SHAH ALAM - Jutaan rakyat Malaysia mendapat khabar gembira hari ini apabila kerajaan mengumumkan harga borong dan runcit maksimum Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 masing-masing dikawal pada RM16.00 dan RM19.90. Kementerian... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jutaan rakyat Malaysia mendapat khabar gembira hari ini apabila kerajaan mengumumkan harga borong dan runcit maksimum Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 masing-masing dikawal pada RM16.00 dan RM19.90.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan harga siling itu akan berkuat kuasa Ahad ini, 5 September 2021.

Dengan harga serendah RM19.90 ia dijangka memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Ini kerana harga kit ujian kendiri yang dijual di pasaran sebelum ini ialah sekitar RM35 hingga RM39.90.

Bagaimanapun, harga mencecah RM40 itu mendapat rungutan ramai rakyat kerana disifatkan masih terlalu mahal dan tidak mampu dibeli golongan kurang berkemampuan.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad sendiri sebelum ini mengakui menerima banyak rungutan serta desakan banyak pihak yang menyifatkan harga RM35 hingga RM39.90 adalah terlalu mahal.

Penetapan harga siling kit ujian Covid-19 itu seiring dengan penetapan harga siling pelitup muka jenis tiga lapisan yang ditetapkan RM1 sebelum diturunkan kepada 70 sen seunit pada hujung tahun lalu.

Dalam pada itu, harga terbaru kit ujian serendah RM19.90 juga dijangka memberi kesan kepada banyak hospital dan klinik swasta yang sebelum ini mengenakan caj ujian RTK dan ujian saringan tindak balas berantai polimerase (RT-PCR) ratusan ringgit.

Secara purata kebanyakan hospital dan klinik swasta mengenakan caj ujian RTK antara RM80 hingga RM150, manakala ujian PCR antara RM150 hingga RM300.

Seorang pekerja swasta di Cyberjaya, Faris Mohd Yusof berkata, beliau yang positif Covid-19 pada Julai lalu menjalani ujian PCR di sebuah klinik swasta yang dicadangkan menerusi aplikasi Selangkah.

"Saya ingat bayarannya lebih murah. Tapi untuk ujian PCR saya perlu membayar RM260, manakala rakan saya yang jalani ujian RTK perlu membayar RM150.

"Dengan kit ujian sendiri ini, sudah tentu lebih murah dan mudah dengan harga RM19.90. Dengan harga tersebut saya boleh melakukan 13 kali ujian sendiri berbanding membayar RM260," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca