PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika memberikan amanat pertama beliau telah mengemukakan konsep Keluarga Malaysia.
Umum mengetahui bagaimana apabila hadir seorang Perdana Menteri baharu, kepimpinan mereka akan diikat dengan slogan yang dianggap akan memacu kepimpinan dan legasi pentadbirannya.
Permulaan kepimpinan Ismail dengan slogan Keluarga Malaysia perlu diraikan. Beliau mengambil alih teraju kepimpinan negara ketika kita sedang bergelut untuk memulihkan semula krisis nasional kesihatan. Sektor ekonomi juga berada dalam keadaan tenat.
Waktu yang sama, beliau berhadapan dengan sokongan bersyarat kepimpinan parti politik. Hatta, konsep keluarga Malaysia boleh digunakan untuk mendepani cabaran tersebut di samping mencari ruang persamaan dalam kalangan anggota masyarakat.
Sudah menjadi kebiasaan, kesalahan akan dicari untuk mengaburi kejayaan di sebalik mana-mana kepimpinan sekalipun. Itu lumrah. Namun, kita juga harus bersikap adil ke atas kepimpinan Ismail Sabri untuk membolehkan krisis politik dinokhtahkan supaya krisis kesihatan, ekonomi dan sosial boleh diatasi dengan pencapaian hasil akhir yang memberangsangkan.
Apakah yang wajar dilakukan? Pertama, minimumkan persengketaan politik. Ia boleh dilakukan dengan memantapkan Barisan Nasional, memperkasakan Perikatan Nasional dan memperkukuhkan hubungan dengan blok pembangkang.
Pelantar kontrak politik baharu perlu dicari. Majlis Gerakan Pemulihan Negara boleh menjadi telapaknya. Raikan kehadiran pemimpin pembangkang untuk berbincang dengan blok kerajaan supaya strategi dan intervensi jawatankuasa ini memberi manfaat kepada agenda rakyat.
Komunikasi antara pemimpin dan pemimpin; pemimpin dan rakyat; dan rakyat dengan rakyat perlu diperbaiki. Sering kali isyarat salah sampai kepada rakyat kerana ketirisan cara berkomunikasi.
Di bawah konsep Keluarga Malaysia, kenyataan berbaur perkauman dan retorik politik mesti dielak supaya pemimpin diteladani dan menjadi contoh.
Walaupun dikritik barisan kabinet, anggota jemaah menteri boleh menjadikan ini sebagai cabaran untuk membuktikan bahawa mereka ada kewibawaan, ketokohan dan kepakaran untuk membawa Malaysia keluar daripada krisis nasional ini.
Keluarga Malaysia boleh mengambil pendekatan pelbagai dimensi (multi-dimensional approach). Ini termasuk memberi keutamaan kepada tiga perkara iaitu keselesaan rakyat, kesejahteraan rakyat dan kesihatan rakyat. Keyakinan dan kepercayaan ke atas kerajaan akan pulih jika ini menjadi tumpuan.
Pemahaman ke atas konsep Keluarga Malaysia penting, Barulah ini boleh diterap dan menjadi amalan setiap warga Malaysia. Sifat kepunyaan dan perkongsian perlu diketengahkan. Kejujuran dan keikhlasan juga perlu menjadi latar kepada usaha menjayakan konsep ini.
Ia harus menjadi tanggungjawab bersama baik kerajaan, sistem penyampaian dan masyarakat sendiri.
Pendekatan komprehensif, menyeluruh dan total mesti diambil oleh pihak berwajib; merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Tanamkan nilai faham, hormat dan terima dalam kalangan kesemua anggota masyarakat.
Dasar atau polisi Keluarga Malaysia akan berjaya jika dipertingkatkan kordinasi antara pembuat dasar, pelaksana dan kumpulan sasar. Ia mesti melangkaui retorik politik. Artikulasi yang peka kepada demografi dan geografi Malaysia akan melihat hasil akhir yang cemerlang.
Penilaian 100 hari akan membolehkan kita menilai sendiri sejauh manakah konsep Keluarga Malaysia telah menjadi wadah hala tuju kepimpinan Ismail Sabri demi untuk merealisasikan agenda yang berkiblatkan kepada rakyat.
*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca