SHAH ALAM - Pelaksanaan pilihan raya semula (recall election) merupakan cadangan yang perlu dilaksanakan bagi menambah baik sistem tadbir urus negara. Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu MPM, Datuk Dr Hasan Mad berkata, pelaksanaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pelaksanaan pilihan raya semula (recall election) merupakan cadangan yang perlu dilaksanakan bagi menambah baik sistem tadbir urus negara.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu MPM, Datuk Dr Hasan Mad berkata, pelaksanaan tersebut mesti dilakukan dengan penggubalan undang-undang anti lompat parti.

"Jadinya apabila ahli Parlimen yang bertindak untuk melompat parti, mereka secara automatik dibatalkan dan perlu dilaksanakan pilihan raya semula.

"Walau bagaimanapun ada satu jenis lompatan yang dibenarkan selagi ia tidak menjejaskan kedudukan kerajaan.

"Seperti ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) nak balik ke UMNO, dalam komponen yang sama (kerajaan) yang itu kita kira lompatan yang sah dan diterima,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, Hasan berkata, lompatan tersebut dibenarkan disebabkan memberi kelonggaran kepada ahli Parlimen untuk memilih pemimpin mana yang lebih sesuai tetapi dalam gagasan yang sama.

Menurutnya, jika ia berlaku dalam komponen yang berbeza seperti kerajaan lompat ke pembangkang itu tidak sah.

"Ini boleh menjejaskan kedudukan parti yang memerintah dan akan menyebabkan goncang.

"Kita tak nak begitu rigid, tidak boleh sama sekali dia melompat sekiranya menjejaskan kedudukan kerajaan yang memerintah.

"Kalau dalam komponen yang sama dan tidak menjejaskan dibenarkan tetapi tertakluk kepada kedua-dua belah parti,” ujarnya.

Jelasnya, pilihan raya semula boleh dilaksanakan dengan sedikit kelonggaran supaya tidak menjejaskan kestabilan politik negara.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pendidikan Ikram Musleh Berhad, Megat Mohamed Amin Mohamed Nor berkata, pelaksanaan pilihan raya semula itu bagi menjaga mandat rakyat yang diberikan kepada semua calon yang bertanding.

Tambahnya, pelaksanaan itu juga dapat menghalang trend lompat parti yang sering dikaitkan dengan isu rasuah.

"Kalau dia melompat ini mesti ada sebab, kita seolah-olah faham ada sebab kenapa dia buat.

"Mana boleh tidak ada apa-apa? Tak akan boleh bertukar fikiran. Rasa macam tak logik,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Megat Mohamed Amin berkata, lompat parti itu bukan sahaja menghancurkan diri sendiri tetapi keluarga, masyarakat dan negara.

"Saya menyokong apa yang dicadangkan (pilihan raya semula) kerana ia langkah pertama untuk memperbaiki sistem pengurusan dan pentadbiran dalam negara,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca