SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti petualang dalam kalangan warga tempatan yang terlibat dalam sindiket pemburuan haram. Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, terdapat warga tempatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti petualang dalam kalangan warga tempatan yang terlibat dalam sindiket pemburuan haram.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, terdapat warga tempatan bergerak aktif dalam beberapa sindiket yang telah dikenal pasti.

Katanya, mereka ini dalam pengawasan pasukan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan tangkapan akan dibuat setelah cukup bukti terkumpul untuk diambil tindakan.

"Tidak dinafikan terdapat pembabitan warga tempatan dalam pemburuan haram.

"Sepanjang OBK, seramai 115 orang warga tempatan telah ditangkap sepanjang tahun 2020 hingga Ogos tahun ini dengan nilai rampasan sebanyak RM1.6 juta di seluruh negara,” katanya kepada kru Rasuah Busters.

Mengulas berkenaan jati diri dan integriti warga tempatan yang terlibat dalam jenayah pemburuan haram ini, Acryl Sani berkata, individu terlibat dalam aktiviti pemburuan haram ini adalah manusia yang mementingkan diri sendiri.

"Individu ini tamak dan sanggup melihat haiwan dan tumbuhan ini pupus selagi menguntungkan mereka. Mereka juga tahu impak kepada kitaran biodiversiti dan kelompongan dihasilkan melalui tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

"Oleh kerana sifat tamak dan pentingkan diri sendiri yang ada pada pemburu haram ini, maka OBK dilancarkan dan akan terus menjalankan operasi untuk mengekang aktiviti mereka demi menjaga khazanah alam,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak kerajaan tidak akan mengambil pendekatan sambil lewa untuk menghapuskan kegiatan terbabit.

Tegasnya, setiap tindakan jenayah pemburuan haram akan diambil tindakan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Akta Perhutanan Negara 1984, Akta Imigresen (sekiranya mereka adalah orang asing), Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998.

Acryl Sani

"Selain itu, PDRM juga akan menyiasat mereka yang terlibat dalam perniagaan jual beli hidupan liar ini di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

"Selain itu Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis ASEAN (Aseanapol) juga akan digunakan untuk mengesan sindiket ini sekiranya mereka terlibat dengan sindiket antarabangsa yang membeli dan menjual khazanah negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat kerana ia amat penting agar sesuatu operasi yang dijalankan dapat membuahkan hasil tangkapan serta rampasan supaya mereka yang terlibat ini dapat dituduh di mahkamah.

"Maklumat ini boleh disalurkan kepada semua balai polis berhampiran, Pejabat Perhilitan di Semenanjung Malaysia, Pejabat Sarawak Forestry Corporation di Sarawak dan juga Pejabat Sabah Wildlife di Sabah.

"Orang awam juga boleh menggunakan semua platform media sosial untuk menyalurkan sebarang maklumat,” katanya.

Beliau juga mengambil kesempatan ini mengajak orang ramai memboikot membeli sebarang hasil mahu pun perhiasan yang diperbuat daripada bahan atau bahagian yang diperoleh daripada binatang liar hampir pupus.

"Mengambil ungkapan dalam Bahasa Inggeris ‘when the buying stops, the killing can too’. Kita perlu ingat, bahawa khazanah-khazanah alam ini, akan diwariskan kepada generasi kita akan datang.

"Sekiranya eksploitasi ini tidak dihentikan, maka generasi yang akan datang hanya akan dapat melihat haiwan-haiwan liar ini di muzium, majalah dan juga di media massa seperti mana kita menyaksikan badak sumbu Sumatera yang telah pupus di bumi Malaysia,” katanya.


INFO


Nilai hidupan liar di pasaran gelap

- Harimau dahan RM23,629 di China

- Harimau kumbang RM20,727

- Tanduk badak sumbu RM269,450/kg

- Harimau belang (jantan) RM207,269

- Gajah RM116,900

- Gading gajah RM7,461

- Orang utan RM186,544

- Burung hantu RM1,036 di India

- Tenggiling RM4,145

- Daging tenggiling RM1,243/kg

Klik di sini untuk terus membaca