AMERIKA Syarikat (AS) cuba menyampaikan isyarat kepada negara-negara Asia Tenggara bahawa AS masih komited kepada rantau ini dengan lawatan Timbalan Presiden AS Kamala Harris ke Singapura dan Vietnam pada penghujung Ogos. Lawatan ini adalah... Klik di sini untuk terus membaca

AMERIKA Syarikat (AS) cuba menyampaikan isyarat kepada negara-negara Asia Tenggara bahawa AS masih komited kepada rantau ini dengan lawatan Timbalan Presiden AS Kamala Harris ke Singapura dan Vietnam pada penghujung Ogos. Lawatan ini adalah istimewa kerana ini merupakan kunjungan pertama pemimpin kedua tertinggi AS dalam pentabiran Presiden Joe Biden.

Selain itu, delegasi Timbalan Presiden Harris memilih untuk melawat Singapura dan Vietnam bukannya negara sekutunya semenjak Perang Dingin iaitu Thailand dan Filipina. Sebaliknya Vietnam yang pernah menjadi musuh ketat AS pada 1960-an dan 70an menjadi pilihan kunjungan Harris. Ini mencerminkan ungkapan bahawa dalam politik antarabangsa tiada musuh dan kawan yang berkekalan serta apa yang penting adalah kepentingan negara.

Hubungan AS dengan negara-negara Asia Tenggara dan ASEAN merosot ketika pentabiran Presiden Donald Trump (2017-2021). Misalnya pembatalan Perkongsian Trans-Pasifik atau Tans-Pacific Partnership Agreement (TPPA), kegagalan Trump untuk menghadiri Persidangan Kemuncak AS-ASEAN bagi dua tahun berturut-turut sebaliknya menghantar Timbalan Presiden Mike Pence pada 2018 dan Penasihat Keselamatan Kebangsaan Robert O’Brien pada 2019 telah mengakibatkan hubungan AS dengan Asia Tenggara menjadi semakin jauh. Sebaliknya ini telah memberi peluang kepada China untuk memperluaskan pengaruh di rantau ini melalui program Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dalam bidang ekonomi dan hubungan diplomatik.

Apabila Joe Biden mengambilalih tampuk pemerintahan AS pada Januari 2021 timbul harapan pentabiran Presiden Joe Biden akan cuba mempereratkan semula hubungan AS. Sebaliknya AS lebih mementingkan hubungan dengan Quadrilateral Security Dialogue juga dikenali sebagai Quad yang terdiri daripada Jepun, India, Australia dan AS berbanding dengan rantau Asia Tenggara.

Ini kerana negara-negara Quad seperti Jepun, Australia dan India lebih sudi menyelebahi AS dan berkemampuan untuk mengimbangi pengaruh China berbanding negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia yang lebih bersikap berkecuali serta sudah mempunyai hubungan ekonomi yang erat dengan China.

Jika dibanding dengan AS, China sudah mempergiatkan hubungannya dengan anggota negara-negara ASEAN. Misalnya pada 7 Jun China telah mengadakan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China di Chongqing, dipengerusikan oleh Menteri Luar China, Wang Yi. Isu utama yang dibincangkan ketika pertemuan antara Menteri Luar Wang Yi dengan para Menteri Luar ASEAN ada rancangan pemulihan ekonomi pasca-pandemik serta diplomasi vaksin. China sedar bahawa negara-negara Asia Tenggara memerlukan bantuan khasnya dalam usaha pemulihan ekonomi dan bekalan vaksin.

Usaha pro-aktif China untuk merapatkan hubungan dengan Menteri-Menteri Luar ASEAN telah kejutan kepada AS. Oleh demikian, pemimpin di Washington DC sedar jika AS tidak bertindak segera lama-kelamaan pengaruh AS di Asia Tenggara akan terpinggir manakala pengaruh China akan semakin meningkat.

Oleh demikian, lawatan Timbalan Presiden Kamala Harris merupakan daripada sebahagian daripada strategi AS untuk menyampaikan mesej kepada para pemimpin Asia Tenggara bahawa AS sudah kembali selaras dengan hujahan Presiden Biden iaitu ‘America is back’. Malah sebelum lawatan Timbalan Presiden Harris, AS telah mula mengutus pemimpin-pemimpin tertingginya seperti Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin dan Timbalan Setiausaha Negara, Wendy Sherman ke Asia Tenggara sebahagian daripada usaha membina semula keyakinan.

Antara agenda utama lawatan Timbalan Presiden Harris adalah memperkukuhkan kerjasama AS dengan negara-negara Asia Tenggara melalui konsep Indo-Pasifik yang terletak antara Lautan Pasifik dengan Lautan Hindi. Kawasan ini merangkumi rantau Asia Timur, Asia Tenggara, Australia dan Asia Selatan. Harris dalam ucapannya ketika berada di Singapura telah berkata pentabiran Presiden Biden mahu mempromosikan visi positif mengenai keamanan dan kestabilan, kebebasan laluanlaut, perdagangan tanpa gangguan, memajukan hak asasi manusia - termasuk di negara seperti Myanmar dan komitmen terhadap penguatkuasaan berdasarkan peraturan antarabangsa.

Sokong

Timbalan Presiden Harris juga telah menegaskan bahawa mengatakan bahawa penglibatan AS di Asia Tenggara dan Indo-Pasifik tidak bertentangan dengan mana-mana satu negara dan tidak memaksa negara-negara di rantau ini untuk ‘membuat pilihan menyokong’ satu daripada yang lain. Walaupun beliau tidak menamakan negara tersebut tetapi jelas sekali beliau merujuk kepada China. Bagaimana pun pada masa sama, Harris telah membidas tindakan China dan mendakwa China telah mengintimidasi, dan membuat tuntutan yang tidak sah di Laut China Selatan, yang melemahkan perintah dan penguatkuasaan berdasarkan peraturan antarabangsa yang cuba dipromosikan oleh Amerika Syarikat.

Harris telah mengulangi kenyatan yang sama di Hanoi, Vietnam bahawa Beijing bersikap ‘buli’ dan membuat tuntutan maritim yang berlebihan di Laut China Selatan. Beliau juga menegaskan bahawa China mesti akur kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut atau United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS).

Ketika lawatan Harris ke Singapura AS telah membuat beberapa perjanjian kerjasama yang merangkumi perkongsian maklumat perisikan mengenai epidemik, keselamatan siber, cuaca dan ekonomi. Begitu juga di Hanoi, Harris telah berjanji AS akan menderma 1 juta dos vaksin Pfizer dan 23 juta dolar AS kepada Vietnam dalam usaha menghadapi pandemik COVID-19. Ini semua merupakan sebahagian daripada strategi AS untuk merapatkan semula hubungan dan mengimbangi pengaruh China.

Walaupun AS cuba memperkukuhkan imejnya di Asia Tenggara melalui lawatan Harris tetapi realitinya masih ada keraguan sejauhmana AS akan benar-benar komited. Lebih-lebih lagi tindakan AS berundur daripada Afghanistan dan pengambilan semula negara tersebut oleh Taliban menimbulkan kesangsian akan kemampuan dan komitmen AS.

Ketika lawatan Harris ke Hanoi, Vietnman ramai penganalisis menyamakan pengunduran AS dari Afghanistan dengan pengunduran AS daripada Saigon 46 tahun yang lalu. Masih banyak lagi AS perlu laksanakan untuk membina semula keyakinan di Asia Tenggara seperti pelantikan perwakilan AS ke ASEAN dan beberapa negara yang sudah dikosongkan selama beberapa tahun. Adalah sukar bagi AS untuk menebusi pengaruh China yang sudah pun kukuh.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca