ALOR SETAR - Bantuan sama rata perlu diberikan kepada maahad tahfiz sama ada berdaftar mahupun tidak berdaftar yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di Kedah. Mudir Maahad Tahfiz al-Quran dan Hadis Imam Al Jahzari, Mohd Naim Abd Razak... Klik di sini untuk terus membaca

ALOR SETAR - Bantuan sama rata perlu diberikan kepada maahad tahfiz sama ada berdaftar mahupun tidak berdaftar yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di Kedah.

Mudir Maahad Tahfiz al-Quran dan Hadis Imam Al Jahzari, Mohd Naim Abd Razak berkata, banyak pusat tahfiz dikhuatiri terjejas semenjak pandemik Covid-19 melanda negara.

"Sehingga kini, tiga maahad tahfiz milik rakan saya telah ditutup akibat Covid-19.

"Pihak saya juga tidak terkecuali terjejas memandangkan kini pihak pengurusan telah kekurangan wang simpanan maahad untuk bayar gaji, bil utiliti dan kos pengurusan lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Naim berkata, kebanyakan pusat tahfiz termasuklah maahad tahfiz kendaliannya mengurangkan yuran pengajian pelajar kerana prihatin dengan keadaan ibu bapa ketika pandemik.

Mohd Naim

"Sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) maahad tahfiz tidak sama dengan sekolah biasa, yang mana sewaktu musim PdPR ini, kita memang mengurangkan jumlah bayaran kerana mengambil kira faktor tertentu.

"Sebagai contohnya, Maahad Tahfiz al-Quran dan Hadis Imam Al Jahzari, yuran kini dikurangkan sebanyak 65 peratus kepada sekitar RM70 sebulan sahaja dan kita bergantung kepada yuran ini untuk meneruskan operasi,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Naim berkata, pihaknya bernasib baik apabila menerima bantuan dan peruntukan daripada kerajaan untuk meneruskan kelangsungan pusat pengajian itu.

"Dengan peruntukan diberikan, ia sedikit sebanyak mengurangkan kesulitan dialami ketika musim Covid-19,” katanya.

Menurutnya, nasib maahad tahfiz tidak berdaftar dikhuatiri lebih ‘parah’ memandangkan tidak menerima peruntukan daripada mana-mana pihak.

"Secara peribadi, saya berharap maahad tahfiz tidak berdaftar tidak dianaktirikan kerana memiliki pelajar yang memerlukan bantuan dan mereka bukannya enggan mendaftar tapi hanya tidak memenuhi kriteria tertentu yang ditetapkan,” katanya.

Mohd Naim bersama sebahagian pelajar maahad tahfiz itu.

Bantuan perseorangan

Sementara itu di Kluang, sumbangan orang perseorangan yang masih diterima membantu Madrasah Al-Mukarromah Manbaul Quran di Simpang Renggam di sini meneruskan operasi dengan mendepani cabaran pandemik Covid-19 ketika ini.

Pengetua Madrasah Al-Mukarromah Manbaul Quran, Aminudin Mastor Mustafa berkata, biarpun jumlah sumbangan berkurangan berbanding sebelum negara dilanda Covid-19, namun ia amat membantu terutama untuk membayar gaji 18 tenaga pengajar di madrasah.

"Sumbangan daripada orang perseorangan termasuk dari luar Johor seperti Selangor dan Kuala Lumpur walaupun jumlahnya berkurangan tetap ada untuk bantu madrasah.

"Orang ramai dapat peroleh maklumat tentang madrasah di Facebook. Terima kasih kepada penyumbang yang amat membantu madrasah,” katanya kepada Sinar Harian.

Madrasah Al-Mukarromah Manbaul Quran di Simpang Renggam Kluang.

Menurut Aminudin, pihak pengurusan memahami kesusahan dihadapi ibu bapa dan penjaga untuk melunaskan bayaran yuran bulanan yang ditetapkan kesan daripada pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Sekiranya ada ibu bapa atau penjaga tidak mampu membayar, pihak madrasah tidak pernah menyekat pelajar berkenaan untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar kerajaan negeri dan pusat dapat menyalurkan bantuan yang bersesuaian memandangkan sesi persekolahan bersemuka dijangka dilakukan pada Oktober depan.

Klik di sini untuk terus membaca