ARTIFICIAL Intellegent atau kecerdasan buatan (AI) kini memasuki fasa yang sangat menakjubkan. Ia rentetan kejayaan Turki yang berjaya mendaya-cipta jet pejuang tanpa pemandu atau unmanned fighter jet (UFJ).
UFJ tersebut adalah antara 34 Kenderaan Udara Tanpa Pemandu atau Unmanned Aerial Vehicle (UAV) buatan Turki yang akan diterbangkan pada tahun 2023.
Kebelakangan ini penulis mendapati persaingan teknologi UAV dan Kenderaan Bawah Air Autonomi atau Autonomous Underwater Vehicle (AUV) sangat sengit.
Negara maju kini mula menjurus kepada teknologi Kenderaan Udara Tempur Tanpa Pemandu atau Unmanned Combat Aerial Vehicle (UCAV) dan Kenderaan Tempur Bawah Air Autonomi atau Autonomous Combat Underwater Vehicle (ACUV).
Penulis mengikuti revolusi teknologi dan kejuruteraan kenderaan udara serta laut kerana sedang menyelidik dan mereka bentuk kenderaan ‘Bot Terbang’ atau Flying Boat.Teknologi bot terbang ini kombinasi teknologi bot berkelajuan tinggi, hoverkraf, kapal terbang dan wing-in-ground (WIG).
Penulis akan mengaplikasikan aspek AI dalam ciptaan tersebut.
Namun apabila berita tentang UFJ tersebar luas, penulis mendapati ia berbeza dengan UAV jenis lain kerana ia menggunakan AI untuk melakukan serangan strategik, sokongan udara dekat atau close air support (CAS), serangan peluru berpandu atau missile offensive (MO), penindasan pertahanan udara musuh atau suppresion of enemy air defences (SEAD) dan pemusnahan pertahanan udara musuh atau destruction of enemy air defences (DEAD).
Pesawat pejuang tanpa juruterbang dengan kod TB3 UCAV ciptaan jurutera Turki itu mempunyai jarak penglihatan rendah dan mampu terbang secara agresif.
Ia pernah diuji selama 24 jam dengan ketinggian 27,030 kaki daripada paras laut dengan keseluruhan berat maksimum 5,500 kilogram pada kelajuan melebihi 800 kilometer sejam (km/j).
Nisbah kelajuan badan pesawat berbanding dengan kelajuan bunyi dalam medium sekeliling adalah 0.64 atau ‘March 0.64’.
Dilaporkan kos pembiayaan, operasi dan penyelenggaraan jauh lebih rendah daripada pesawat F-35.
Teknologi UAVD sebenarnya bukan perkara baharu. Negara maju telah menggunakan dron dalam pertempuran sejak Perang Dunia II. Teknologi dron sangat penting dalam industri pejuang udara untuk misi risikan, pengawasan udara dan pengintaian atau intelligence, surveillance and reconnaissance (ISR).
Ia juga penting dalam strategik ketenteraan atau UCAV. UCAV ialah dron tempur membawa senjata pejuang seperti roket, peluru berpandu, kereta kebal dan bom serta peralatan rahsia untuk serangan udara.
Penulis pasti suatu hari nanti Turki akan melahirkan XQ-58 Valkyrie yang dianggap dron tempur tercanggih ketika ini.
Sebenarnya aspek AI dan hubung kaitnya dalam ketenteraan telah dinyatakan dalam surah al-Anfaal [8:60] bermaksud:
"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka (dengan segala) kekuatan apa sahaja kamu sanggup dan daripada kuda-kuda ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh ALLAH, musuhmu dan orang-orang selain mereka kamu tidak mengetahuinya sedangkan ALLAH mengetahuinya.”
Sehubungan itu, Malaysia perlu mengambil contoh kejayaan Turkish Aerospace Industries (TAI). Ketika ini, rasanya masih ramai tertanya-tanya status pembangunan dan penggunaan teknologi UAV dan AUV di Malaysia? Difahamkan, Amerika, Israel, China, Iran, Rusia dan Turki sedang berada dalam fasa besar-besaran untuk industri AUV serta UAV.
Sekalipun perang bukannya jawapan terbaik bagi keamanan, namun kebanyakan negara maju mempunyai alasan kukuh untuk terus membangun dan memajukan inovasi ciptaan serta kelebihan teknologi ketenteraan mereka sendiri.
Malaysia juga memperuntukkan belanjawan yang besar untuk ketenteraan bagi menjaga keamanan di sempadan negara termasuk di perairan Laut China Selatan.
Penulis percaya ada keperluan untuk industri kecil dan sederhana (IKS) serta kepakaran dalam negara sedia ada bagi meningkatkan keupayaan industri ini secara domestik kepada kompleks perindustrian ketenteraan dan keselamatan lebih besar kerana Malaysia dikelilingi 90 peratus laut dalam.
Kesimpulannya, Malaysia harus mengambil pendekatan positif dengan kejayaan terbaharu Turki dan perlu meminimumkan belanjawan mengimport teknologi ketenteraan.
Negara perlu mengerah kelompok jurutera tertentu untuk mengangkat martabat Malaysia sebagai pembangun dan pengeluar teknologi serta inovasi ketenteraan yang canggih dan terkini di rantau Asia.
* Profesor Madya Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Klik di sini untuk terus membaca