SUDAH lebih empat bulan sesi persekolahan tahun ini ditutup dan dijalankan secara atas talian sepenuhnya atau dikenali juga sebagai Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Bukan sekolah sahaja, bahkan hampir semua program di institusi... Klik di sini untuk terus membaca

SUDAH lebih empat bulan sesi persekolahan tahun ini ditutup dan dijalankan secara atas talian sepenuhnya atau dikenali juga sebagai Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bukan sekolah sahaja, bahkan hampir semua program di institusi pengajian tinggi masih terpaksa melaksanakan pembelajaran jarak jauh.

Sudah mula timbul keresahan dalam kalangan ibu bapa, guru-guru dan pensyarah tentang nasib yang bakal menimpa generasi pelajar ini.

Terdapat banyak kajian antarabangsa yang memberikan takrifan tentang generasi pelajar semasa tempoh pandemik ini sebagai ‘generasi yang hilang’.

Hasil laporan Bank Dunia kini menunjukkan hampir 1.6 bilion pelajar di seluruh dunia terkesan dengan penutupan sekolah dan institusi pengajian tinggi yang menimbulkan kerisauan kualiti generasi berkenaan untuk diwarisi oleh negara.

Usaha mengurangkan kesan kepada generasi itu perlu dimainkan semua pihak dan tidak boleh diserahkan kepada pihak kerajaan, ibu bapa dan pendidik semata-mata.

Masyarakat sekeliling perlu memberikan perhatian terutama para alumni sesebuah institusi tersebut.

Penglibatan alumni yang mempunyai keunikan dan pengalaman berbeza amat penting dalam menyokong serta memberi sumbangan secara sukarela kepada sesebuah institusi bagi mengekalkan dan memperkembangkan pembangunan pelajar.

Dalam situasi sebegini, alumni boleh memainkan peranan sebagai mentor kepada pelajar.

Psikologi pelajar dapat dipulihkan dengan adanya alumni yang berjaya menjadi mentor, sekali gus mampu membangkitkan semangat dan inspirasi untuk terus berjuang serta menuntut ilmu walaupun dalam serba mencabar ketika ini.

Pemulihan semangat melalui kaedah itu bersesuaian kerana pelajar perlu didedahkan dengan kejayaan, semangat dan kekuatan yang sememangnya amat diperlukan oleh golongan berkenaan.

Pengukuhan dalam membantu pihak sekolah dan institusi mengumpul dana memerlukan sokongan serta dokongan kuat daripada alumni.

Tidak semua pelajar mampu mengharungi proses pembelajaran ketika pandemik.

Jadi, inilah waktunya peranan alumni yang berjaya diharapkan dapat membantu dengan menyumbang dana agar pelajar dapat meneruskan pengajian termasuk dalam bentuk wang tunai dan bantuan peranti.

Peranan persatuan alumni tidak terhad kepada hal ehwal dalam kalangan alumni sahaja tetapi lebih penting mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan sahsiah dan modal insan kepada pelajar, sekolah serta masyarakat.

Semoga ‘generasi yang hilang’ ini dapat dibantu dengan peranan berkesan daripada para alumni.

Alumni merupakan aset bernilai yang menjadi sebahagian operasi dan proses pembelajaran serta pengajaran di sesebuah sekolah dan institusi pengajian tinggi, sekali gus menjadi ejen dalam melahirkan kualiti modal insan yang menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan pembangunan ekonomi negara.

* Dr Muhammad Azwan Sulaiman ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat FSPU UiTM Shah Alam dan Presiden Pertubuhan Alumni MRSM YT Besut (ALPM)

Klik di sini untuk terus membaca