DI Semenanjung Malaysia ada beberapa kawasan atau daerah yang sebahagian besar penduduknya terutama di desa-desa terdiri daripada keturunan penghijrah atau pendatang dari Tanah Jawa, Indonesia.
Daerah-daerah ini ialah Bagan Datuk di Perak, daerah-daerah Kuala Langat, Klang, Tanjung Karang dan Sabak Bernam di Selangor dan daerah-daerah Muar, Batu Pahat dan Pontian di Johor.
Profesor Dr Asmah Omar mantan Pengarah Pusat Bahasa Universiti Malaya lepasan dari Universitas Indonesia menamakan daerah-daerah ini sebagai "koloni Jawa”.
Tulisan ini memfokuskan kepada daerah-daerah ‘jajahan Jawa” di Johor iaitu Batu Pahat, Muar dan Pontian yang terletak di bahagian barat Johor yang kebanyakan kampung-kampung Jawanya diawali dengan sebutan ‘parit’.
Pada awal tahun 1880-an ramai orang Jawa datang berhijrah ke daerah Muar. Pada awal tahun 1890 terdapat lebih 10,000 orang Jawa mendiami kawasan ini berbanding kira-kira 15,000 orang Jawa di seluruh negeri Johor.
Pihak berkuasa Inggeris yang memerintah Negeri-Negeri Selat juga menyokong dan menggalakkan kemasukan orang-orang Jawa ini. Di daerah Muar, selain kawasan Parit Jawa sebelumnya dikenali sebagai Padang (bahasa Jawa bererti terang benderang).
Daerah Batu Pahat adalah daerah yang paling utama dan paling ramai didiami oleh orang-orang Jawa. Menurut banci penduduk tahun 1970 penduduk Batu Pahat ini orang Melayunya 104,050 orang, kelahiran Indonesia pula yang sebahagian besarnya orang-orang Jawa seramai 47,860 orang.
Dari segi Perlembagaan Malaysia orang-orang Jawa ini diiktiraf sebagai ‘Melayu’ kerana beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu di samping tradisi Jawa.
Ini mendorong Datuk Abdul Jalal Abu Bakar, wakil rakyat dari kawasan ini pada tahun 1978 menyarankan agar daerah ini dijadikan pusat pengembangan kebudayaan Jawa di Malaysia seperti mana Negeri Sembilan diiktiraf sebagai pusat kebudayaan Minang di Malaysia kerana kebanyakan penduduknya adalah berketurunan dari Minangkabau, Sumatera.
Daerah Batu Pahat ini dibuka oleh Datuk Muhamad Salleh Perang, Datuk Bentara Luar Johor pada penghujung abad ke-19.
Daerah-daerah pedalamannya pula dibuka sekitar tahun 1910-an dengan usaha penghijrah-penghijrah dari Indonesia khususnya Jawa bagi dijadikan kampung halaman dan kawasan pertanian seperti getah dan kelapa.
Di Batu Pahat selain daerah kecil Parit Raja (mengambil sempena nama Raja Johor ketika itu iaitu Sultan Ibrahim yang datang melawat ke kawasan ini) dan Parit Semarang terdapat beratus-ratus lagi kampung Jawa yang diawali dengan sebutan ‘parit’.
Di Parit Raja juga terdapat beberapa kilang makanan ringan Jawa yang mendapat pasaran meluas terutama menjelang hari raya.
Di utara Batu Pahat adalah daerah Muar yang juga menjadi tumpuan orang- orang Jawa.
Di Muar, selain dari Parit Jawa dibuka sekitar 1870) dan Parit Ponorogo terdapat beratus-ratus lagi kampung Jawa yang kebanyakannya diawali dengan sebutan ‘parit’.
Di sebelah selatan Batu Pahat ialah ialah daerah Pontian (sebelumnya dikenali sebagai daerah Kukup). Bagi daerah Pontian ramainya orang-orang Jawa mendiami daerah ini sejak kira-kira 100 tahun lalu adalah disebabkan adanya rancangan pembukaan tanah secara besar-besaran pada tahun 1878 oleh Syed Muhamad Ahmad Alsagoff atau Nongchik, seorang ahli perniagaan Arab dari Singapura.
Beberapa dekad sebelumnya beberapa kawasan pantai barat daerah ini telah pun diteroka dan dibuka oleh penghijrah- penghijrah Melayu dan Bugis yang datang dari kawasan persekitaran iaitu Kepulauan Riau.
Mereka meneroka dan membuka penempatan lembah-lembah sungai kawasan ini seperti Sungai Penerok, Sungai Rambah, Sungai Pulai, Sungai Serkat, Sungai Belukang, Sungai Durian, Sungai Cengkih, Sungai Karang, Sungai Burung, Sungai Dinar dan lain-lain lagi.
Syed Muhamad Alsagoff yang mendapat tanah konsesi Kukup dari sahabat karibnya Sultan Abu Bakar Johor telah mengambil pekerja-pekerja Jawa dari Tanah Jawa untuk meneroka dan membuka tanah di kawasan barat daya Johor ini bagi dimajukan sebagai kawasan pertanian dengan tanaman getah, sagu, kelapa, kopi dan lain-lainnya dengan keluasan tanah kira-kira 5 ekar seorang.Hasil-hasil pertanian ini telah dibawa ke Singapura melalui jalan laut seterusnya dieksport ke luar negeri.
Syed Muhamad telah menyediakan tempat tinggal kepada para pekerja ini termasuk sekolah bagi memberi pendidikan kepada anak-anak buruh Jawa ini. Mereka juga digalakkan pergi haji. Walau bagaimanapun hampir keseluruhan pekerja-pekerja Jawa ini tidak kembali semula ke Tanah Jawa.
Sebaliknya mereka mengajak saudara mara dan kenalan di Jawa untuk datang berhijrah ke daerah Kukup (kemudian dikenali sebagai daerah Pontian) dan ke daerah Batu Pahat dan Muar hingga wujudnya berpuluh-puluh kampung Jawa di daerah-daerah ini.
Turut bersama dalam penghijrahan ini ialah mereka yang berbakat dan berkebolehan dalam bidang dukun dan perubatan, keagamaan, kemasyarakatan, kesenian dan berbagai lagi.
Kalau peneroka awal Melayu dan Bugis menumpukan penerokaan tanah di lembah-lembah ‘sungai’, peneroka Jawa pula bertumpu di kawasan tanah rendah dan membuka ‘parit’ sama ada parit besar mahupun parit sempadan atau perbatasan kebun masing-masing bagi mengering dan mengalirkan air menuju ke parit besar seterusnya ke sungai dan laut.
Panjang parit besar ini kira-kira 3 atau 4 kilometer bergantung kepada ramainya peneroka.
Di sebelah parit ini dibina pula jalan raya kampung.
Jalan raya ini yang dahulunya tanah gambut atau tanah liat tidak boleh dilalui oleh kenderaan, namun kini jalan-jalan ini telah dilebar, ditar dan boleh dilalui kenderaan berat seperti kereta dan lori.
Mereka mendirikan rumah di hadapan kebun masing-masing seterusnya di bahagian belakang ditanami getah (kini diubah dengan tanaman kelapa sawit )seterusnya menamakan kampung yang mereka teroka dan buka ini dengan awalan ‘parit’.
Selain menamakan kampung mereka berdasarkan sejarah dan keadaan kampung seperti panjang, pendek, bulat dan seumpamanya hingga wujudlah kampung Parit Panjang, Parit Bulat dan lain-lain lagi.
Mereka tidak lupa pula kepada negeri dan daerah asal kedatangan mereka semasa di Jawa. Kalau kebanyakan mereka berasal dari daerah Kudus mereka menamakan kampung mereka ini Parit Kudus. Kalau kebanyakan mereka berasal dari Semarang, mereka menamakannya Kampung Parit Semarang. Demikian seterusnya.
Orang-orang Jawa juga tidak lupa kepada ketua-ketua peneroka yang mengetuai pembukaan tanah mereka.
Dengan itu mereka mengabadikannya sebagai nama kampung mereka. Maka terbentuklah Kampung Parit Mustar, Parit Madirono, Parit Wagiman, Parit Karjo, Parit Ismail, Parit Saniman, Parit Markom dan sebagainya.
Lebih dari 100 buah kampung Jawa wujud di Pontian. Kerana banyaknya perkataan parit pada nama kampung ia jadi pengenalan atau identiti bahawa kampung-kampung yang diawali dengan perkataan ‘parit’ ini adalah kampung Jawa.
Sebenarnya tidaklah begitu. Ada juga kampung-kampung bukan Jawa yang dinamakan dengan awalan parit seperti Parit Makuasang, Parit Betak, Parit Wak Jabir dan beberapa lagi.
Oleh kerana kebanyakan kampung telah diawali dengan panggilan parit maka kampung-kampung baru pun diawali dengan sebutan ‘parit’.
* Sahgidon Dirhan ialah bekas guru dan Penyelidik Sejarah Yayasan Warisan Johor.
Klik di sini untuk terus membaca