SHAH ALAM - Duit kopi RM50 untuk maklumat tapak kaki harimau di hutan!
Begitulah jijiknya moral kumpulan sindiket pemburu haiwan liar yang sanggup merasuah penduduk kampung untuk mendapatkan info mengenai haiwan liar termasuklah jejak tapak Pak Belang.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim mendedahkan, pemburu haram sanggup membayar duit kopi sehingga ratusan ringgit kepada orang tempatan yang tinggal berdekatan hutan kerana harga seekor harimau jantan boleh mencecah RM200,000 seekor.
Menurut Abdul Kadir, bagi pemburu harimau belang atau Harimau Malaya, suspek biasanya akan datang ke kampung terbabit meronda dan meminta orang kampung salurkan maklumat berkenaan binatang liar itu.
"Pemburu harimau ini wujud kerana nilai tinggi pada hidupan liar itu.
"Biasanya penduduk kampung akan dibayar duit kopi RM50 kalau temui tapak kaki sahaja. Saya percaya bayaran itu boleh mencecah RM500 bergantung kepada maklumat yang diberi,” katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan kru Rasuah Busters baru-baru ini.
Katanya lagi, pihaknya percaya kebanyakan pemburu harimau itu adalah warga tempatan.
"Saya tahu ada tauke harimau di Kelantan dan seorang daripadanya telah dikenal pasti. Dia ini ada ramai pekerja di bawahnya,” katanya.
Obses perubatan tradisional
Tambah Abdul Kadir, harimau belang atau lebih dikenali sebagai Harimau Malaya adalah salah satu spesies hidupan liar di Malaysia yang kian diancam kepupusan akibat pengecilan habitat, pemburuan dan kekurangan sumber makanan.
"Jumlahnya kini kurang daripada 200 ekor di habitat asal di taman-taman negara dan hutan-hutan simpan di sebahagian Semenanjung Malaysia,” kata Abdul Kadir.
Katanya, selain harimau, pelbagai spesies popular haiwan liar serta eksotik yang biasa menjadi sasaran pemburu haram antaranya rusa, kambing gurun, beruang, gajah jantan dan tapir.
"Penjualan haiwan liar seperti gajah, seladang, beruang dan kambing gurun biasanya akan dibuat di pasaran gelap.
"Sementara itu, penjualan hidupan liar yang lebih kecil seperti burung, lotong, kera, musang, ular, cicak dijalankan menggunakan platform medium atas talian seperti Facebook,” katanya.
Beliau menjelaskan, harga binatang yang dijual di pasaran gelap bergantung kepada saiz, jantina, jenis, spesies, keunikan, umur, permintaan dan tujuan seperti contoh nilai perubatan atau peliharaan.
"Siasatan mendapati, harga di pasaran gelap rusa mencecah RM150 hingga RM180 untuk sekilogram (kg), kijang (RM100-RM120/kg), ayam hutan (RM100-RM200 seekor), tenggiling (RM200-RM300/kg), landak (RM500-RM1000 seekor),” katanya.
Jelasnya lagi, harga di pasaran gelap sentiasa berubah-ubah mengikut permintaan dan kesukaran mendapatkan hidupan liar yang diburu.
"Seekor harimau dewasa jantan dikatakan boleh mencecah sehingga RM200,000 di pasaran gelap meliputi seluruh anggota badan termasuk tulang, kulit, daging, kuku dan misai,” katanya.
Ujarnya, penawaran dan permintaan yang tinggi ke atas hidupan liar ini menjurus kepada pemburuan secara haram, seterusnya memberi kesan secara langsung terhadap kelangsungan hidup sesuatu spesies.
"Permintaan yang tinggi dalam pasaran gelap terutama untuk kepercayaan perubatan tradisional sebagai tangkal juga menjadi faktor utama pemburu haram memburu hidupan liar,” katanya.
Tahan 384 orang
Tambah Abdul Kadir, sejak tahun 2017 sehingga Jun tahun ini, seramai 384 orang warga tempatan telah ditangkap dengan pelbagai kesalahan melibatkan jenayah hidupan liar.
"Bagi tempoh berkenaan itu juga, nilai rampasan hidupan liar yang direkodkan mencecah RM10.1 juta.
"Selain itu, menerusi 34 siri operasi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan bermula tahun 2019 hingga Julai lalu, nilai sitaan melibatkan jenayah alam sekitar (hidupan liar, perhutanan, pencerobohan kawasan) berjumlah RM5.8 juta,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan suspek warga tempatan yang melakukan kegiatan itu adalah secara bersendirian dan berkumpulan.
Jelasnya, suspek warga tempatan yang menjadikan kegiatan itu sebagai sumber pendapatan utama dan situasi tersebut biasanya akan menjurus kepada penglibatan sindiket.
"Apabila terdapat unsur sindiket, ia menunjukkan jenayah ini menjadi semakin terancang dan melibatkan banyak pihak. Sebagai contoh, jika kita ada melihat iklan jualan hidupan liar di media sosial ia sebenarnya melibatkan banyak pihak dan memerlukan koordinasi di antara ahli sindiket untuk memastikan hidupan liar ditangkap, dijual dan dihantar kepada pembeli.
"Pada masa yang sama suspek-suspek perlu mengelak aktiviti ini daripada dikesan dan ditangkap oleh pihak berkuasa,” katanya.
Tambahnya, hidupan liar itu diburu menggunakan senjata api, jerat dawai, jaring, jebak dan pikat.
"Perhilitan ketika ini telah kenal pasti ada lima dalang utama terlibat jenayah pemburuan haram ini. Mereka ini licik, hanya mengaturkan gerak kerja sahaja selain berselindung di sebalik pekerjaan yang sah.
"Mereka ini berada di Johor, Kelantan dan Kedah serta mempunyai rangkaian sindiket di Thailand dan beberapa negara lain,” katanya.
‘Otai’ pemburu gajah diberkas
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pernah melumpuhkan satu sindiket pemburuan gajah kerana dipercayai membunuh lebih 20 ekor gajah.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, seorang pemburu haram warga tempatan yang terlibat dalam memburu gajah itu telah ditahan pihaknya di kawasan pendalaman di Pahang pada tahun 2019 dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kalau pemburu gajah, suspek ini memang terkenal. Berusia lingkungan 50-an dan bekerja sebagai pekerja ladang. Di tangan dia ini sahaja lebih 20 ekor gajah mati.
"Lelaki berasal dari Pahang ini memang ‘wanted’. Kita jejak dia sudah lama, kira-kira empat tahun dan akhirnya dia ditahan di Kuala Tahan, Pahang dengan kerjasama PDRM.
"Dia ni ‘otai’. Lebih 10 tahun aktif. Soal siasat yang kita buat, dia kata 20 ekor gajah telah dibunuh. Tapi kita percaya jumlah itu lebih. Malah pelbagai senjata api dan lain-lain peralatan memburu telah dirampas,” ujarnya.
Dedah Abdul Kadir, binatang liar seperti gajah ini ada pembeli di Thailand, Vietnam dan beberapa negara lain.
"Biasanya pemburu akan mengambil gading gajah jantan. Ini sindiket dan sudah tentu ada geng di beberapa negara,” katanya.