SERING ditimbulkan golongan liberal persoalan sama ada kerajaan boleh mengawal moral rakyat.
Persoalan ini dicetuskan kerana melihat undang-undang semata-mata dari lensa Barat dan tidak diadunkan dengan budaya masyarakat tempatan yang disulami dengan jahitan agama. Ada golongan menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu. Mereka mengatakan undang-undang tidak boleh mengawal salahlaku moral, jika seseorang itu berdosa hanya Tuhan sahaja yang layak menghukum mereka.
Menelusuri undang-undang Islam, pandangan ini jelas tidak mengambil kira perspektif Islam dan meletakkan hak asasi manusia di atas agama itu sendiri.
Sebenarnya budi pekerti dan moral yang mulia adalah asas yang paling kuat untuk melahirkan masyarakat yang ikhlas dan amanah. Orang yang tidak bermoral akan mudah terjerumus di dalam aktiviti jenayah.
Apa yang dimaksudkan dengan moral tersebut juga adalah tidak jelas. Apakah ia moral secara keseluruhannya ataupun sekadar merujuk kepada akhlak Islam? Jika ia merujuk kepada moral secara keseluruhannya maka ia adalah amat merbahaya kerana semua undang-undang digubal bagi menegakkan sistem moral yang jitu. Pembunuhan secara tidak sah, rasuah dan mencuri umpamanya adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral, oleh itu ada undang-undang menangani kesalahan ini.
Adakah kesalahan jenis ini juga hendak ditiadakan di dalam perundangan kita? Sekiranya yang dimaksudkan itu hanya merujuk kepada kesalahan akhlak dan ibadat, maka ia amatlah mendukacitakan kerana memprejudis hikmah agama Islam itu sendiri serta agama-agama lain. Tiada agama yang berkompromi tentang isu-isu moral seperti ini. Undang-Undang sebenarnya adalah bersandarkan kepada moral dan moral adalah bersandarkan kepada agama.
Sepatutnya di dalam membuat sesuatu keputusan kita merujuk kembali kepada Islam. Sebagaimana yang pernah diriwayatkan ketika ditanya kepada Saidatina Aishah "Apakah akhlak Rasullulah” Aishah menjawab "Akhlak Rasulullah ialah Al Quran.” Oleh itu apabila terdapat di dalam Al Quran melarang orang Islam meminum arak, adakah salah Kerajaan membuat perundangan bagi mengharamkan orang Islam minum arak? Apabila terdapat di dalam Al Quran larangan berzina, adakah silap kerajaan membuat perundangan mengharamkan perzinaan dan pelacuran? Rasulullah pernah bersabda "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. itu diutus untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.” Pada masa sekarang kita tidak dapat lari dari mengkodifikasikan ajaran Islam kerana masyarakat Islam itu sendiri telah renggang dari Islam.
Akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan daripada undang-undang. Pada masa ini dengan perundangan yang adapun akhlak masyarakat adalah amat menyedihkan, apa akan jadi jika kesemua perundangan ini dihapuskan. Maka terdapat lakuna di dalam perundangan ini. Secara hipotetikalnya, apabila undang-undang ini dihapuskan, apa akan jadi jika dua orang melakukan perbuatan tidak sopan di hadapan kita atau keluarga kita.
Biarkan sahaja kerana ia hak asasi mereka? Biarkan remaja kita menonton aksi tidak bermoral itu? Bagaimana pula dengan hak asasi kita yang berasa jijik melihat perbuatan seperti itu? Tidak dinafikan pendidikan adalah elemen penting untuk mengawal moral seseorang. Tetapi pendidikan sahaja tidak mencukupi kerana pendidikan bertindak sebagai "amar maaruf” manakala hukuman dalam bentuk perundangan "bertindak sebagai "nahi munkar”. Kedua-dua kaedah ini sebenarnya tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain apatah lagi dalam keadaan negara mengambil Islam di dalam ruang yang begitu terhad dan berpilih sahaja.
Jika kita meneliti kaedah-kaedah hukum syarak, maka tidak timbul andaian bahawa suatu hari nanti mungkin ada undang-undang yang membenarkan pegawai penguatkuasa masuk ke rumah dan periksa sama ada seseorang itu sembahyang lima kali sehari atau tidak? Andaian ini adalah andaian yang melampau dan tidak diasaskan kepada kaedah-kaedah feqah dan syariah Islam sebenar kerana Khalifah Umar RA. yang terkenal dengan ketegasannyapun pernah ditegur kerana mengintip rakyatnya melakukan kesalahan.
Sebenarnya pendekatan yang lebih baik kita lakukan ialah membuktikan bahawa undang-undang seperti itu sudah tidak lagi diperlukan dan lapuk. Sama-samalah kita menjauhi kesalahan-kesalahan yang diperundangkan itu supaya seluruh masyarakat tahu bahawa undang-undang itu sudah tidak relevan lagi kerana masyarakat telah terdidik dan tidak memerlukan perundangan moral ini. Ketika itulah masa yang sesuai untuk menghapuskan perundangan itu dan bukan sekarang.
Selagi seseorang itu beragama Islam maka ia berada di dalam suatu sistem yang lengkap. Islam tidak sekadar rutin ritual harian tetapi suatu cara hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah kawalan moral ataupun akhlak Islamiah.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca