SHAH ALAM - Biarpun dinafikan peluang mempertahankan pingat emas di pentas Paralimpik Tokyo 2020, jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkifli perlu diberikan penghargaan.
Ini kerana menurut ratu pecut negara yang juga Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Mumtaz Jaafar, Ziyad telah membuktikan dirinya paling terbaik di mata dunia.
Bahkan katanya, Ziyad telah memecahkan dua kali rekod dunia dan memastikan pingat emas buat negara sebelum dinafikan haknya.
"Saya rasa dia patutnya jangan terlalu sedih dengan apa yang berlaku. Dunia sudah nampak dia buat yang sangat baik. Saya ucapkan tahniah sebab buat rekod baharu walaupun tidak dicatat.
"Kita perlu bagi penghargaan kepadanya. Dia buat rekod baharu dan merangkul pingat emas walaupun kemudiannya dinafikan,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.
Olahraga Para Dunia membuat keputusan itu adalah berdasarkan kepada Peraturan 5.5 Olahraga Para Dunia - 'Gagal melaporkan diri ke Call Room' yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir ke 'Call Room' pada waktu yang sesuai seperti yang ditetapkan dalam jadual Call Room, keputusan yang akan ditunjukkan adalah DNS (tidak bermula).
Berdasarkan peraturan ini, atlet dibenarkan untuk bertanding di bawah status protes ketika pengadil mempertimbangkan semua bukti mengapa atlet terlambat ke Call Room.
Difahamkan, Ziyad lewat dalam tempoh dua hingga lima minit.
Pembatalan penyertaan Ziyad itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval yang sebelum ini menduduki tempat kedua, meraih pingat emas dengan catatan rekod baharu dunia, 17.34m.
Rakan senegaranya pula, Oleksandr Yarovyi meraih pingat perak selepas melakukan balingan terbaik 17.30m pada percubaan ketiga.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Khamis berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan pemberian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kepada Ziyad.
Meskipun kemenangan atlet itu dinafikan, Reezal Merican berkata, pencapaian Ziyad tercatat dalam rekod dunia.
Berdasarkan imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), pemenang emas Sukan Olimpik atau Paralimpik bakal menerima imbuhan RM1 juta manakala perak RM300,000 dan gangsa RM100,000.
Mereka turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik (SITO) yang diberikan secara bulanan untuk sepanjang hayat dengan pemenang emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000.
Mengulas lanjut Muntaz berkata, Ziyad bukanlah seorang yang mudah berputus asa walaupun beliau dinafikan pingat emas.
Bahkan menurut Mumtaz, Ziyad pasti kembali lebih hebat melalui beberapa kejohanan mendatang.
Mengenali atlet berusia 31 tahun itu, Mumtaz berkata, Ziyad merupakan seorang yang tidak mudah menyalahkan orang lain walaupun dia gagal mencapai matlamatnya.
"Saya pernah melihat dia berlatih. Dia seorang yang memiliki azam yang tinggi. Dia akan cuba sedaya mungkin untuk mencapai matlamat yang disasarkan.
"Ziyad juga seorang yang ringkas. Ketika di Sukan Sea Manila 2019, Ziyad terlepas untuk merangkul pingat emas. Pun begitu dia tidak merintih sebab kalah.
"Dia juga tidak mahu menyalahkan orang lain dan mencipta alasan. Dia hanya menyatakan, dia sudah buat yang terbaik,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca