DI HARI Kemerdekaan ke-64 dengan pandemik Covid-19 serta kerajaan baharu, tiada banyak diimpikan orang kurang upaya (OKU). Kita menghampiri 2022 yang terus kabur melainkan para pemimpin melupakan politik dan bekerja keras memulihkan ekonomi... Klik di sini untuk terus membaca

DI HARI Kemerdekaan ke-64 dengan pandemik Covid-19 serta kerajaan baharu, tiada banyak diimpikan orang kurang upaya (OKU). Kita menghampiri 2022 yang terus kabur melainkan para pemimpin melupakan politik dan bekerja keras memulihkan ekonomi negara. Kita memerlukan masa dan tempoh panjang. Diharapkan orang muda, generasi baharu yang mempunyai idea untuk bekerjasama dengan kerajaan memberi peluang dengan tidak mengenal bangsa.

Golongan OKU hanya sekadar mengharapkan agar kerajaan mendengar dan mengambil langkah menyegerakan segala tuntutan, itu pun kalau mengambil berat. Pertamanya kita perlukan Jabatan OKU yang dipimpin oleh OKU sendiri seperti di New Zealand untuk menjaga kepentingan OKU. Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), sekitar 15 peratus daripada jumlah populasi sesebuah negara sebenarnya terdiri daripada golongan OKU. OKU bukanlah sekadar minoriti sesebuah negara, maka perincian, ruang dan langkah wajar perlu diambil bagi membolehkan OKU terlibat dalam pelbagai aspek pembangunan negara.

Itulah pentingnya media massa untuk memartabatkan golongan OKU yang terpinggir dari segi infrastruktur dan peluang kerja. OKU rasa dipinggirkan di negara sendiri berikutan kemudahan sedia ada tidak mesra OKU seperti bangunan tiada kemudahan OKU dan hanya terdapat di bandar besar. Di luar bandar infrastruktur masih lama dan kalau ada pun tidak mengikut spesifikasi.

Kemerdekaan tanah air belum lagi milik sepenuhnya OKU seperti dianaktirikan dengan pelbagai kemelut yang dipandang ringan. Misalnya tandas sering dijadikan bilik stor, bilik barang simpanan dan bilik tidur. Jika masuk pun pintunya tidak boleh ditutup atau tiada pintu.

Kita lihat kurangnya maklumat kesedaran tentang OKU dalam media massa. Maklumat perihal OKU dapat mengubah sikap negatif terhadap golongan itu. Terdapat pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mempunyai sikap dan pandangan baik terhadap pelajar OKU yang menjadi rakan sepengajian. Namun tahap pengetahuan pelajar biasa mengenai OKU, pendedahan dan pengalaman dengan OKU adalah rendah. Pihak IPT disyorkan memasukkan pendidikan mengenai OKU dalam kursus pengajian dan penyelidikan di pusat pengajian tinggi. Pengetahuan maklumat dan kesedaran yang disampaikan bermanfaat untuk jangka masa panjang.

Kita berharap pendedahan maklumat dan pengetahuan dapat meningkatkan pencarian dan berlaku perubahan dalam memahami hak OKU dengan positif. Dasar OKU menjadi asas kesaksamaan hak dan peluang kepada golongan itu bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.

OKU merupakan sebahagian daripada masyarakat yang mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan. Pendekatan bersumberkan hak dan juga perlindungan patut digunakan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan golongan itu seluruhnya.

Kita lihat negara maju seperti New Zealand yang lebih berorientasikan kemajuan, namun hak OKU di Malaysia masih berlandaskan kebajikan. Sememangnya kurang adil sebab ramai OKU mempunyai potensi berguna kepada diri dan masyarakat sekeliling.

Paradigma hak OKU dapat dianjak dan ditingkatkan agar berlandaskan pembangunan masyarakat dan kesaksamaan hak dalam segenap aspek kehidupan. Media massa perlu memainkan peranan untuk mempengaruhi masyarakat dengan mengambil kira peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan.Ketiadaan maklumat mengenai OKU menyebabkan masyarakat tidak dapat memenuhi tanggungjawabnya dengan sebaiknya. Media massa perlu mengawal, membentuk dan membantu masyarakat memahami dunia di sekeliling.

Kesedaran yang perlu dipupuk dalam diri masyarakat terhadap OKU sekali gus membantu mereka turut sama menyumbang kepada ekonomi negara, tidak terpinggir dan ketinggalan dalam masyarakat. Kemerdekaan yang dikecapi membawa pelbagai pembangunan, malah mendidik rakyat di negara ini juga saling hormat-menghormati dan tidak memandang rendah kemampuan OKU. Kemerdekaan merupakan seribu rahmat untuk membuktikan OKU juga mampu berjaya sama seperti mereka yang normal.

Walau bagaimanapun, persepsi dan layanan masyarakat terhadap golongan OKU semakin baik berbanding zaman dahulu di mana golongan sepertinya kurang mendapat perhatian. Keamanan yang dinikmati hari ini turut membawa manfaat kepada golongan OKU terutama dari segi kemudahan yang disediakan kerajaan kepada OKU. Oleh itu dengan pandemik, kemelesetan ekonomi dan pelbagai masalah, seorang OKU masih boleh terus berharap ada sinar di terowong masa!

*Mohd Fudzail Mohd Nor ialah seorang OKU yang pernah menjadi CEO syarikat di Dubai dan Abu Dhabi serta pernah memenangi lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca