KONSEP keluarga barangkali bukanlah sesuatu yang berat untuk difahami. Umum memahami keluarga sebagai unit paling asas dalam masyarakat yang mendasari sesebuah institusi. Walaupun keluarga lazimnya dikaitkan dengan aspek biologi melalui pertalian darah ataupun perkahwinan, dinamika sosial masyarakat rencam di Malaysia memperlihatkan konsep keluarga itu sebenarnya amat luas dan jauh melangkaui perkiraan tersebut.
Sebagai sebuah negara yang rencam, Malaysia sememangnya memerlukan definisi dan konsep keluarga yang lebih luas. Konsep keluarga yang dimaksudkan perlu lebih komprehensif serta mampu mengakomodasi kerencaman dan kepelbagaian kelompok masyarakatnya. Maka apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengungkapkan frasa Keluarga Malaysia sebagai pendekatan kepimpinan beliau, ia sebenarnya merujuk kepada keperluan tersebut.
Namun begitu, masih wujud keraguan yang frasa itu sekali lagi terkait dengan retorik politik kosong. Seperti mana gagasan sebelumnya seperti Bangsa Malaysia dan 1Malaysia yang turut membawa seruan perpaduan melalui pendekatan inklusif yang mengikis perbezaan, ramai yang melihatnya ‘separuh masak’ dalam mencapai matlamatnya. Maka kekhuatiran melihat pendekatan Keluarga Malaysia akan menerima nasib yang sama mungkin ada asasnya.
Cuma suasana yang berbeza memungkinkan konsep itu sedikit berbeza. Berbanding sebelumnya, Keluarga Malaysia dicadangkan pada waktu yang sukar. Ia dilihat sebagai keperluan berbanding kemahuan. Kesan buruk pandemik Covid-19 yang menjejaskan semua aspek kehidupan menuntut kepada satu penyatuan dan kebersamaan yang berkesan. Ikatan dan nilai-nilai kekeluargaan dilihat elemen ampuh kepada penyatuan dan kebersamaan yang dimahukan semua bagi menghadapi tempoh getir dan sangat mencabar.
Jadi jelas elemen masa dan desakan semasa menyebelahi konsep Keluarga Malaysia. Keperluan mengatasi pandemik Covid-19, kelembapan ekonomi dan krisis politik menuntut kepada permuafakatan dan keterangkuman semua pihak dalam segenap aspek. Konsep sebuah keluarga juga dilihat menjadi elemen perdamaian ketika tahap persaingan aktor politik menjadi semakin meruncing.
Seperti mana dalam sebuah keluarga, ia bukan sahaja menuntut kasih sayang dan sokongan semua, malah melibatkan kepercayaan dan keyakinan keseluruhan anggota keluarga. Asas inilah yang menentukan kejayaan dan seterusnya mengembangkan lagi sesebuah keluarga. Oleh sebab itu, faktor kepimpinan memainkan peranan yang paling penting dalam menentukan keberhasilannya. Tanpa keikhlasan, keadilan dan keterbukaan dalam kepimpinan, maka segala keterikatan yang membentuk kekeluargaan tersebut tidak akan ke mana.
Di peringkat awal konsep Keluarga Malaysia ini boleh dianggap berjaya. Komitmen pembangkang selepas pertemuan dengan Perdana Menteri untuk tidak mempersulitkan kerajaan yang diterajui Ismail Sabri sekiranya program-program pro-rakyat, permasalahan Covid-19 serta ekonomi selesai dengan lebih berkesan memperlihatkan semangat kekeluargaan itu. Malah, tawaran buat pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 akan membolehkan kepercayaan dan keyakinan untuk bekerjasama sebagai sebuah keluarga akan lebih berhasil.
Cumanya, cabaran terbesar Keluarga Malaysia ini sudah tentulah aspek mencungkil persamaan dan tidak lagi menggali perbezaan. Mengambil konsep komuniti bayangan (imagined community) Benedict Anderson (1991) yang melihat sesebuah komuniti lazimnya tidak dibentuk atas keunikannya, tetapi bergantung pada bayangan konsep keluarga dimiliki setiap anggotanya harus memperlihatkan realiti sebenar dalam pembentukan Keluarga Malaysia.
Dalam konteks negara, Anderson memberikan contoh bahawa orang Melayu akan selalu terikat dengan orang Melayu yang lain meskipun mereka tidak pernah bertemu atau berbeza budaya. Namun imaginasi mereka terhadap Melayu mengikat mereka sebagai satu komuniti.
Dengan modernisasi yang semakin melemahkan ikatan rangkaian keluarga besar (Keluarga Malaysia) dan lebih tertumpu kepada keluarga teras (bangsa, agama, budaya dan bahasa) dikhuatiri ia akan berterusan menghalang penyatuan total yang gagal dicapai oleh gagasan sebelumnya. Mungkin masa yang akan menentukan. Namun sekurang-kurangnya, Keluarga Malaysia gagasan Ismail Sabri sudah berjaya mewujudkan kerjasama yang membawa kepada permuafakatan dan kestabilan politik.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca