SHAH ALAM - Selepas hampir tiga bulan dilaksanakan, kini hanya tinggal negeri-negeri di Lembah Klang, Kedah dan Johor yang masih tersangkut pada Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Negeri-negeri di Lembah Klang itu termasuklah Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Perkembangan terbaru itu berikutan pengumuman kerajaan pada Khamis yang Melaka dan Negeri Sembilan masing-masing akan beralih ke Fasa Dua serta Fasa Tiga (PPN) bermula esok.
PPN diperkenalkan pada pertengahan Jun lalu oleh kerajaan Perikatan Nasional sebagai garis panduan untuk menilai bilakah syarat perintah kawalan pergerakan (PKP) boleh dilonggarkan mengikut negeri.
Tiga nilai ambang akan digunakan sebagai petunjuk awal untuk peralihan fasa dan pelonggaran SOP adalah jumlah jangkitan harian menurun ke bawah 4,000 kes sehari, ICU di paras sederhana dan vaksinasi penuh mencapai 10 peratus penduduk.
Setakat hari Khamis, jumlah kes harian di Lembah Klang adalah sebanyak 4,841 kes, manakala Kedah 2,455 kes dan Johor 2,145 kes.Dalam pada itu, sejak awal Julai lalu beberapa negeri di Malaysia mula beralih.
Setakat ini, Wilayah Persekutuan Labuan walaupun pernah mencatatkan peratusan kes yang tinggi, namun kini paling berjaya apabila menjadi lokasi tunggal berada pada Fasa Empat. Setakat Khamis, Labuan cuma merekodkan lima kes positif.
Tiga negeri lain yang berada di Fasa Tiga ialah Perlis, Sarawak dan terbaru Negeri Sembilan.
Lain-lain negeri masih berada di Fasa Dua termasuklah Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Melaka.
Bagaimanapun, timbul beberapa persoalan apabila negeri-negeri yang sudah diisytiharkan beralih ke fasa lebih selamat dan dianggap negeri 'hijau' kembali mencatatkan kes yang tinggi, malah lebih tinggi daripada negeri berwarna merah.
Sarawak yang sudah beralih ke Fasa Tiga contohnya mencatatkan peningkatan kes sehingga 2,992 kes semalam, manakala Sabah sebanyak 2,329 kes.
Klik di sini untuk terus membaca