SEKUMPULAN haiwan gergasi daripada keluarga tikus Amerika Selatan menceroboh sebuah kawasan perumahan jutawan di Argentina menyebabkan timbulnya persoalan tentang isu-isu alam sekitar dan dasar sosial di negara itu. Tikus-tikus gergasi itu... Klik di sini untuk terus membaca

SEKUMPULAN haiwan gergasi daripada keluarga tikus Amerika Selatan menceroboh sebuah kawasan perumahan jutawan di Argentina menyebabkan timbulnya persoalan tentang isu-isu alam sekitar dan dasar sosial di negara itu.

Tikus-tikus gergasi itu didapati menceroboh kawasan seluas 1,600 hektar dikenali sebagai Nordelta yang menempatkan kompleks perbandaran mewah yag dibina di pinggir ibu kota Buenos Aires.

Ia merupakan idea daripada seorang anak jati Buenos Aires yang juga pemaju hartanah yang kaya raya dan tidak suka untuk menonjolkan diri iaitu Eduardo Costantini, 74.

Nordelta di Tigre, Buenos Aires dibina pada tahun 1999 dan merupakan projek hartanah terbesar di Argentina selain dibina untuk golongan kaya bagi melarikan diri daripada kesibukan ibu kota.

Ia dibina di atas tanah paya di Sungai Parana yang merupakan habitat asal tikus gergasi itu.

Kira-kira 30,000 penduduk mendiami Nordelta yang dilengkapi dengan kemudahan seperti pusat perubatan, pusat beli-belah, sekolah-sekolah dan kawasan perumahan serta tasik buatan manusia.

Kawasan itu dibina berdasarkan kepada bandar terapung di Venice, Itali dan Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) manakala rumah-rumah bandar atau 'town house' dibina di atas pulau-pulau buatan manusia yang dikelilingi oleh lagun-lagun.

Namun, penduduk di kawasan perbandaran itu mengadu tentang kehadiran banyak haiwan gergasi daripada kumpulan tikus yang dikenali sebagai capybara sejak sebuah klinik dibina di sebuah kawasan tanah di Nordelta.

Penghuni di kawasan perumahan kaya itu turut mengadu bahawa tikus besar itu merosakkan halaman rumah, menggigit haiwan peliharaan dan mencetuskan masalah kesesakan jalan raya.

Kawasan perumahan mewah yang dibina di Tigre di atas tanah paya di Sungai Parana berhampiran Buenos Aires. - Foto AFP

Haiwan itu merupakan spesies saiz paling besar dalam keluarga tikus di dunia dengan berat boleh mencecah sehingga 80 kilogram dan panjang sehingga 1.35 meter serta hidup dalam berkumpulan.

Tikus besar itu mempunyai jangka hayat antara lapan hingga 10 tahun setiap tahun manakala haiwan betina capybara boleh melahirkan sehingga enam ekor dalam tempoh setahun.

Anak binatang tersebut juga sudah mempunyai gigi ketika dilahirkan.

Haiwan itu juga menjadi buruan puma, harimau bintang, musang, kucing liar dan anjing liar untuk dijadikan makanan manakala ia boleh memakan rumput sehingga 2.7 dan 3 kilogram dengan rumpai turut menjadi makanan binatang tersebut.

Berikutan pencerobohan haiwan yang tidak diundang itu, Pengarah Yayasan Mewujudkan Semula Kehidupan Liar, Sebastian di Martino berkata kepada AFP bahawa kawasan Nordelta kaya dengan tanah paya dan ia tidak sepatutnya disentuh dengan projek pembangunan.

Menurutnya, yang juga ahli biologi berkata, kerosakan telah berlaku di kawasan tersebut dan penduduk perlu hidup bersama dengan tikus gergasi itu.

Beliau berkata, pembiakan haiwan itu akan merosakkan alam sekitar tetapi manusia juga perlu dipersalahkan kerana ia turut memusnahkan alam sekitar.

Kenyataan itu ada benarnya kerana haiwan itu dianggap sebagai binatang perosak kerana kadangkala ia memakan buah tembikai, bijian dan labu.

Walaupun haiwan itu juga dikategorikan sebagai herbivor, ia juga memakan najisnya sendiri.

Berikutan pencerobohan tikus gergasi itu di kawasan perumahan kaya di Nordelta, pihak pembangkang menjadikan isu tersebut sebagi isu politik apabila membuat sindiran bahawa ia menunjukkan binatang tersebut ialah wira untuk kelas pekerja.

Bagaimanapun, tidak semua penduduk di kawasan itu yang menganggap haiwan itu mengganggu kehidupan mereka.

Ini adalah kerana ada pemandu-pemandu kenderaan yang merakamkan gambar binatang tersebut dan ia menjadi daya tarikan di kawasan perumahan mewah itu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca