SHAH ALAM - Bertepatan tema sambutan Hari Merdeka ke-64, Malaysia Prihatin, ahli politik perlu membuktikan kesungguhan dan keprihatinan dalam usaha mengembalikan kesejahteraan rakyat dan negara. Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bertepatan tema sambutan Hari Merdeka ke-64, Malaysia Prihatin, ahli politik perlu membuktikan kesungguhan dan keprihatinan dalam usaha mengembalikan kesejahteraan rakyat dan negara.

Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pusat Pengajian Kerajaan Kolej Undang-undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berpandangan, keprihatinan ahli politik boleh diterjemahkan dalam bentuk kerjasama rentas sempadan antara parti politik sedia ada.

"Ini waktu paling ideal untuk setiap ahli politik membuktikan keprihatinan terhadap rakyat dan negara dengan mengurangkan tekanan dan polemik politik antara sesama kepimpinan sama ada kerajaan atau pembangkang," ujar Marthada kepada Sinar Premium.

Katanya lagi, ahli politik perlu membuktikan mereka mampu untuk mengenepikan sebarang bentuk kepentingan kepartian atau peribadi serta sebaliknya berusaha ke arah menangani krisis kesihatan dan ekonomi yang membebankan rakyat.

"Selari dengan seruan Yang di-Pertuan Agong yang mahukan perbalahan politik dihentikan, ahli politik perlu mengenepikan sebarang bentuk kepentingan kepartian atau peribadi.

"Fokus utama yang perlu diberi perhatian oleh bukan sahaja kepimpinan negara yang baharu tetapi juga semua wakil politik yang dipilih rakyat adalah bagaimana untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi yang masih berlarutan.

"Tunjukkan semangat kerja berpasukan antara semua ahli politik bagi membuktikan rakyat adalah keutamaan. Ini masa untuk memenangi kembali hati rakyat," tegas beliau.

Kematangan dalam berpolitik dan keazaman melaksanakan amanah tugas dengan baik pastinya akan lebih dihargai oleh rakyat.

"Jangan hanya sekadar bercakap atau retorik semata-mata sebaliknya 'walk the talk'.

"Semua ahli politik harus merdeka dengan jiwa besar bagi mencari satu solusi ke arah mengembalikan kesejahteraan hidup rakyat," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca