SETELAH tamat kemelut politik yang melanda negara dengan pertukaran Perdana Menteri ke-8 lantaran kehilangan kepercayaan majoriti daripada ahli Parlimen, Malaysia masih dikhuatiri kesukaran untuk pulih dalam tempoh masa terdekat.
Persaingan kuasa terus berlangsung di sebalik tabir antara watak-watak berpengaruh dalam gabungan Perikatan Nasional (PN). Penerusan sebilangan besar pemegang portfolio kementerian lalu bagi saf kabinet terbaharu cukup menghampakan.
Ketandusan ini bertitik tolak daripada terbongkarnya skandal-skandal sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) terdahulu selama lebih enam puluh satu tahun yang terpalit dalam pelbagai kes pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan rasuah berleluasa.
Paparan kepimpinan berkredibiliti teruk yang menjelma sepanjang kempen pilihan raya umum 2018 telah meretakkan hegemoni politik Melayu dan membawa kepada landskap fluid semasa.
Dilema kepimpinan yang sedikit berbeza pula turut menimpa pihak pembangkang, walaupun ada peningkatan berbanding beberapa dekad lalu dengan persefahaman sebagai sebuah blok yang kuat di bawah lembaran Pakatan Harapan (PH) ‘Plus’ untuk bersaing di Parlimen.
Dengan tertabalnya Perdana Menteri ke-9 tempoh hari, kembali kencang ura-ura untuk mencari pengganti buat ketua pembangkang semasa yang belum berupaya menunaikan janji sokongan.
Refleksi risiko seterusnya
Berlatarbelakangkan kepincangan tersebut, terdapat dua situasi yang turut merumitkan lagi keadaan.
Pertama adalah krisis bertimpa Covid-19 yang telahpun meragut belasan ribu nyawa dan meranapkan sektor perniagaan, menjejaskan aspek pendidikan anak-anak, serta menekan dahsyat kelangsungan hidup golongan berpendapatan rendah dan menghimpit kedudukan warga kelas pertengahan.
Kedua adalah bayangan mendatang iaitu persiapan jentera parti politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung setelah wabak berskala pandemik ini dapat ditangani dengan pemberian vaksin bagi mencapai imuniti kelompok dan pemulihan semula kesihatan awam. Terdapat kemungkinan besar peratusan keluar mengundi nanti akan menurun lantaran kebimbangan kesihatan yang berlarutan.
Persoalan timbul, mampukah kita membina semula negara dengan lebih baik pasca Covid-19? Bolehkah keputusan PRU15 nanti benar-benar berikan penyelesaian muktamad? Adakah masyarakat kita berminat kepada kestabilan atau pun kemajuan? Apakah bakal terjadi pada fantasi ‘kesatuan ummah’ atau praktik ‘penerusan dinasti’?
Realiti kerencaman masyarakat
Antara kejadian yang mustahil diubah mana-mana pihak adalah konteks yang sering diungkap oleh Almarhum Profesor Datuk Dr Siddiq Fadzil sebagai ‘kepelbagaian dalam bingkai kesatuan’, yang menjadi ciri keunikan khusus dalam Malaysia kontemporari.
Namun, khazanah kemajmukan negara ini sering kali dimangsakan apabila diletakkan dalam beberapa bentuk perbahasan yang saling bertentangan oleh kelompok perkauman yang dahagakan kuasa.
Perspektif yang meraikan toleransi dan kebersamaan erat, lalu membugar diskusi sihat hidup berdampingan secara harmoni acap kali terpaksa merebut tempat di ruang awam.
Kritikan keras dari spektrum berbeza pasti tertonjol membicarakan versi perkongsian kuasa berdasarkan fahaman kontrak sosial yang ditunjangi ihsan kaum dominan atau kanta agama.
Perkara ini antara lain membelenggu minda masyarakat dari menghayati roh perjuangan menentang penjajahan yang dicapai bersama. Malaysia yang mandiri mengiktiraf konsep kebebasan individu dengan mengangkat martabat setiap insan yang merdeka tanpa prejudis. Kerana, tertegaknya negara ini adalah untuk dikongsi dan bukannya dimonopoli lagi.
Untuk topik ini, sesi perbualan santai, pengalaman pertukaran seni budaya, mesej kisah perpaduan, dan acara silang keagamaan boleh dilakukan secara lazim lagi.
Reformasi institusi demokrasi
Selain daripada itu, terdapat perkara mustahak dari sudut memperbaiki kerapuhan institusi sedia ada dan menaik taraf ketelusan sistem secara komited yang tergendala semenjak penghujung abad ke-20 lagi.
Penting untuk ditelusuri semula dasar-dasar terdahulu serta mengemas kini polisi-polisi sekarang agar negara ini cekap mendepani situasi luar jangka pada masa mendatang.
Usaha bagi menyebarluaskan kesedaran umum tentang keperluan atau manfaat proses semak dan imbang perlu konsisten agar lebih banyak perubahan sistemik dapat berlangsung lalu diurus dengan baik.
Apabila kesedaran rakyat timbul dan mendorong perubahan dicipta oleh pembuat dasar, maka kepercayaan antara kedua-dua pihak dapat pulih malah ditingkatkan.
Tiga amalan asas negara ini iaitu demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan serta hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri memerlukan pengolahan secara berkala untuk terus berfungsi. Maka, pendidikan tentang amalan tersebut perlu dilazimi setiap lapisan masyarakat agar mula mengambil berat akan konsep kebertanggungjawaban bagi sesebuah kerajaan terhad.
Untuk perkara ini, sumber maklumat digital, bengkel latihan simulasi, kertas cadangan polisi dan wacana ilmiah kewarganegaraan wajar untuk dilaksana lebih kerap.
Rentas tradisi generasi
Bidalan para pemikir Islam iaitu ‘semangat kepermudaan dan hikmah orang tua’ sesuai dijadikan pedoman buat Malaysia. Ia mengalami jurang besar antara sebahagian kelompok belia yang kian sinis dengan sikap segelintir pimpinan veteran yang out of touch akibat kerakusan berzaman.
Bahkan, ada pula yang terjebak dengan budaya ketaksuban pada sosok secara melampau yang akhirnya memundurkan kembali segala ikhtiar pembaharuan.
Kebiasaannya adalah makin meningkat usia, makin konservatif corak cenderungnya. Lantas, perlunya musyawarah yang dinamik antara keberanian junior dengan pengalaman senior.
Gandingan ini untuk memupuk budaya merujuk berteraskan nilai-nilai etika seperti tertera di dalam lima prinsip Rukun Negara, terutamanya bahagian huraian mukadimahnya yang boleh disepakati segenap usia. Ini akan menghasilkan lebih ramai bakat berkaliber, kompeten serta punyai sarwapandang berintegriti agar saling vibrant dan relevan.
Untuk isu ini, mengetengahkan potensi baharu tampil meneraju pertubuhan, menggilap keyakinan anak muda dan mencambahkan lagi sidang libat urus menggunakan platform inovatif harus dibuat dengan kesungguhan terutama pada medan politik dan peluang ekonomi.
Reaksi solusi awam
Ramai pengundi merasa marah apabila mandat PRU14 seolah dipersenda dan lebih ramai kecewa dengan prestasi hambar beberapa menteri dan teknokrat lantikan khas.
Ternyata, tujuh tawaran ‘talian hayat’ terdesak oleh Perdana Menteri ke-8 mendapat penolakan tegas berbanding agihan habuan pangkat dan pembaziran dana yang biasa berlaku di bawah kelolaan 17 bulan PN.
Kegagalan kerajaan lalu dalam mendepani permasalahan rakyat jelas terpampang dengan komentar tajam di media sosial, terbatasnya infrastruktur kesihatan yang membawa kepada #HartalDoktorKontrak, kempen bantuan kecemasan #BenderaPutih oleh rakyat sendiri, dan protes jalanan #Lawan oleh anak muda yang muak dengan perbalahan peringkat elit.
Keruncingan itu membuahkan gerakan-gerakan ‘organik’ dari pelbagai partisipasi organisasi sivil, pemegang taruh dan badan pemikir dalam menawar khidmat bakti mahupun cadangan secara bebas dan ‘merdeka’ dari pemerintah.
Keterbukaan dialog untuk berkolaborasi demi kepentingan semua merupakan suatu pengajaran penting untuk diberi perhatian memandangkan ia telah memberi impak melalui mobilisasi aktivis akar umbi.
Advokasi ini sedikit sebanyak memberi sisi optimis untuk mengubat luka-luka persengketaan kaum atau keperitan kelas terbanyak. Ia juga indikator bahawa sektor sukarelawan atau non-profit di Malaysia terus berkembang mekar selari dengan proses kematangan demokrasi. Justeru, fokus utama ialah menyusun semula peranan kepimpinan berkualiti agar bangkit untuk menggariskan guiding ideas baharu buat negara.
Untuk hal ini, menyemai minat kepada agenda pembentukan bangsa Malaysia haruslah diisi dengan rangkaan strategi yang memahami trend setempat dan dikemukakan dimensi naratif yang setepatnya dengan tuntutan zaman.
Kita ingin kepada bangsa Malaysia kembali berdaya saing dan dihormati kemampuannya. Kita mahu agar bangsa Malaysia punyai sistem utuh dan diyakini adil bagi segenap rakyat. Kita impi akan bangsa Malaysia yang inklusif dan disepakati demi masa hadapan lebih baik.
Nyalakan obor perpaduan sebegitulah yang selayaknya bagi memaknai erti sebuah kemerdekaan.
* Halmie Azrie merupakan seorang eksekutif penyelidikan di IDEAS dan juga ahli perwakilan di Dewan Muda Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca