ALHAMDULILLAH, negara kita telah mencapai usia 64 tahun setelah diiktiraf sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat pada 31 Ogos 1957. Sehingga kini, kita masih dapat meraikan Hari Kebangsaan dalam suasana aman dan damai walaupun pelbagai onak yang telah ditempuhi sepanjang 64 tahun yang lalu. Pendek kata, segala kamajuan, kemakmuran dan kedamaian yang kita kecapi hari ini adalah hasil usaha secara bersama serta dengan keizinan ALLAH SWT menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaulat.
Sebetulnya, terdapat empat elemen utama dalam pembentukan negara bangsa yang berdaulat iaitu pemilikan dan penguasaan tanah, mempunyai rakyat bersatu padu, kerajaan yang utuh dan stabil serta negara yang berdaulat. Kedaulatan negara bermakna kita mempunyai kuasa dan tanggungjawab menjalankan hal ehwal pentadbiran secara sendiri dan bebas daripada apa jua pengaruh luaran. Justeru, Perlembagaan, undang-undang, sistem penyampaian dan penguatkuasaan dasar dan undang- undang adalah terarah untuk memperkukuhkan kedaulatan negara.
Pun begitu, elemen bangsa merupakan tonggak kedaulatan negara. Jika bangsa Malaysia rapuh dan berpecah-belah, secara langsung sempadan negara mudah diceroboh, perkembangan ekonomi dan pendidikan akan terencat serta membentuk sebuah kerajaan yang tidak stabil. Lantaran itu, tidak kira kelompok mana yang menjadi pakatan kerajaan, secara prinsipnya perlu menjamin kesejahteraan rakyat. Tambahan pula, warganegara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa, adat, seni budaya dan peradaban memerlukan usaha yang berterusan dan cermat dalam menangani apa jua isu perpaduan.
Sesungguhnya, selain daripada penggubalan Perlembagaan Persekutuan sebagai teras pembinaan negara bangsa, prinsip Rukun Negara juga amat penting untuk memupuk kerukunan hidup berteraskan nilai hormat-menghormati, bertolak ansur, berkasih sayang dan menerima perbezaan.
Adalah jelas kehidupan ingin berTuhan ada pada setiap manusia. Ini kerana kepercayaan kepada Tuhan memberikan harapan kepada kita agar dapat memandu hidup ke arah kebaikan dan kebenaran. Pendek kata, apabila kita berasa dipimpin dengan adanya Tuhan, akan tersemailah kasih dan cintakan negara di dalam sanubari kita.
Malah, kecintaan tinggi terhadap tempat lahir ditunjukkan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW iaitu di Makkah berdasarkan hadis daripada Ibn Abbas (RA) bahawa Nabi SAW bersabda kepada Makkah, "Alangkah baiknya dirimu wahai Makkah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, nescaya aku tidak akan tinggal selain daripada mu”. (Hadis Riwayat al-Tirmizi).
Menurut Prof Hamka menerusi bukunya Tasawuf Moden, terdapat tiga sifat yang timbul kerana beragama iaitu; malu, amanah dan benar. Sifat malu sangat besar pengaruhnya dalam mengatur pergaulan hidup. Malu itulah yang membuatkan orang berakal enggan melakukan perbuatan jahat. Rasa malu tidak akan hidup di dalam budi pekerti seseorang manusia jika tidak mempunyai kehormatan diri manakala amanah pula adalah penghubung kelangsungan hidup manusia menerusi nilai kepercayaan yang tinggi. Tiadanya amanah, akan meruntuhkan peradaban bangsa dan negara tidak akan tegak tanpa adanya amanah. Selain itu, sifat benar akan menjauhkan masyarakat daripada kesesatan kerana sentiasa mendokong kebenaran dan menolak kepalsuan.
Pada hemat saya, untuk menjadi bangsa yang bermaruah kita perlu kasih dan sayangkan negara tanpa syarat kerana inilah tempat tumpahnya darah kita. Walaupun kita berbeza pendapat, jangan rosakkan ‘rumah’ yang kita bina sejak 64 tahun dahulu. Marilah kita bersama-sama sematkan nilai malu, amanah dan benar dalam diri demi memperkukuhkan negara kita Malaysia yang tercinta.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca