SHAH ALAM - Sebanyak 30 peratus daripada 160 maahad tahfiz persendirian di Pahang terpaksa ditutup kerana menghadapi masalah kewangan yang teruk selepas lebih setahun negara berdepan dengan pandemik Covid-19. Pengerusi Persatuan Institusi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sebanyak 30 peratus daripada 160 maahad tahfiz persendirian di Pahang terpaksa ditutup kerana menghadapi masalah kewangan yang teruk selepas lebih setahun negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran (Pinta) Pahang, Muhammad Abdul Salam Abdul Ghani, 41, berkata, jumlah itu dijangka bertambah sekiranya penularan wabak itu berlarutan dalam tempoh yang agak lama.

Menurutnya, maahad tahfiz sudah tidak mampu bertahan memandangkan institusi pengajian agama terbabit tidak mempunyai dana yang tetap.

"Kini, 30 peratus maahad tahfiz sudah tutup. Kalau masalah Covid-19 ini berterusan tidak mustahil angka tersebut boleh meningkat antara 70 hingga 80 peratus.

"Operasi maahad tahfiz ini tiada sumber kewangan tetap dan sangat bergantung kepada yuran pengajian pelajar dan sumbangan orang ramai serta dermawan.

"Jika tiada sumber kewangan daripada dua sumber itu (sumbangan dan yuran) ia menyebabkan kesukaran untuk membayar gaji guru, bil utiliti dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Abdul Salam

Beliau yang juga pengetua Maahad Tahfiz Miftahul Qura’ di sini mengakui pandemik Covid-19 sudah melumpuhkan banyak operasi maahad tahfiz di Pahang.

Namun setakat ini, maahad tahfiz miliknya masih bertahan meskipun berdepan masalah kewangan yang teruk.

"Kita mampu lagi untuk beroperasi kerana masih ada ibu bapa dan dermawan yang menyalurkan sumbangan walaupun sedikit. Wang sumbangan itu gunakan bagi membayar gaji guru dan membuat pelbagai urusan lain,” ujarnya.

Beliau berharap, agar semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri Pahang dapat membantu maahad tahfiz persendirian di negeri ini.

"Kita juga mahu kerajaan mempertimbang semula pengoperasian maahad tahfiz bagi elak penutupan operasi,” katanya.

Sementara itu, Mudir Madrasah Tahfiz Arrahimiyah, Abdul Rahman Khairul Anuar, 29, mengakui berdepan dengan masalah kewangan sejak maahad tahfiz seliaannya tidak beroperasi akibat wabak Covid-19.

Katanya, gaji kakitangan dan guru juga terpaksa dipotong susulan dana semakin menyusut sehingga terpaksa mencari inisiatif lain bagi memastikan kelangsungan maahad tahfiz.

Abdul Rahman

"Setakat ini, kita hanya mampu membayar gaji kakitangan dan guru sekitar 30 peratus sahaja. Alhamdulillah, rata-rata memahami situasi yang sedang semua orang hadapi.

"Jadi, kita juga telah menjalankan perniagaan kain pelikat sebagai ikhtiar untuk mendapat wang,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap agar pihak kerajaan menyediakan dana khas tahunan membantu institusi pendidikan agama persendirian seperti pusat tahfiz.

"Jika ada dana khas kerajaan pusat dan negeri secara langsung akan menyuburkan usaha mendidik generasi al-Quran menerajui negara pada masa depan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca