasi dalam kedua-dua kejadian pengeboman tersebut.

Ketiga-tiga mereka didakwa terlibat dalam kejadian pengeboman di Bali pada tahun 2002 sehingga mengakibatkan 202 orang terbunuh, kebanyakannya pelancong dari Australia dan serangan bom di Hotel JW Marriott di Jakarta.

Dalam serangan bom di hotel tersebut, 11 orang maut dan lebih 80 lagi mengalami kecederaan.

Kedua-dua warga Malaysia yang dibicarakan itu ialah Mohammed Nazir Lep, 44, dan Mohammed Farik Amin, 46, atau lebih dikenali sebagai Zubair.

Kedua-dua warga Malaysia iaitu Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin kini masih ditahan di penjara Guantanamo milik tentera Amerika Syarikat di Cuba. - Foto AFP

Bantu Hambali

Semasa berlakunya kejadian tersebut di Bali, berita-berita pengeboman di lokasi pelancongan terkenal di dunia itu mendapat liputan meluas akhbar-akhbar dan kerajaan Barat terutamanya AS.

Serangan pengeboman itu berlaku pada waktu malam pada Oktober 2002 apabila dua pengebom bunuh diri meletupkan bom di dua buah kelab malam dengan salah seorangnya menggunakan sebuah van sehingga turut mengakibatkan tujuh warga AS maut.

Dalam pengeboman di Hotel JW Marriot pula, sebuah bom kereta meletup dan mengikut laporan awal, dua warga AS turut mengalami kecederaan pada masa itu.

Semua serangan tersebut berlaku selepas serangan pengganas berlaku pada 11 September 2001 di AS sehingga menyebabkan negara Uncle Sam itu melancarkan serangan ke atas Afghanistan bagi menyingkirkan Taliban di Kabul pada Oktober tahun yang sama.

Bagaimanapun, dua warga Malaysia itu tidak terlibat secara langsung dalam kejadian serangan bom di Bali itu.

Sebaliknya, mereka dituduh membantu Hambali bagi mengelakkan dia ditangkap dengan memalsukan dokumen, mendapatkan senjata dan rumah yang selamat untuk didiami.

Kerajaan AS pernah menuduh Hambali menjadi komander operasi untuk kumpulan Jemaah Islamiah (JI) yang bersekutu dengan Al-Qaeda.

Warga Indonesia itu yang pernah mendapat latihan di kem Al-Qaeda di Afghanistan dan dituduh AS mengarahkan dua rakyat Malaysia tersebut untuk melakukan tinjauan ke atas beberapa sasaran melibatkan kepentingan Amerika, Israel dan pusat pelancongan di Asia Tenggara pada tahun 1999.

Encep Nurjaman atau lebih dikenali sebagai Hambali. - Foto AP

Tiada pengakuan

Kedua-dua warga Malaysia itu juga dituduh menyembunyikan wang sebanyak AS$50,000 (RM207,690) di apartmen mereka di Bangkok, Thailand yang mana pihak pendakwa raya AS menuduh ia digunakan untuk meletupkan bom di dalam kereta di Hotel JW Marriott.

Wang tersebut didakwa dihantar oleh warga Pakistan, Khalid Sheikh Mohamed, 57, yang kini ditahan di penjara kem Guantanamo milik AS di Cuba.

Namun, Hambali dan dua warga Malaysia itu berjaya ditangkap di Thailand pada tahun 2003 sebelum dihantar ke AS dan akhirnya turut ditahan di penjara kem Guantanamo milik tentera Amerika di Cuba.

Zubair yang dilahirkan di Selangor dituduh menjadi anggota kanan JI manakala Mohammed Nazir yang merupakan anak jati Johor dan pernah bekerja dengan tentera Malaysia.

Kedua-dua mereka belajar di sebuah politeknik yang sama di Kedah dan juga pernah memasuki Afghanistan dan mendapat latihan melaksanakan operasi jihad di sebuah kem kendalian Al-Qaeda dekat Kandahar di negara berkenaan.

Dalam perbicaraan pertama pada Isnin lalu, masalah melibatkan kemahiran jurubahasa berlaku sehingga ia disambung pada Selasa dengan ketiga-tiga mereka tidak membuat pengakuan berhubung tuduhan yang dikenakan ke atas mereka. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca