BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau lebih mesra dipanggil Abah sepanjang perkhidmatannya mengepalai pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini kembali. Abah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf... Klik di sini untuk terus membaca

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau lebih mesra dipanggil Abah sepanjang perkhidmatannya mengepalai pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini kembali.

Abah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri berkuatkuasa 1 September lalu. Pelantikan ini diputuskan Jemaah Menteri dan dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ia diumumkan oleh Setiausaha Jemaah Menteri merangkap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali pada Sabtu, 4 September.

Belalang masih ingat lagi dalam ucapan terakhir Abah sebagai Perdana Menteri di hadapan para kakitangan pejabatnya, beliau dengan penuh yakin dan tenang berkata: "Saya akan kembali...”

Kata-katanya itu langsung mendapat tepukan gemuruh. Nampaknya kini, Abah telah kembali daripada ‘percutian’ singkat selama beberapa minggu untuk menerajui sebuah majlis yang penting dalam menentukan hala tuju pemulihan negara.

Atas statusnya itu, Abah akan sekali lagi mendapat perhatian ramai khususnya pihak media kerana kenyataan-kenyataan yang bakal dikeluarkannya adalah berkaitan dengan hal ehwal pemulihan negara.

Pendek kata, nama Abah akan kembali bermain di bibir ramai. Dan pada masa sama, Abah tak akan tersisih dari arus perdana. Abah belum pencen walaupun mati-mati orang ingat kerjaya Abah turut berakhir dengan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Apatah lagi selepas barisan kabinet baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diumumkan dan nama Abah yang sebelum ini hangat diperkatakan bakal dilantik sebagai Menteri Mentor tidak menjadi kenyataan, pengumuman mengenai pelantikan terbaharu ini adalah testimoni kepada pengaruh Abah masih kuat.

Oleh kerana ini adalah satu-satunya platform Abah dalam kerajaan, sudah tentulah ia akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan pengaruh Abah masih terus relevan sehingga menjelang pilihan raya akan datang.

Ini penting dalam menentukan kepimpinan Abah tidak dilupakan apabila tiba masa mengundi nanti.

Jatuh atau bangunnya mana-mana parti pada pilihan raya umum akan datang akan ditentukan oleh bagaimanakah mereka memainkan peranan dalam membawa Malaysia keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 ini.

Masanya tidak lama, hanya beberapa bulan sahaja lagi mengambil kira berapa ramaikah yang telah divaksin di seluruh negara.

Sebaik sahaja mencapai imuniti kelompok, rakyat akan mula mendesak agar pilihan raya umum diadakan segera bagi memulangkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat perhitungan terakhir dan muktamad.

Ini kerana, walaupun kerajaan sekarang sudah memperoleh keabsahannya menerusi 114 orang ahli Dewan Rakyat sebagaimana yang dinyatakan mereka di hadapan Seri Paduka Baginda, tetapi itu hanyalah sokongan wakil-wakil rakyat, bukan rakyat.

Keputusan yang dibuat oleh rakyat pada bulan Mei 2018 adalah lain tetapi mandat itu telah ‘dirampas’ di tengah jalan oleh wakil-wakil rakyat.

Oleh yang demikian, adalah wajar mandat ini dikembalikan kepada rakyat untuk dibuat perhitungan apabila masanya tiba nanti.
 Apa pun Belalang ucapkan selamat kembali bertugas kepada Abah.

* Belalang - Bertugas sepanjang masa...

Klik di sini untuk terus membaca