MELAKA - Beberapa madrasah tahfiz swasta di negeri ini turut terkesan dan terpaksa mengambil tindakan penutupan apabila tidak dapat menampung kos pengoperasian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Timbalan Pengerusi... Klik di sini untuk terus membaca

MELAKA - Beberapa madrasah tahfiz swasta di negeri ini turut terkesan dan terpaksa mengambil tindakan penutupan apabila tidak dapat menampung kos pengoperasian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Melaka (PINTA Melaka), Amirul Fadzly Jamil berkata, berdasarkan maklumat yang diterima setakat Ogos lalu, tiga pusat tahfiz di daerah Alor Gajah dan dua di daerah Melaka Tengah terpaksa ditutup kerana tidak dapat bertahan akibat kekangan kewangan.

Menurutnya, kira-kira 70 hingga 80 peratus sumber kewangan utama adalah yuran pelajar tahfiz manakala 20 hingga 30 peratus hasil infak sama ada orang ramai mahupun orang perseorangan.

Katanya, terdapat madrasah masih dalam proses untuk berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) namun kerana masalah pertukaran status tanah dan juga keselamatan menyebabkan pendaftaran itu tertangguh.

"Setakat Ogos, tak sampai sepuluh madrasah yang terpaksa ditutup sepenuhnya namun apa yang membimbangkan jumlah itu mungkin akan meningkat sekiranya institusi itu masih tidak dibenarkan beroperasi.

"Kerana tiada sumber kewangan yang stabil, maka ada tenaga pengajar terpaksa ikhtiar sendiri termasuk menjadi penghantar makanan dan pemandu e-hailing untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Amirul Fadzly berkata, lebih membimbangkan pembelajaran secara dalam talian yang dilaksanakan hanya 20 peratus berkesan.

Menurutnya, terdapat juga pelajar hilang minat untuk belajar tahfiz kerana telah lama tidak membaca al-Quran dan sebagainya selain ketidakselesaan ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Kita juga terima rungutan ibu bapa apabila anak-anak yang PdPR punya adik-beradik ramai kerana tidak semua pelajar tahfiz berkemampuan,” katanya.

Amirul Fadzly berkata, pihaknya merayu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Ketua Menteri dan MAIM agar membenarkan madrasah tahfiz di negeri ini beroperasi semula dengan pematuhan SOP yang ketat demi kelangsungan tenaga pengajar serta kewangan institusi itu.

Bantuan prihatin

Sementara itu di Kuantan, Kerajaan negeri Pahang membantu guru maahad tahfiz dan pondok di negeri ini melalui pemberian Bantuan Prihatin Pahang (BPP).

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bantuan itu diperkenalkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi membantu rakyat negeri ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, punca pendapatan semua pihak termasuk maahad tahfiz dan pondok persendirian terjejas memandangkan ketika ini mereka tidak dibenarkan beroperasi secara bersemuka.

"Kebanyakan tenaga pengajar di sekolah pondok dan tahfiz persendirian mengharapkan sesi belajar berjalan seperti biasa untuk mendapat elaun, jadi bila tidak dapat beroperasi, mereka tidak ada sumber pendapatan,” katanya.

Syed Ibrahim berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai penutupan maahad tahfiz dan pondok setakat ini.

Sebaliknya, Syed Ibrahim berkata, kebanyakan maahad tahfiz dan pondok di Pahang tidak dibenarkan beroperasi disebabkan masalah Covid-19 bukannya akibat krisis kewangan.

"Kita perlu ingat bahawa kebanyakan sekolah pondok atau tahfiz adalah milik individu dan bukanlah diuruskan kerajaan Pahang, jadi kalau mereka tidak mampu dari segi kewangan, kita tidak boleh memberikan bantuan.

"Tapi kalau mereka (pemilik sekolah pondok dan tahfiz) berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), jadi mudahlah untuk kita pantau operasi mereka,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca