SHAH ALAM - Hasrat seorang graduan untuk membawa kereta sendiri ke tempat kerja belum tercapai apabila permohonannya untuk mendapatkan lesen kenderaan tertangguh sejak empat bulan lalu.
Tengku Anis Tengku Hussin, 24, berkata, dia sebelum ini telah membuat tempahan slot bagi memohon lesen kenderaan jenis B2 dan D di institut memandu di Kelantan namun terpaksa menangguhkan latihan memandu buat sementara waktu disebabkan pandemik Covid-19.
"Awalnya saya merancang untuk menyiapkan lesan memandu pada pertengahan tahun ini memandangkan saya bakal bekerja di sebuah syarikat swasta awal tahun depan.
"Tetapi ia tidak kesampaian kerana kes di negeri ini meningkat dengan mendadak menyebabkan beberapa sektor ekonomi termasuk institut memandu terpaksa ditutup.
"Jadi, dengan kes yang masih tinggi di sini saya tidak yakin yang saya boleh mendapatkan lesen kenderaan dalam waktu terdekat,” katanya.
Tengku Anis turut melahirkan kebimbangan sekiranya dia terpaksa menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk keluar bekerja.
Katanya, dia mungkin akan mengeluarkan perbelanjaan yang banyak memandangkan dia bukan dari keluarga yang berkemampuan.
Terpaksa tambah kos perbaharui lesen L
Dalam pada itu, seorang graduan dari universiti tempatan berhasrat untuk memiliki lesen kenderaan bagi membantu meringankan beban bapanya selain memudahkan urusan penghantaran ibunya ke hospital.
Anak bongsu daripada dua beradik, Engku Amalin Aisyah Engku Lah, 25, berkata, ini kerana dia merupakan satu-satunya anak yang tinggal bersama ibu bapa di kampung.
Bagaimanapun katanya, sejak kes harian Covid-19 melonjak tinggi di kawasannya, ia menjejaskan urusan pengambilan lesen kenderaan kerana pusat latihan memandu tidak dapat beroperasi buat sementara waktu.
"Saya telah mengambil lesen memandu pada November tahun lalu namun disebabkan pandemik Covid-19, saya hanya berjaya menyiapkan lesen motosikal sahaja manakala lesen kereta tidak sempat untuk disiapkan.
"Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa mengeluarkan wang yang lebih untuk pembaharuan lesen L jika pusat latihan memandu tidak dibuka semula,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Engku Amalin Aisyah berkata, dengan adanya lesen memandu yang sah, ia secara tidak langsung dapat membantunya melaksanakan sesuatu urusan dengan mudah selain menjimatkan masa dan wang.
"Malah, ia juga merupakan persediaan awal sekiranya berlaku situasi kecemasan. Sebagai contoh, jika terdapat ahli keluarga yang memerlukan bantuan segera dan memerlukan saya untuk memandu,” ujarnya.
Sehubungan itu, dia berpendapat bahawa institut memandu wajar dibuka dalam tempoh pandemik Covid-19 pada masa kini tetapi perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.
"Sebagai contoh, mengehadkan jumlah pelajar dalam satu-satu masa dan sentiasa sanitize kenderaan yang digunakan untuk belajar,” katanya lagi.
Hasrat cari pendapatan sampingan terbantut
Sementara itu, niat seorang anak Felda membantu keluarga dengan mencari pendapatan sampingan tidak kesampaian apabila hasrat untuk mendapatkan lesen memandu tertangguh disebabkan institut memandu masih ditutup.
Mohammad Sharafuddin Mohamad Amin, 27, berkata, permohonan lesen motosikal Kelas B2 menjadi syarat untuk dia memohon sebagai rider di sebuah syarikat penghantaran makanan.
Namun, jelasnya, nasib tidak menyebelahinya apabila dia tidak dapat mengambil lesen tersebut ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan niatnya itu terbantut sehingga sekarang.
"Ini menyebabkan permohonan saya untuk bekerja sebagai rider ditolak kerana syarat utama mesti mempunyai lesen motosikal.
"Kekangan ini juga turut memberi tekanan kepada saya memandangkan saya telah membeli sebuah motosikal untuk mencari rezeki tambahan,” katanya yang berasal dari Gua Musang, Kelantan.
Muhammad Sharafuddin berkata, dalam waktu pandemik seperti ini dia perlukan lebih pendapatan tetapi amat sukar untuk memohon pekerjaan ketika ini kerana peluang kerja amat terhad.
Justeru, dia sangat mengharapkan pekerjaan seperti perkhidmatan penghantaran makanan kerana sektor itu paling rancak beroperasi dan memerlukan pekerja tambahan.
"Sebelum ini, saya cuba memohon pekerjaan di merata-rata tempat, tetapi semuanya gagal. Tambahan pula tiada lesen memandu, peluang untuk dapat kerja makin susah.
"Oleh itu saya amat berharap supaya institut memandu dapat dibuka dengan segera kerana ia adalah satu-satunya peluang yang saya ada untuk memudahkan dapat kerja tambahan ini,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca